Program Inovasi Industri Asas Tani: Usahawan Dan Mesin Pemprosesan Makanan | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Program Inovasi Industri Asas Tani: Usahawan dan Mesin Pemprosesan Makanan

Program Inovasi Industri Asas Tani: Usahawan dan Mesin Pemprosesan Makanan

 

Oleh: Dr. Askiah binti Jamaluddin
         


Pada 20 Mac 2019 telah berlangsungnya Program Inovasi  Industri Asas Tani dengan tema Usahawan dan Mesin Pemprosesan Makanan. Program ini adalah program kali kedua dijalankan di UPM bertempat di Makmal Rekabentuk Mesin Pemprosesan Makanan, Jabatan Kejuruteraan Proses & Makanan, Fakulti Kejuruteraan. Tujuan program ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada usahawan pemprosesan makanan tentang kriteria pemilihan mesin yang bersesuaian dengan perusahaan yang dijalankan. Selain itu, penerimaan dan kesediaan usahawan dalam penggunaan mesin juga dijelaskan dalam program ini. Kepakaran Prof. Madya Dr. Rosnah Shamsudin dalam merekacipta mesin pemprosesan makanan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tidak dipertikai. Pengalamannya dalam dunia mesin selama 20 tahun memberi banyak manfaat ilmu kepada usahawan dan pegawai yang hadir. Kepakaran Dr. Askiah Jamaluddin pula adalah pengurusan perusahaan keluarga. Beliau menerangkan tingkahlaku usahawan dalam penerimaan dan kesediaan usahawan dalam penggunaan mesin yang berteknologi.

Perusahaan keluarga berasaskan pertanian adalah perusahaan yang dijalankan oleh seorang atau lebih ahli keluarga yang terlibat bersama. Kebiasaannya, ahli keluarga yang terlibat tidak dibayar upah pada peringkat awal perusahaan. Ianya lebih berbentuk sokongan dengan memberi sumbangan tenaga untuk membantu ibu atau isteri meningkatkan pengeluaran dan pasaran. Apabila produk mereka mulai mendapat sambutan dari pelanggan, usahawan ini akan mengupah seorang dua pekerja. Pekerja akan membantu dari segi pengeluaran dan pembungkusan produk. Mereka akan diberi latihan oleh usahawan secara personal. Pekerja diambil dalam kalangan komuniti setempat. Golongan wanita yang sering diambil oleh usahawan kerana perusahaan pemprosesan makanan berkait rapat dengan tugasan seorang wanita. Perusahaan pemprosesan makanan berasaskan pertanian yang berskala kecil sangat berkait rapat dengan peranan gender.

Produk perusahaan keluarga yang berasaskan hasil pertanian mendapat sambutan baik dari pelanggan. Terutama ketika musim perayaan dan cuti persekolahan. Apatah lagi, rakyat di Malaysia menyambut pelbagai perayaan. Pelanggan dari pelbagai kaum akan datang ke lokasi pembuatan produk dan membeli produk kegemaran mereka. Ketika perayaan Tahun Baru Cina, didapati mereka menempah kuih tat dan kuih kapit di sini. Sementara kaum India ketika menyambut Deepavali, mereka membeli kuih maruku dan pelbagai kerepek. Kaum Melayu pula sentiasa membeli dalam volume yang besar bagi hasil produk ini terutama ketika majlis perkahwinan dan kenduri. Pelanggan dari pelbagai kaum telah meningkatkan permintaan terhadap hasil produk perusahaan keluarga ini.

Oleh kerana permintaan yang tinggi, usahawan ini akan mengupah lebih ramai pekerja. Contohnya, untuk menyambut perayaan Aidil Adha. Usahawan akan mulai sibuk membuat persediaan untuk pengeluaran produk sejak dua bulan awal. Kebiasaannya, kuantiti produk perlu ditingkatkan kepada tiga kali ganda. Ini bermakna pekerja yang diupah juga di tambah ketika itu menjadi lebih daripada 10 orang.  Namun begitu, wujud isu pengeluaran produk yang kurang kualitinya akibat mengambil pekerja tambahan pada waktu “kecemasan”. Pekerja tambahan yang kurang mahir tidak dapat menghasilkan produk yang berkualiti dan selaras dengan standard yang diinginkan oleh pelanggan. Apatah lagi, dengan hanya mesin pemprosesan makanan yang konvensional akan menghalang pengeluaran produk yang tinggi kuantiti dan berkualiti. 

Sudah tiba masanya usahawan dalam kalangan perusahaan keluarga yang berasaskan hasil pertanian ini menggunakan mesin pemprosesan makanan. Ianya relevan dengan arus kerajaan kini yang mengiat usahakan Revolusi Industri 4.0. Usahawan perlu bersedia dan menerima inovasi industri asas tani. Mesin yang berinovasi perlu digunakan bagi pengeluaran produk dalam kuantiti yang banyak dan kualiti tinggi. Ia juga dapat menjimatkan masa pengeluaran produk yang sebelum ini mengambil masa lima jam kepada dua jam sahaja. Dengan adanya mesin pemprosesan makanan, penggunaan masa lebih efektif. Selain itu, masalah pekerja yang tidak mahir dapat diatasi dengan adanya mesin. Mesin membantu mengatasi masalah pekerja. Usahawan dan pekerja yang setia hanya akan menggunakan mesin bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Dengan ini, permintaan pelanggan dapat dipenuhi tanpa risaukan masalah kualiti produk yang dihasilkan.

Program ini dapat membantu memberi pendedahan kepada usahawan tentang pentingnya penggunaan mesin pemprosesan makanan. Pegawai pertanian juga diberi input bagi membantu usahawan dibawah seliaan mereka tentang kriteria pemilihan mesin dan penerimaan usahawan terhadap sesuatu mesin yang berinovasi. Hasil program ini, usahawan dan pegawai pertanian menyatakan mereka mendapat ilmu yang bermanfaat dan akan implementasi ilmu yang dipelajari terutama dalam penggunaan dan pembelian mesin pemprosesan makanan. Mereka juga perlu berani berubah dan menggunakan mesin berinovasi bagi menghasilkan produk. Kini mereka juga perlu bersedia melabur dalam pembelian mesin dan tidak hanya menunggu bantuan mesin dari kerajaan. Jabatan Pertanian Malaysia kini menggalakkan usahawan pemprosesan makanan untuk lebih berdaya saing, berilmu dan berinovasi.




Penulis

Dr. Askiah binti Jamaluddin
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, FEM

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 29/03/2019 | Updated: 29/03/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1574468100