Pembiayaan Semula (Refinance): Kelebihan Vs. Kelemahan | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Pembiayaan Semula (Refinance): Kelebihan vs. Kelemahan

Pembiayaan Semula (Refinance): Kelebihan vs. Kelemahan

Oleh:  Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri




Pembiayaan semula atau refinance (overlap) ialah satu proses pertukaran gadaian sari satu institusi kewangan ke institusi kewangan yang lain. Pinjaman kenderaan dan perumahan merupakan dua jenis bentuk pinjaman yang biasanya dilakukan pembiayaan semula oleh pengguna. Tempoh maksimum pembiayaan menerusi pinjaman kenderaan yang dibenarkan untuk kenderaan terpakai adalah selama 7 tahun dan bagi kenderaan baru adalah selama 8 tahun bagi pinjaman kerajaan. Manakala terdapat institusi kewangan yang menawarkan pinjaman kenderaan untuk tempoh maksimum sehingga 9 tahun. Bagi pembiayaan pembelian hartanah kediaman, tempoh maksimum adalah selama 35 tahun.  Tempoh yang lama biasanya  ada kaitan dengan caj bayaran faedah yang tinggi di samping risiko lain seperti inflasi dan sebagainya.  

Berikut digariskan beberapa kelebihan sekiranya anda membuat pembiayaan semula:

  1. Mengurangkan faedah pinjaman anda

Kadar pinjaman asas (KPA) atau Base Lending Rate (BLR) merupakan istilah yang biasa digunakan dalam pembiayaan pinjaman perumahan. Perubahan yang berlaku dalam KPA akan mempengaruhi kadar faedah pinjaman perumahan. Ini seterusnya akan membantu mengurangkan ansuran bulanan pinjaman anda terutama apabila pihak bank menawarkan KPA yang lebih rendah dan kompetitif. Kadar pinjaman asas semasa ialah 6.85%.

Senario:

Andaikan kadar faedah tetap pinjaman perumahan anda sebanyak 6.85% setahun. Sebuah bank menawarkan pembiayaan semula dengan kadar faedah semasa sebanyak 4.35% setahun. Melalui pembiayaan semula anda dapat melakukan penjimatan sebanyak 2.5% setahun sepanjang tempoh pinjaman anda. Katakan nilai apartmen anda berharga RM300,000. Dengan perbezaan kadar faedah sebanyak 2.5% itu anda dapat melakukan penjimatan sebanyak RM7,500 setahun atau RM625.00 sebulan.

  1. Mengurangkan komitmen kewangan bulanan anda

Bagi individu yang mempunyai komitmen kewangan bulanan yang tinggi, pelan pembiayaan semula dengan tempoh pembayaran yang lebih panjang membolehkan mereka membayar ansuran bulanan yang lebih kecil. Dalam contoh di bawah, anda dapat membuat penjimatan bulanan sebanyak RM138.00. Penjimatan ini boleh digunakan sama bagi tujuan pembayaran pinjaman yang lain seperti kenderaan, pendidikan atau kad kredit. Lebihan ini juga boleh digunakan sebagai simpanan bulanan.

Senario:

Andaikan anda membuat pinjaman perumahan sebanyak RM400,000 dengan kadar faedah 4.8% setahun selama 35 tahun (jenis pinjaman fleksi, margin pembiayaan 90% dan tempoh berkunci selama 5 tahun), anda mungkin mempunyai bayaran bulanan sebanyak RM1,771.

Katakan selepas membayar selama 10 tahun, anda membuat keputusan untuk membiayai semula jumlah baki pada kadar semasa yang lebih rendah (4.35%) tetapi memanjangkan tempoh untuk jangkamasa yang sama. Dengan andaian baki jumlah pinjaman sedia ada sebanyak RM350,000, bayaran bulanan anda adalah sebanyak RM1,633.

  1. Pakej pembiayaan yang sesuai dengan kemampuan anda

Pembiayaan semula memberikan anda pilihan pakej yang sesuai dengan kedudukan kewangan semasa individu dan keadaan pasaran ekonomi negara semasa. Anda perlu membayar faedah yang tetap sepanjang tempoh pinjaman sekiranya memilih kadar faedah tetap. Walaubagaimanapun, individu yang memilih kadar faedah boleh ubah tertakluk kepada perubahan kadar pasaran semasa. Kemudahan pembiayaan semula membolehkan anda menukar pakej pembiayaan misalnya daripada kadar pinjaman boleh ubah kepada kadar faedah tetap.

 

Disenaraikan 3 kelemahan berkaitan dengan pembiayaan semula.

  1. Meningkatkan bebanan hutang

Bagi individu yang berhadapan dengan masalah kewangan, pembiayaan semula dilihat sebagai salah satu cara bagaimana mereka boleh memperbaiki aliran tunai. Tempoh pembiayaan yang lebih lama akan menyebabkan bayaran ansuran bulanan mereka lebih rendah. Sekiranya lebihan yang ada tidak diurus secara bijak, pembiayaan semula ini sebenarnya meningkatkan bebanan hutang kerana pengguna perlu membayar lebih dalam jumlah faedah secara keseluruhan untuk jangka masa panjang.

 

  1. Menanggung kos penyelengaraan (Liabiliti Tambahan)

Pembiayaan semula kenderaan untuk tempoh yang lama dilihat sangat berisiko. Ianya mempunyai kaitan dengan jangka hayat sesebuah kenderaan. Kebiasannya kenderaan baru mempunyai tempoh waranti antara 2-3 tahun bergantung kepada jenis dan syarikat pengeluar kenderaan Ada cadangan untuk menetapkan had 12 tahun sebagai jangka hayat kenderaan di negara kita. Selain daripada peningkatan harga petrol dan tol, pengguna juga berhadapan dengan liabiliti tambahan di mana mereka perlu menanggung kos penyelenggaraan kenderaan terutama untuk bahagian ‘‘wear and tear”. Biasanya selepas tempoh 4-5 tahun kenderaan akan mula buat ragam. Ini secara tidak langsung akan mempenrgaruhi aliran tunai pengguna.

 

  1. Ke mana lebihan wang ?

Kebanyakan pengguna membuat pembiayaan semula adalah untuk akses kepada jumlah wang yang banyak dengan “peminjaman lebih had”. Andaikan anda mempunyai jumlah pinjaman tertunggak bagi rumah berjumlah RM250,000.00 dan nilai semasa rumah anda ialah sebanyak RM350,000.00. Anda boleh membiayai semula 90% daripada 350,000.00 (iaitu 315,000.00). Anda boleh menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan pinjaman lama dan lebihan sebanyak RM65,000.00 sebagai simpanan tunai. Sekiranya bijak, anda boleh menggunakan lebihan tersebut untuk melangsaikan hutang pinjaman lain seperti kad kredit atau sewa beli kenderaan. Walaubagaimanapun, kebanyakan menggunakan wang tersebut untuk membuat pelaburan dalam pelbagai skim yang kononnya menawarkan pulangan lumayan. Malahan ada yang membuat hutang baru dengan membeli kenderaan.

 

Secara kesimpulannya, pembiayaan semula mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Secara peribadi penulis merasakan pembiayaan merupakan satu pilihan yang sesuai dan baik kepada pengguna dengan beberapa syarat antaranya mereka perlulah mengkaji kedudukan kewangan semasa terlebih dahulu, mengetahui tujuan pembiayaan, melakukan tinjauan dan perbandingan sebelum membuat pilihan pembiayaan semula dan mengkaji sama sejauh mana pembiayaan semula betul-betul memberi faedah kepada mereka. Harus diingat bahawa, ada masanya pembiayaan semula juga mendatangkan kerugian dan menambah beban hutang pengguna.

 

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 14/02/2019 | Updated: 14/02/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1569108855