Panduan Sebelum Membuat Pinjaman | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Panduan Sebelum Membuat Pinjaman

Panduan Sebelum Membuat Pinjaman

Oleh:  Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Keperluan dan kehendak pengguna yang pelbagai dan citarasa yang berbeza adakalanya sukar dipenuhi disebabkan oleh kekangan dari segi kemampuan kewangan. Tidak ramai dalam kalangan pengguna yang mampu untuk membeli kenderaan dan hartanah termasuk rumah yang mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit secara tunai. Bagi pengguna yang berpendapatan rendah dan sederhana mereka mungkin tidak mampu untuk membiayai pendidikan anak di peringkat tertiari terutama di institusi pengajian tinggi swasta sekiranya tanpa bantuan kewangan. Solusi kepada situasi ini adalah dengan mengambil pinjaman sama ada pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan, pendidikan, perumahan termasuk kad kredit. Terdapat pelbagai kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan di negara ini bagi memudahkan pengguna untuk memiliki apa yang diidamkan dan memenuhi apa yang dihajati selama ini.

 

Pengguna atau peminjam perlu melakukan ‘homework’ sebelum mereka membuat keputusan untuk membuat sebarang pinjaman. Perancangan awal sebenarnya dapat memberi penjimatan terhadap faeadah atau caj yang dikenakan ke atas wang yang dipinjamkan. Harus diingat bahawa perubahan yang sedikit dalam kadar faedah boleh mengakibatkan perubahan besar dalam jumlah pembayaran balik. Selain itu ia dapat membantu mengatasi masalah pinjaman tidak berbayar oleh peminjam. Pengguna perlu ada pengetahuan asas mengenai konsep “pinjaman”.

 

Di sini disenaraikan beberapa tips dan panduan yang dapat membantu pengguna atau peminjam sebelum mereka membuat keputusan untuk meminjam.

 

  1. Celik Pinjaman
  • Pengguna perlu fahami 3 peraturan asas meminjam iaitu tujuan pinjaman dibuat, keupayaan membayar balik pinjaman dan sejarah pembayaran.
  • Fahami terma dan konsep yang digunakan misalnya Kadar Pinjaman Asas (BLR). Ianya merujuk kepada kadar feadah minimum dikira oleh institusi perbankan berdasarkan formula yang mengambilkira kos perbelanjaan institusi dan caj pentadbiran yang lain.
  • Dalam kes pinjaman perumahan. Andaikan BLR ditetapkan oleh BNM sebanyak 6.5% manakala BLR ditawarkan oleh bank sebanyak 2.5%. Faedah sebenar untuk pinjaman rumah anda adalah sebanyak 4.0% (6.5%-2.5%).
  • Berkuatkuasa 2 Januari 2015, Kadar Pinjaman Asas (BLR) digantikan dengan Kadar Asas

 

 

  1. Fahami jenis kadar faedah – ini amat penting kerana ianya memberi kesan terhadap keseluruhan kos pinjaman anda
    • Kadar tetap – faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa pada kadar faedah yang tidak berubah sepanjang tempoh pinjaman.
    • Kadar terapung – faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa dengan kadar faedah bersandarkan pada kadar asas (Kadar Pinjaman/Pembiayaan Asas). Kadar ini boleh berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman
    • Kadar sama rata – faedah dikira berdasarkan jumlah asal nilai pinjaman sepanjang tempoh pinjaman.

 

  1. Bandingkan kadar pinjaman
    • Peruntukkan sedikit masa untuk membandingkan kadar pinjaman/pembiayaan, tempoh ‘lock-in’, penalti, ciri produk pinjaman yang ditawarkan, fi dan caj bagi mendapatkan pakej pinjaman terbaik.
    • Bandingkan kadar pinjaman yang dikenakan oleh institusi kewangan sebelum membuat pinjaman. Adalah dicadangkan agar perbandingan melibatkan sekurang-kurangya daripada 3 institusi kewangan yang berbeza.
    • Lawati laman sesawang yang dapat membantu anda mendapatkan pelbagai informasi berkaitan dengan kadar pinjaman yang ditawarkan misalnya
      • com.my
      • my
      • com.my – jadual perbandingan

 

  1. Risiko pinjaman
    • Sekiranya peminjam tidak dapat menjelaskan bayaran ansuran pinjaman bagi tempoh tertentu mereka akan terdedah dengan pelbagai risiko antaranya bayaran caj tambahan atau penalti disebabkan oleh kelewatan pembayaran, aset ditarik balik atau dilelong serta terdedah kepada fenomena muflis.

 

  1. Semak Laporan Kredit
  • Pengguna disarankan untuk mendapatkan laporan kredit (CCRIS-Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) daripada Bank Negara Malaysia bagi menyemak status kredit semasa mereka sebelum membuat pinjaman baharu.

 

Anda boleh mendapatkan pakej pinjaman yang baik dan bersesuaian dengan kemampuan kewangan anda dengan melengkapkan permohonan secara percuma dengan melayari laman sesawang seperti dinyatakan di atas. Anda boleh memilih pelbagai senario bagi tujuan perbandingan misalnya dengan memasukkan maklumat seperti jumlah pinjaman dimohon, jenis pinjaman, tempoh pinjaman, umur, gaji bulanan dan sebagainya. Walau pinjaman adalah satu bentuk kemudahan tetapi sekiranya ianya tidak diurus secara bijak ianya pasti akan mendatangkan bebanan kepada anda dan keluarga.

 

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 14/02/2019 | Updated: 14/02/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1574464235