Malaysia Perlukan Penasihat Kewangan Bertauliah Dan Berlesen | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Malaysia Perlukan Penasihat Kewangan Bertauliah dan Berlesen

Malaysia Perlukan Penasihat Kewangan Bertauliah dan Berlesen

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menyaksikan perkembangan kewangan digital yang telah mengubah lanskap pasaran kewangan global dan tempatan. Lanskap kewangan yang berubah-ubah dan keperluan pengguna yang semakin kompleks memerlukan standard yang lebih tinggi oleh pihak industri untuk menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan yang dapat memenuhi selera pengguna pada masa kini. Bagi membantu pengguna berhadapan dengan cabaran kewangan semasa, pengenalan pengantara profesional seperti penasihat kewangan bagi membolehkan pengguna mendapat nasihat profesional tentang pilihan produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih luas merupakan saranan penting Bank Negara Malaysia menerusi Pelan Induk Sektor Kewangan.


Data daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa sehingga 30 Jun 2017 terdapat 618 orang individu sahaja yang mempunyai kelayakan dan berlesen untuk menjadi penasihat kewangan (financial adviser) untuk populasi Malaysia seramai 31.4 juta orang (1:50,500). Nisbah individu kepada penasihat kewangan yang besar ini menunjukkan potensi permintaan terhadap perkhidmatan ini dan negara memerlukan lebih ramai penasihat dan perancang kewangan yang bertauliah dan berlesen. Persoalannya siapakah profesional kewangan ini dan sejauhmana mereka boleh membantu pengguna?


Setiap pengguna memerlukan pendapatan yang stabil dan berterusan dalam memenuhi objektif kewangan iaitu menyara kehidupan (aliran tunai, cukai dan zakat) ), menanggung kos perubatan, menyara kehidupan masa bersara (simpanan, pelaburan dan persaraan), membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak, majlis perkahwinan anak-anak, menunaikan ibadah haji dan umrah, melancong dan pelbagai objektif lain lagi. Secara kasarnya, pengguna sendiri tidak mampu untuk memenuhi semua komitmen kewangan di atas ataupun terpaksa mengambil masa yang lama untuk mencapai impian mereka terutama pengguna yang tidak mempunyai literasi dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi. Maka di sini bermulalah peranan dan khidmat kumpulan profesional ini.


Umumnya, istilah penasihat dan perancang kewangan sering digunapakai bersama. Untuk memudahkan kefahaman masyarakat umum, penulis mengkategorikan “penasihat kewangan” kepada dua iaitu individu yang mewakili syarikat di mana peranan utama mereka adalah memberi khidmat nasihat berkaitan produk dan perkhidmatan syarikat yang diwakili mereka contohnya perunding insurans, takaful, unit amanah dan perancang estet. Kategori kedua pula ialah individu yang mewakili klien yang dikenali sebagai “perancang kewangan bertauliah dan berlesen”. Walaubagaimanapun mengikut undang-undang, penasihat kewangan kategori pertama tidak boleh digelar penasihat kewangan (financial adviser) atau perancang kewangan (financial planner) kerana terdapatnya peruntukan undang-undang yang melarang penggunaan istilah tersebut sewenangnya. Hanya penasihat kewangan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sahaja yang layak dan boleh menggunakan istilah tersebut. Sekiranya didapati bersalah, individu tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM25 juta, penjara tidak melebihi 8 tahun atau kedua-duanya sekali.


Peranan utama penasihat atau perancang kewangan bertauliah dan berlesen ialah menyediakan khidmat nasihat kewangan yang holistik kepada pengguna, termasuk aliran tunai, pengurusan hutang, perlindungan risiko (insurans dan takaful), simpanan untuk pendidikan, pelaburan masa hadapan, percukaian dan zakat, perancangan persaraan dan pengurusan estet. Kumpulan profesional ini akan membantu pengguna dalam pelbagai bidang yang diperlukan termasuk mengenal pasti matlamat kewangan, menentukan kos untuk mencapainya, melihat semula berapa yang harus disimpan dan labur berdasarkan pendapatan yang diperoleh dengan membuat andaian-andaian kadar pengumpulan yang boleh dicapai, merangka portfolio pelaburan, menguruskan risiko serta boleh membantu menyediakan wasiat dan sebagainya.


Sebagai penasihat kewangan bertauliah, kumpulan profesional ini perlu memiliki 2 lesen  iaitu Financial Adviser Representative (FAR) yang diperolehi apabila berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan satu lagi ialah Licensed Capital Market Services Representative atau lebih dikenali sebagai Financial Planner Representative (FPR) yang berdaftar dengan Suruhanaya Sekuriti. Secara mudahnya, FAR untuk mendapatkan nasihat kewangan dalam hal ehwal insurans dan takaful. Manakala FPR untuk mendapatkan nasihat kewangan hal ehwal pelaburan. Bukan semua FAR adalah FPR dan sebaliknya. Tetapi ramai FAR juga ada lesen FPR.


Antara kelebihan penasihat kewangan bertauliah dan berlesen ini berbanding dengan kategori 1 di atas ialah mereka akan memberi nasihat yang tidak cenderung (bias) kepada syarikat tertentu dan produk tertentu kerana mereka boleh engage dengan pelbagai syarikat.  Harus diingat bahawa sekiranya seseorang itu memilik sijil sebagai contoh Islamic Financial Planner (IFP), Registered Financial Planner (RFP), Shariah Registerd Financial Planner (ShRFP), Chartered Financial Consultant (ChFC) atau Certified Financial Planner (CFP) mereka tidak secara automatik menjadi FAP atau FPR kerana ianya perlu didaftar dan mempunyai prosedur tertentu. Untuk mendapatkan khidmat profesional ini pengguna atau klien akan dikenakan bayaran biasanya bergantung kepada penasihat kewangan. Ada yang lebih kepada sesi seperti kaunseling dan caj dikenakan bergantung kepada berapa lama proses ataupun berdasarkan masalah kewangan yang dihadapi. Ada juga tidak mengenakan caj tetapi jika ada produk kewangan ditawarkan, komisyen yang diperolehi oleh penasihat kewangan sudah memadai. Sebagai seorang yang professional, penasihat kewangan akan memberitahu setiap komisyen dan yuran secara terperinci sebelum mereka menawarkan perkhidmatan kepada klien.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

Date of Input: 08/03/2019 | Updated: 08/03/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1569109802