Dilema Sosial Dalam Kalangan Pengguna | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Dilema Sosial Dalam Kalangan Pengguna

Dilema Sosial Dalam Kalangan Pengguna


Oleh:
 Profesor Dr. Ahmad Hariza Hashim

 

Dilema sosial digambarkan sebagai suatu situasi yang memperlihatkan individu berada dalam persimpangan untuk memilih salah satu daripada dua pilihan melibatkan pilihan individualistik mahupun pilihan pro-sosial. Individu yang menghadapi dilema sosial seringkali cenderung mengutamakan pilihan individualistik berbanding mengutamakan pilihan yang mendatangkan kepentingan kepada keseluruhan ahli masyarakat (Social Dilemma, 2009). Kebiasaannya, pilihan yang dilihat mendatangkan kepentingan peribadi dalam dilema sosial dilihat lebih memberi keuntungan serta kepuasan kepada individu berbanding pilihan yang cenderung mengarah kepada kepentingan keseluruhan kolektif (Dawes, 1980). Di dalam era globalisasi ini, bertingkah laku secara lestari mengkehendaki pengguna supaya mengubah gaya hidup dan corak dalam tingkah laku seharian. Dalam konteks dilema sosial berkaitan tingkah laku pembelian lestari, pengguna dilihat memikirkan kepentingan kolektif namun dalam masa yang sama perlu memenuhi kehendak peribadi. Menurut Dodson (2003), pengguna yang memikirkan kepentingan alam sekitar akan cenderung mengorbankan kepentingan peribadi bagi melaksanakan tanggung jawab mereka terhadap alam sekitar. Dalam pembuatan keputusan pengguna, mereka sering kali berhadapan dengan konflik iaitu sama ada bertindak ke arah cara hidup lestari ataupun dengan cara sebaliknya seperti bertingkah laku secara tidak lestari.

Dilema sosial diterjemahkan sebagai suatu keadaan dimana psikologi individu berada di tahap yang kurang rasional dan terganggu ketika proses pembuatan sesuatu keputusan yang melibatkan kesan terhadap masyarakat dan alam sekitar (Dawes dan Messick, 2000). Menurut Aini Said’ dan Fakhru’l -Razi Ahmadun (2005), persekitaran meliputi segala elemen yang terkandung di alam semesta sama ada yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. 

Semuanya saling berinteraksi dan saling menyokong antara satu sama lain untuk menghasilkan keseimbangan ekosistem yang penting ke arah menjamin kesejahteraan serta kesinambungan kehidupan di alam ini. Senario dunia masa kini memperlihatkan kecenderungan segelintir masyarakat yang semakin menitikberatkan mengenai kelestarian alam sekitar. Keprihatinan dan rasa tanggung jawab terhadap alam sekitar ini ditunjukkan oleh masyarakat selaras dengan aspirasi mereka yang mahu seluruh penghuni alam pada masa kini dan hadapan berterusan hidup dalam keadaan baik serta dapat menikmati alam sekitar yang sihat (Hannigan, 2006). Namun begitu, segelintir individu didapati tidak bersedia mengamalkan gaya hidup yang menjurus ke arah aspek kelestarian dan keadaan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam situasi dilema sosial (Gupta & Ogden, 2009).

 

Penulis

Profesor Dr. Ahmad Hariza Hashim
Dekan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Presiden, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA)
2018/2020

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 17/07/2019 | Updated: 19/07/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1574464567