Bijak Melabur Wang Selamat | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Bijak Melabur Wang Selamat

Bijak Melabur Wang Selamat

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Pelaburan merujuk kepada suatu aktiviti atau tindakan menangguhkan penggunaan wang yang pada masa ini dengan harapan untuk mendapatkan pulangan pada masa hadapan. Menurut Suruhanjaya Sekuriti, pelaburan merupakan aktiviti yang boleh menambah nilai simpanan seseorang. Pelaburan adalah komitmen dana kepada satu aset atau lebih yang akan dipegang untuk satu tempoh pada masa hadapan, dengan harapan aset tersebut akan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi. Aset biasanya terdiri daripada pelbagai bentuk seperti hartanah atau sekuriti kewangan. Terdapat beberapa manfaat pelaburan kepada individu antaranya ia boleh menambah sumber pendapatan individu. Selain itu ia juga merupakan simpanan untuk masa hadapan dan sebagai simpanan untuk persiapan menghadapi masa persaraan. Pelaburan juga adalah satu cara baik untuk mengekalkan gaya hidup sedia ada apabila seseorang bersara. Faedah pelaburan yang diperolehi individu sebenarnya bergantung kepada tujuan dan objektif mengapa mereka melabur. Manfaat lain ialah ia sebagai satu bentuk simpanan untuk pembiayaan pendidikan anak-anak dan keluarga.


Masyarakat harus faham bahawa simpanan dan pelaburan merupakan dua konsep yang berbeza. Lazimnya jenis, bentuk dan tahap risiko juga berbeza. Secara umumnya boleh kita katakan bahawa menyimpan wang di bank adalah lebih selamat berbanding membuat pelaburan. Menyimpan wang di bank dikatakan selamat kerana simpanan pengguna atau entiti perniagaan mempunyai perlindungan insurans deposit di mana simpanan mereka akan dilindungi daripada kehilangan sekiranya berlaku kegagalan kepada bank yang merupakan ahli kepada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Harus diingat bahawa bank yang merupakan ahli PIDM sahaja dilindungi. Semua bank perdagangan berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan semua bank islam berlesen di bawah Akta Bank Islam 1983, termasuk bank-bank asing yang beroperasi di Malaysia, merupakan bank-bank ahli PIDM.


Ada pandangan yang menyatakan bahawa menyimpan wang di bank bebas daripada sebarang risiko. Pada pandangan saya, kurang tepat sekiranya kita katakan bahawa menyimpan wang di bank bebas daripada sebarang risiko kerana ianya juga terdedah dengan risiko iaitu “inflasi”. Inflasi akan memberi kesan ke atas penyusutan nilai matawang. Kadar inflasi yang semakin meningkat memberi impak yang besar kepada kuasa beli pengguna dan mempengaruhi struktur dan perkembangan ekonomi sesebuah negara. Kesannya, nilai matawang Malaysia akan semakin mengecil dan berlaku lambakan mata wang dalam pasaran semasa.


Bagi memudahkan perbincangan, mari kita perhatikan dan perhalusi senario berikut. Andaikan kadar pulangan (faedah) yang diterima untuk simpanan biasa di sebuah bank adalah sebanyak 3%. Manakala kadar inflasi semasa adalah pada sekitar 2%. Maka kadar pulangan (faedah) sebenar yang diterima hanyalah sebanyak 1% sahaja (3%-2%). Bayangkan sekiranya kadar inflasi semasa melebihi kadar pulangan (faedah) yang diterima. Bagaimana dengan kadar pulangan (faedah) sebenar yang diperolehi hasil daripada simpanan tersebut?


Mutakhir ini, ramai dalam kalangan masyarakat terdedah dan terlibat dengan pelbagai bentuk skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat. Bukan mudah untuk wujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melabur dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun masyarakat perlu didedahkan dengan ilmu dan kemahiran membuat pelaburan secara berterusan (berkala) melalui penganjuran bengkel atau siri seminar pelaburan yang boleh dianjurkan oleh pihak majikan di tempat kerja atau pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti. Pendekatan yang kreatif dan inovatif perlu digunakan semasa penyampaian kerana topik pelaburan lebih bersifat teknikal dan ini dapat mengelak masyarakat daripada merasakan sukar untuk menggarap ilmu pelaburan. Selain daripada itu, sesi perkongsian pengalaman daripada pengguna yang berjaya dalam dunia pelaburan juga secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk terus menceburi bidang pelaburan.


Bukanlah perkara yang mudah untuk menentukan mana satu jenis pelaburan yang sesuai untuk seseorang. Pelbagai faktor perlu diambilkira dalam membuat  keputusan untuk melabur kerana apabila dikatakan pelaburan ianya tidak dapat lari daripada risiko kerugian. Lazimnya semakin tinggi pulangan yang diterima daripada sesuatu jenis atau bentuk pelaburan semakin tinggi risikonya. Dalam perkara ini, perkara utama ialah pelabur perlu jelas apa matlamat atau objektif pelaburan mereka. Umumnya terdapat tiga (3) objektif utama pelaburan iaitu (1) Pendapatan – tumpuan adalah untuk menjana pendapaatan yang berterusan dengan melabur dalam instrumen pendapatan/bon, (2) Pertumbuhan – tumpuan kepada peningkatan dan pemecutan pertumbuhan modal dengan melabur dalam ekuiti dan (3) Pertumbuhan & pendapatan – tumpuan kepada keseimbangan di antara meningkatkan pertumbuhan modal dan pendapatan dengan melabur dalam asset campuran contohnya ekuiti dan instrumen pendapatan tetap/bon.


Seterusnya, pelabur disaran untuk menjalani ujian personaliti pelaburan (profil risiko peribadi). Melalui ujian ini pelabur dapat mengetahui sejauhmana toleransi mereka terhadap risiko pelaburan atau tahap kesanggupan pelabur untuk mengambil risiko dalam membuat pelaburan. Terdapat 3 profil risiko pelabur iaitu (1) Pelabur konservatif - terdiri daripada mereka yang sangat selesa dengan portfolio pelaburan berisiko rendah (tidak sanggup atau kurang mengambil risiko). Ini kerana, mereka hanya boleh bertoleransi dengan perubahan yang sedikit di dalam pelaburan mereka. Dengan itu, dapat menjamin pulangan yang rendah serta selamat. Contoh produk pelaburan adalah simpanan biasa dan simpanan tetap (2) Pelabur sederhana –terdiri daripada mereka yang mementingkan portfolio pelaburan yang seimbang. Mereka lebih selesa dengan portfolio pelaburan yang berisiko tinggi dan berisiko rendah. Contoh produk pelaburan adalah unit amanah dan bon (3) Pelabur agresif - terdiri daripada mereka yang sangat selesa dengan portfolio pelaburan berisiko tinggi dan mereka mempunyai kadar toleransi yang tinggi terhadap risiko pelaburan dan mengharapkan pulangan tinggi. Contoh produk pelaburan adalah pasaran saham, hartanah, kontrak niaga hadapan dan pasaran wang.


Setelah mengetahui profil risiko, adalah disarankan untuk pelabur mendapatkan khidmat daripada penasihat kewangan seperti perunding unit amanah, remiser, perunding takaful atau insurans serta pihak lain yang berkelayakan bergantung kepada jenis instrumen pelaburan yang terlibat. Selamat melabur !!

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 27/03/2019 | Updated: 27/03/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1573702261