“Bebaskan Diri Anda Dan Keluarga Dari Penjara Hutang” | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » “Bebaskan Diri Anda dan Keluarga dari Penjara Hutang”

“Bebaskan Diri Anda dan Keluarga dari Penjara Hutang”

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri


Pinjaman atau hutang merupakan satu bentuk kemudahan kepada pengguna untuk memenuhi pelbagai keperluan atau kehendak. Seorang penulis buku bertajuk “Good Debt, Bad Debt: Knowing The Difference Can Save Your Financial Life” iaitu Jon Hanson membuat analogi bahawa hutang seumpama kolesterol. Kolesterol diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Kolesterol terbahagi kepada dua iatu kolesterol baik (High Density Lipoproteins) dan kolesterol jahat (Low Density Lipoproteins). Sekiranya paras kolesterol jahat tidak dikawal ianya akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Mengekalkan tahap kolesterol dalam peringkat yang disarankan (normal) adalah penting untuk memastikan kesihatan tubuh badan berada dalam keadaan terbaik. Secara umumnya, hutang juga terbahagi kepada dua iaitu hutang baik  dan hutang tidak baik. Sama seperti kolesterol, terlalu banyak hutang boleh mendatangkan masalah kepada individu dan keluarga hingga membawa kepada perceraian, penderaan, pergaduhan dan kematian.


Laporan Tahunan BHEUU, Jabatan Perdana Menteri (2015) menunjukkan seramai 18,457 orang individu telah diisytiharkan muflis di mana peratusan tertinggi disebabkan oleh pinjaman peribadi (28.3%). Kegagalan membayar hutang ini adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah (26.2%) dan tidak mengetahui mengenai hutang (19.3%). Ini jelas menunjukkan kurangnya pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan pengguna terutama berkaitan aspek pengurusan hutang atau kredit sehingga membawa kepada bebanan hutang. Hampir semua individu dan keluarga mempunyai matlamat kewangan yang sama iaitu ingin bebas dari hutang dan menjalani tempoh persaraan yang selesa. Bagi mencapai matlamat tersebut, kita perlu mempunyai perancangan dan strategi yang berkesan. Sebelum meminjam, pengguna sendiri perlu faham tiga asas meminjam iaitu meminjam untuk tujuan produktif, mengikut kemampuan dan bukan keselesaan serta peminjan itu mempunyai tanggungjawab moral iaitu hutang perlu dilunaskan. Ramai masyarakat kita mengambil mudah mengenai hutang. Menurut pakar kewangan pengguna, cara atau kaedah hutang yang betul ialah dengan membuat hutang yang produktif iaitu hutang yang dapat meningkatkan aset atau memberi nilai tambah misalnya hutang untuk pendidikan, membeli rumah atau hartanah dan meminjam untuk tujuan perniagaan.


Salah satu teknik dalam pengurusan hutang ialah dengan membuat daftar atau senarai hutang. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh penulis berkaitan keupayaan kewangan (financial capability) dalam kalangan pekerja muda pada tahun 2014, hanya satu pertiga responden sahaja yang menyediakan senarai hutang atau pinjaman yang dimiliki mereka. Ini menggambarkan bahawa sebilangan besar responden atau pekerja sendiri tidak mengetahui atau mengambil mudah mengenai hutang mereka. Sehubungan itu, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan menyenaraikan semua hutang yang ada dan sekiranya sudah berkahwin pastikana anda berkongsi perkara ini dengan pasangan anda. Berikut dibincangkan beberapa strategi yang boleh membantu individu dan keluarga untuk membebaskan diri mereka dari belenggu hutang:

  1. Hentikan dari membuat hutang baharu – sebelum membuat hutang baharu anda perlu menilai kedudukan kewangan semasa dan tentukan sejauhmana komitmen kewangan anda ke atas bayaran bulanan pinjaman yang telah sedia ada. Sekiranya bayaran ansuran pinjaman bulanan (monthly installment) melebihi daripada 30% pendapatan bulanan, anda dinasihatkan untuk tidak membuat hutang baharu.

  2. Langsaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi dahulu – sekiranya anda mempunyai dua jenis hutang misalnya pinjaman kenderaan (kadar faedah 3.5% setahun) dan kad kredit (kadar faedah 18%), anda disaran untuk melangsaikan baki hutang kad kredit terlebih dahulu.

  3. Buka dana “bayaran penuh hutang” – anda dinasihatkan untuk membuka satu dana atau tabungan khas bagi tujuan melangsaikan hutang sepenuhnya. Sebagai contoh, anda boleh memperuntukan sebahagian wang daripada pendapatan bulanan diterima untuk dana ini.

  4. Gunakan duit “durian runtuh” untuk langsaikan hutang – bagi mereka yang bekerja biasanya akan menerima bonus tahunan. Gunakan bonus tahunan yang diterima untuk melangsaikan hutang. Manakala bagi mereka yang menjalankan perniagaan, keuntungan daripada perniagaan boleh diperuntukkan sebahagian untuk tujuan tersebut. Dividen dan bonus yang diterima hasil daripada simpanan dan pelaburan juga dapat membantu anda untuk membayar hutang.

  5. Simpan duit kenaikan gaji tahunan – Biasanya bagi mereka yang bekerja sama ada di sektor awam atau swasta akan menerima kenaikan gaji tahunan berdasarkan pencapaian prestasi kerja mereka. Untuk bebas dari hutang, anda boleh simpan 100% duit kenaikan gaji tahunan dan salur wang tersbut ke dana “bayaran penuh hutang”.

  6. Simpan duit bayaran ansuran bulanan –Sekiranya anda telah selesai melunaskan satu hutang misalnya pinjaman kenderaan, simpan duit bayaran ansuran bulanan untuk bulan-bulan seterusnya ke dalam dana “bayaran penuh hutang”.

  7. Bayar hutang secara automatik – Untuk memastikan anda tidak terlewat atau tertangguh untuk bayaran pinjaman, anda dinasihatkan untuk membuat potongan atau bayaran pinjaman secara automatik atau arahan tetap (standing instruction) setiap bulanan.

Selain daripada strategi di atas, anda juga boleh memilih salah satu daripada kaedah yang dibincangkan di bawah untuk melangsaikan hutang dengan pantas. Ketiga-tiga kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi terpulang kepada anda untuk memilih kaedah mana yang sesuai dan selesa dengan kemampuan dan kedudukan kewangan anda.

  1. Kaedah “Snowball” – kaedah ini menuntut anda untuk menumpukan komitmen kewangan anda untuk membayar satu akaun hutang pada satu masa. Manakala bayaran hutang-hutang yang lain dibuat secara minimum sahaja. Kaedah ini melibatkan langkah-langkah seperti berikut:
  • Senaraikan semua hutang yang ada di mana senaraikan dari jumlah yang berbaki kecil sekali sehingga yang berbaki tinggi disenarai paling bawah.

  • Senaraikan juga kadar faedah setiap hutang tersebut. Hubungi setiap bank yang anda berhutang dan mohon mereka semak berapa baki hutang anda terkini.

  • Catitkan tarikh akhir pembayaran harus dibuat

  • Bayar dahulu hutang yang sedikit tujuannya untuk melangsaikan hutang tersebut

  • Konsisten bayar hutang tersebut hingga habis dan pergi ke hutang yang seterusnya.

  • Kaedah ini mungkin ambil tempoh masa yang lama bagi melangsaikan semua hutang dan bayaran minimum hutang lain akan menyebabkan pengumpulan faedah di mana tempoh bayaran akan menjadi lebih panjang

  1. Kaedah “Debt Stacking” – kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah penyusunan hutang. Langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Senaraikan dan susun semula hutang anda mengikut kadar faedah dan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi perlu dilangsaikan terlebih dahulu.

  • Anda perlu melangsaikan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi dahulu

  • Kaedah ini dapat mengelakkan anda daripada membayar kadar faedah berganda kerana anda akan menyelesaikan baki pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang tertinggi dahulu.

  • Kaedah ini akan mengambil masa yang panjang dan ia memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi.

  1. Kaedah “Snowflake” – kaedah ini dikenali sebagai kaedah yang fleksibel jika dibandingkan dengan dua kaedah di atas. Langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Baki hutang dibayar mengikut kemampuan kewangan anda kekerapan bayaran yang lebih tinggi.

  • Walaupun bayaran minimum untuk baki hutang anda telah dibuat, anda terus membuat bayaran baki hutang setiap kali anda mempunyai atau menerima lebihan wang mengikut kemampuan dan keselesaan anda.

  • Sekiranya anda mempunyai komitmen kewangan yang tinggi, kaedah ini tidak membebankan kerana anda hanya perlu bayar secara sedikit demi sedikit. Misalnya RM30 minggu pertama, RM60 minggu kedua dan seterusnya.

  • Antara kekurangan kaedah ini ialah anda perlu membuat bayaran balik hutang dalam tempoh yang lebih lama dan sukar menjangkakan bila hutan tersebut dapat dilunaskan.

 

Tiada cara yang mudah dan cepat untuk anda melangsaikan hutang. Harus diingat bahawa tanggungjawab sebagai seorang peminjam adalah untuk membuat bayaran hutang atau pinjaman tepat pada masanya. Anda dinasihatkan untuk sentiasa menyemak laporan kredit anda (CCRIS atau CTOS). Lagi awal anda dapat melangsaikan hutang lagi baik. Sekiranya anda berhadapan dengan masalah hutang yang kronik anda boleh mendapat nasihat daripada penasihat dan perancang kewangan bertauliah atau agensi yang mempunyai autoriti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Akhir kalam, selamat mengurus hutang dan bebaskan diri anda dari belenggu atau penjara hutang.



Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

  

Date of Input: 18/02/2019 | Updated: 18/02/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1574463903