Toleransi Tanpa Gugat Islam Teras Keharmonian | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Toleransi tanpa gugat Islam teras keharmonian

Toleransi tanpa gugat Islam teras keharmonian

Toleransi tanpa gugat Islam teras keharmonian

DALAM masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian beragama menjadi asas penting dalam membina dan mengekalkan kestabilan sosial.

Walaupun cabaran datang dari semasa ke semasa, seperti isu kalimah Allah, laungan azan, penggunaan perkataan Kaabah, solat dan Baitullah, ia wajar dijelaskan dengan sebaik mungkin dan diselesaikan dalam suasana harmonis sesama umat Islam dan bukan Islam.

Malaysia perlu terus kekal berusaha untuk mengekalkan hubungan sejahtera antara pelbagai agama yang dianuti oleh rakyat berbilang budaya menerusi amalan toleransi.

Kerajaan juga mewujudkan rangka kerja teguh untuk menggalakkan keharmonian beragama termasuk menguatkuasakan undang-undang melindungi hak kebebasan beragama, pendidikan bagi mengukuhkan persefahaman dan toleransi antara agama serta kolaboratif antara pemimpin agama untuk memudahkan dialog peradaban dan kerjasama dalam kalangan penganut agama.

Terdapat faktor mendorong pelaksanaan toleransi seperti pemahaman Rukun Negara, kesedaran terhadap meraikan kepelbagaian etnik dan budaya, dorongan pemimpin, penghayatan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Antara langkah penting diambil ialah menjadikan Perlembagaan sebagai medium utama menggalakkan persefahaman dan saling menghormati antara agama.

Perlembagaan mengiktiraf hak setiap individu memeluk agama atau kepercayaan pilihan mereka dan memberikan kebebasan menjalankan amalan agama mengikut kepercayaan mereka.

Perlembagaan larang diskriminasi

Perlembagaan turut melindungi hak ini dengan melarang diskriminasi berdasarkan agama, memastikan perlindungan individu atau kumpulan minoriti dan menjamin kebebasan beragama untuk semua rakyat.

Terdapat beberapa sebutan dalam Perlembagaan berkaitan hak beragama, berpegang kepada agama dan hak asasi manusia seperti Perkara 3 yang memperuntukkan agama Persekutuan ialah Islam, tetapi pada masa sama menjamin kebebasan beragama bagi penganut agama lain.

Perkara 11 Perlembagaan pula menjamin kebebasan beragama bagi setiap warganegara termasuk kebebasan menganut, mengamalkan dan menukar agama, manakala Perkara 12 melarang diskriminasi atas dasar agama dalam soal kewarganegaraan, kemasukan ke institusi pendidikan, pekerjaan di sektor awam dan akses kepada perkhidmatan awam.

Perkara 9 menyatakan jaminan hak untuk tidak dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pegangan agama dan hati nurani seseorang dan Perkara 10 memperuntukkan kebebasan bersuara, berhimpun termasuk hak menyampaikan serta mendapatkan maklumat mengenai agama dan menyertai aktiviti keagamaan.

Ini mencerminkan semangat toleransi beragama yang ditemukan di Malaysia. Bahkan terdapat ayat al-Quran menunjukkan toleransi beragama dan melarang penghinaan antara agama.

Ia boleh dibaca menerusi Surah al-Kafirun, bermaksud: "Katakanlah: Wahai orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu sekali-kali bukan penyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku."

Ayat ini menekankan prinsip asas toleransi beragama dalam Islam. Allah menyatakan setiap orang bebas memeluk agamanya sendiri dan mereka tidak dibenarkan memaksa atau menghina agama orang lain.

Kepentingan berlaku adil, buat baik

Begitu juga dalam Surah al-Mumtahanah, ayat kelapan bermaksud: "Allah tidak melarang kamu (orang Islam) berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang bersikap adil."

Ayat ini menekankan kepentingan berlaku adil dan berbuat baik kepada mereka yang tidak memerangi atau menghalau orang Islam kerana agamanya.

Hakikatnya, membina dan mengekalkan keharmonian antara agama di tengah-tengah kepelbagaian kaum dan anutan kepercayaan rakyat tidak boleh dikompromi.

Namun, ia menuntut usaha berterusan daripada kerajaan, pemimpin agama, masyarakat dan pemegang taruh untuk mengekalkan kestabilan dan kemajuan sosial rakyat.

Kebebasan beragama dan hak asasi individu perlu dihormati dan dilindungi. Untuk mencapai tujuan ini, penting untuk semua mempromosikan pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian agama serta memupuk sikap toleransi antara kaum berbeza fahaman agama.

Selain itu, pemimpin agama, organisasi masyarakat dan pemerintah perlu sentiasa berinteraksi dan berbincang bersama bagi mendorong dialog antara agama positif, merangka kolaborasi dan aktiviti yang mampu memperkuatkan hubungan antara kaum.

Dengan melakukan ini, Malaysia dapat mewujudkan masyarakat harmoni, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama yang wujud pada hari ini.

 

Oleh: Dr. Ahmad Nasir Mohd Yusoff - Mei 21, 2023 @ 9:06am

bhrencana@bh.com.my 


Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

Tarikh Input: 23/05/2023 | Kemaskini: 13/03/2024 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXETPAC~