Simpanan Emas Sebagai Strategi Pelaburan | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Simpanan Emas sebagai Strategi Pelaburan

Simpanan Emas sebagai Strategi Pelaburan

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Setiap individu terutamanya yang bekerja sudah pasti mengimpikan kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin. Persoalannya ialah sejauhmana dan bagaimana persiapan yang wajar dilakukan bagi memastikan impian tersebut dapat dicapai. Perancangan persaraan dilihat sebagai kaedah terbaik untuk membantu seseorang menempuh kehidupan masa persaraan. Kadar jangka hayat bagi lelaki di Malaysia adalah sekitar 73 tahun manakala bagi wanita adalah 78 tahun. Ini bermakna seseorang memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk tempoh 13 hingga 18 tahun. Salah strategi untuk memastikan pendapatan masa persaraan mencukupi adalah melalui pelaburan.

Simpanan emas dilihat sebagai salah satu bentuk pelaburan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Secara umumnya, terdapat dua jenis pelaburan emas iaitu pelaburan emas fizikal (membeli emas fizikal) dan pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas di institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan ini.  Pelaburan emas secara fizikal boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas.  Pakar pelaburan menasihatkan agar pelabur membeli emas fizikal dalam bentuk syiling emas dan jongkong emas kerana kelebihannya tersendiri iaitu mudah dibawa, mempunyai saiz, bentuk dan berat yang standard, mudah ditunaikan dan mempunyai perbezaan harga belian dan jualan yang rendah berbanding barang kemas. Barang kemas dikatakan bukanlah pelaburan yang baik kerana harganya lebih mahal disebabkan oleh kos upah membuat barang kemas tersebut dan ia mempunyai susut nilai yang agak tinggi iaitu sekitar 25-40%.

Terdapat beberapa kelebihan simpanan atau pelaburan emas antaranya ia bertindak sebagai hedging (cara melindungi nilai aset kita daripada kerugian disebabkan oleh inflasi). Emas digunakan sebagai hedging kerana nilainya tetap dan stabil walaupuan sistem ekonomi dan politik tidak menentu. Kedua, harga emas sentiasa meningkat dalam jangkamasa panjang dan merupakan bentuk pelaburan yang memberikan pulangan yang baik dan stabil berbanding instrumen pelaburan lain. Ketiga, pelaburan emas tidak dikenakan cukai kecuali zakat emas untuk pelabur Muslim. Keempat, emas boleh dipajak bagi mendapatkan wang tunai semasa kecemasan dan kesempitan hidup. Kelima, emas sukar diperolehi dan tidak boleh dicipta di mana kuantitinya tidak boleh ditambah dengan mudah berbanding wang kertas yang boleh dicetak. Keenam, ia merupakan bentuk pelaburan yang mempunyai nilai kecairan yang tinggi iaitu mudah ditukarkan dalam bentuk wang kertas bukan sahaja di Malaysia malah serata dunia. Ketujuh, pelaburan emas berbentuk fizikal (syiling dan barang kemas) dan bukan fizikal seperti akaun pelaburan emas (buku pelaburan) mudah untuk disimpan dan dibawa ke mana-mana. Berdasarkan kelebihan di atas, sudah pasti emas merupakan salah satu bentuk pelaburan yang sesuai untuk persaraan.

Harus diingat bahawa pelaburan emas tidak terkecuali juga mempunyai kelemahannya. Antara kelemahan pelaburan emas terutama yang menyertai skim pelaburan emas melalui syarikat yang tidak sah dan berdaftar ialah risiko kerugian. Pelabur boleh rugi sekiranya syarikat tersebut cabut lari atau syarikat tidak bayar atau syarikat menghadapi tindakan pihak berkuasa. Kerugian lebih dirasai sekiranya ada dalam kalangan pelabur terpaksa membuat pinjaman semata-mata untuk menyertai program pelaburan emas.

Sekiranya pengguna ingin melabur dalam apa sahaja jenis atau bentuk pelaburan, perkara yang paling utama mereka perlu adalah pengetahuan asas mengenai pelaburan tersebut. Ini dapat membantu mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan pelbagai bentuk skim pelaburan cepat kaya. Asasnya juga sama bagi pelaburan emas. Jangan disebabkan oleh kita dicanang dengan pulangan pelaburan yang tinggi dan lumayan kita begitu mudah untuk menyertai pelbagai bentuk pelaburan emas yang ada di pasaran.  Zaman serban moden dan canggih ini ramai individu dan banyak syarikat yang semakin kreatif dan inovasi dalam menghasilkan skim atau pelan pelaburan emas yang dikatakan mudah, menarik dan memberikan keuntungan segera serta lumayan.

Sekiranya betul-betul ingin melabur emas, pelabur dinasihatkan untuk mempunyai ilmu pengetahuan asas. Hadiri seminar atau kursus berkaitan pelaburan, beli buku atau bahan bacaan berkaitan pelaburan yang kini banyak terdapat di pasaran dan yang paling mudah adalah pelabur boleh dapatkan maklumat daripada internet. Selain itu, pelabur boleh dapatkan nasihat dan panduan daripada rakan yang mempunyai pengalaman melabur serta dapatkan khidmat runding daripada pakar atau penasiht kewangan bertauliah. Pelabur diingatkan supaya lebih berhati-hati dan meneliti risiko yang dikaitkan dengan pelaburan emas sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh jangka pendek.

 

Tips kepada bakal pelabur dan pelabur emas:

  1. Pelabur diinasihatkan supaya memeriksa latar belakang syarikat dan kesahihahn aktiviti pelaburan syarikt dengan pihak berkuasa contohnya pelabur boleh menyemak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berkaitan dengan pendaftaran syarikat.

  2. Maklumat prinsip shariah berkenaan urusniaga emas boleh didapati di laman sesawang Fatwa Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

  3. Aduan boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya pelabur mempunyai bukti bahawa emas yang dibeli daripada syarikat pelaburan emas tertentu berkualiti rendah.

  4. Pelabur boleh menyemak senarai syarikat yang telah disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia dengan melayari laman sesawang BNM (BNM Financial Consumer Alert) dan membuat laporan ke atas sebarang aktiviti atau entiti yang tidak sah dan mencurigakan ke BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Bank Negara Malaysia) dan Unit Penyiasatan Khas BNM.

  5. Sekiranya anda menjadi mangsa skim pelaburan emas haram, simpan semua dokumen berkaitan dengan pelaburan dan buat laporan polis dengan segera.

 

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 16/04/2019 | Updated: 16/04/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1569108675