Simpan Dulu, Kini Dan Selamanya : Teknik Menyimpan | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Simpan Dulu, Kini dan Selamanya : Teknik Menyimpan

Simpan Dulu, Kini dan Selamanya : Teknik Menyimpan

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 


Sejak kecil lagi kita biasa mendengar pepatah mengenai kepentingan menyimpan iaitu “Simpan sikit-skit, lama-lama menjadi bukit”. Sepatutnya aktiviti menyimpan ini telah menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan seharian kita. Ramai dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya tidak memahami konsep asas simpanan. Bagi kebanyakan orang, mereka akan menyimpan apabila mempunyai lebihan wang. Berapa ramai dalam kalangan kita yang mempunyai lebihan wang pada akhir bulan (sebelum terima gaji yang baru).

 

Menurut laman sesawang 20somethingfinance.com, empat negara yang mempunyai kadar simpanan peribadi (personal savings rate) yang tinggi  pada tahun 2013 adalah Perancis (15%), Australia (11.1%), German (9.9%) dan Sepanyol (9.1%) dan sumber maklumat ini dipetik daripada Laporan Organization for Economic Cooperation and Development (OECD). Laporan Institut Penyelidikan Khazanah mendapati purata kadar simpanan isi rumah di Malaysian antara tahun 2006 sehingga 2013 adalah pada kadar 1.6%. Ini menggambarkan bahawa rakyat Malaysia kurang menyimpan,  tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan ianya adalah sesuatu yang membimbangkan.

 

Berikut dibincangkan beberapa teknik yang boleh membantu anda dan keluarga untuk membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan dan kecemasan. Setiap teknik mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Pilihlah teknik yang sesuai dengan kemampuan dan keselesaan kedudukan kewangan anda.

 

  1. Teknik Pemotongan Automatik (Auto-deduction)

Teknik ini melibatkan arahan pemotongan automatik sebahagian daripada wang yang diterima (pendapatan) untuk tujuan simpanan. Dalam bahasa yang mudah ialah buat potongan atau tolakan sejurus selepas gaji diterima. Ini bermakna pada setiap tarikh gaji diterima sejumlah amaun akan dipotong untuk tujuan simpanan dan teknik ini juga dikenali sebagai teknik tanpa sedar. Teknik ini menyarankan anda untuk mempunyai dua akaun di mana akaun pertama untuk menerim gaji atau pendapatan manakala akaun kedua untuk tujuan simpanan. Sebagai contoh anda membuat potongan dalam amaun yang sama setiap bulan untuk simpanan di tabung haji atau akaun simpanan yang lain. Anda mempunyai pilihan sama ada pemindahan duit secara online atau arahan pemotongan automatik kepada bank. Ada sesetengah majikan menyediakan kemudahan potongan gaji untuk simpanan di akaun Tabung Haji dengan hanya mengisi borang buat pertama kali dan potongan akan dibuat terus daripada akaun gaji mereka ke akaun Tabung Haji.

 

  1. Teknik Paksa Rela

Teknik ini biasanya digunakan oleh mereka yang sukar untuk menyimpan atau tidak berdisiplin dalam menyimpan. Melalui teknik ini, seseorang perlu membuat pinjaman atau pembiayaan peribadi dengan bank. Kebanyakan teknik ini digunakan oleh mereka yang membuat pinjaman atau pembiayaan ASB (Loan ASB). Setiap bulan seseorang terpaksa memperuntukkan sebahagian gaji yang diterima untuk dibayar kepada bank (biasanya amaun yang sama setiap bulan) bagi satu jangka masa tertentu. Bayaran yang dibuat ini sebenarnya ialah simpanan mereka. Jadi tiada alasan mereka tidak boleh menyimpan lagi.

 

  1. Teknik Duit Syiling

Teknik ini sesuai untuk mereka yang tidak suka menggunakan duit syiling untuk membuat pembayaran. Alasan yang biasa diberikan ialah berat dan dompet mereka tidak mempunyai ruang untuk menyimpan syiling. Maka duit syiling berterabur di merata tempat baik di rumah atau pejabat. Teknik ini menyarankan anda untuk mengumpul dan mengasingkan duit syiling mengikut nilai iaitu 1 sen, lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Anda mempunyai pilihan sama ada mengumpulkan semua jenis duit syiling tersebut dalam satu tabung khas atau sediakan lima tabung berbeza mengikut jenis duit syiling dan tabung tersebut perlu dilabelkan. Setiap kali berbelanja dan ada lebihan, masukkan duit syiling tersebut ke dalam tabung.

 

  1. Teknik Sampul Surat

Teknik ini juga dikenali sebagai teknik bajet di mana ianya menyarankan anda untuk membuat peruntukan perbelanjaan bulanan berdasarkan sampul surat. Pertama anda perlu ketahui berapa peruntukan yang akan diagihkan untuk setiap item perbelanjaan misalnya perbelanjaan untuk makan minum (RM400), bayaran utiliti (RM200), bayaran pinjaman (RM1,000), simpanan (RM300) dan perbelanjaan keperluan anak (RM400). Seterusnya pada setiap sampul surat itu anda perlu letakkan label item perbelanjaan tersebut. Sekiranya pada akhir bulan tersebut ada lebihan daripada mana-mana perbelanjaan, anda boleh salurkan lebihan tersebut kepada sampul surat “simpanan”.  Agihan peruntukkan juga boleh dibuat mengikut warna sampul surat.

 

  1. Teknik Duit Ganjil

Teknik ini menggalakkan seseorang untuk menyimpan wang kertas yang mempunyai nilai wang yang ganjil iaitu RM1.00 dan RM5.00. Setiap kali anda berbelanja dan mempunyai baki wang, pastikan wang kertas tersebut diasingkan dan dikumpulkan sama ada di dalam album atau sampul surat. Andai kata anda menyimpan RM1.00 sehari, dalam masa sebulan jumlah simpanan yang terkumpul adalah sebanyak RM30.0 dan setahun anda dapat menyimpan sebanyak RM365.00. Sekiranya dalam masa seminggu anda dapat mengasingkan RM5.00, maka sebulan jumlah yang terkumpul adalah sebanyak RM20.00 dan setahun anda dapat menyimpan sebanyak RM260.00.

 

  1. Teknik Warna Duit (Wang Kertas)

Teknik ini menyarankan seseorang untuk membuat simpanan berdasarkan warna wang kertas. Anda boleh mengasingkan wang yang diterima atau membuat simpanan berdasarkan wang kertas iaitu warna biru (RM1), warna hijau (RM5), warna merah (RM10), warna oren (RM20), warna biru laut (RM50) dan warna ungu (RM100). Wang yang diterima bolehlah diasingkan mengikut warna tersebut dan sekiranya salah satu warna itu menjadi warna kegemaran anda maka ianya lebih mudah memotivasikan anda untuk menyimpan.

 

Berapa banyak wang yang boleh disimpan bukanlah menjadi ukuran dan juga bukan alasan untuk tidak menyimpan. Simpanan boleh dimulakan dalam jumlah yang kecil dan yang paling penting adalah disiplin dan konsisten dalam menyimpan. Selamat menyimpan dan menabung.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

Date of Input: 22/02/2019 | Updated: 22/02/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1569108651