Laporan Kredit: CCRIS | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Laporan Kredit: CCRIS

Laporan Kredit: CCRIS

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

Laporan kredit ialah satu daripada sumber maklumat yang digunakan oleh institusi kewangan di Malaysia untuk membuat penilaian terhadap permohonan kredit oleh seseorang peminjam. Sehingga kini, hanya tiga (3) Agensi Pelaporan Kredit (APK) yang mendapat kelulusan Bank Negara Malaysian (BNM) yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 iaitu Credit Bureau Malaysian Sdn.Bhd., CTOS Data Systems Sdn.Bhd. dan RAM Credit Information Sdn. Bhd. Terdapat dua (2) laporan kredit yang sering menjadi rujukan institusi kewangan sebelum membuat keputusan untuk meluluskan atau menolak permohonan kredit seseorang peminjam iaitu Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan Credit Tip Off Service Sdn.Bhd. (CTOS). Artikel kali ini akan membincangkan secara ringkas mengenai CCRIS.


CCRIS atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ialah satu sistem pangkalan data berkomputer untuk mengumpul, memproses, menyimpan dan menghasilkan maklumat kredit seseorang. Ia dikawal selia oleh Biro Kredit di bawah Bank Negara Malaysia. CCRIS merupakan satu sistem yang mengumpul maklumat mengenai individu yang mengambil pinjaman daripada institusi kewangan dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan. Institusi kewangan ini termasuklah Bank Perdagangan, Bank Islam, Institusi Kewangan Pembangunan, Syarikat Insurans, Pengeluar Instrumen Pembayaran, Institusi Pemulihan, Perniagaan Pemajakan/Kredit, Institusi Kredit Perumahan dan Agensi Kerajaan (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Laporan kredit ini akan memaparkan maklumat berkaitan jenis pinjaman, jumlah pinjaman, jumlah ansuran bulanan dan pembayaran balik pinjaman. Maklumat yang diperolehi ini digunakan sebagai salah satu sumber oleh institusi kewangan untuk mendapatkan sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka. Laporan ini tidak memberikan cadangan mengenai status kredit seseorang kerana setiap institusi kewangan mempunyai asas berbeza dalam membuat penilaian risiko kewangan setiap individu atau pelanggan mereka.


CCRIS merekodkan aktiviti peminjam sama ada membuat bayaran balik pinjaman dengan baik atau tidak dan maklumat itu akan dijadikan salah satu sumber oleh institusi kewangan untuk menilai risiko atau meluluskan pinjaman baharu yang dikemukakan. Sekiranya nama peminjam yang disenaraikan dalam rekod CCRIS itu menunjukan bahawa beliau seorang pembayar hutang yang bermasalah maka ia akan menutup peluang peminjam untuk membuat pinjaman baharu sehingga dia memberi komitmen untuk menyelesaikan masalah pembayaran balik pinjaman tertunggak yang terdahulu. Jika mereka seorang pembayar yang baik, maka permohonan pinjaman mereka akan diluluskan.


Apabila seseorang individu atau syarikat membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan, maklumat pinjaman tersebut akan dikumpul oleh Biro Kredit dan dimasukkan ke dalam laporan CCRIS ini. Di dalam laporan CCRIS terdapat dua (2) bahagian utama iaitu Laporan Ringkas Kredit dan Laporan Kredit Terperinci.


Bahagian 1: Laporan Ringkas Kredit

  • Maklumat permohonan kredit yang dipohon sama ada yang telah diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan yang masih dalam pertimbangan pihak bank.
  • Maklumat liabiliti semasa yang ditanggung yang meliputi jumlah baki pinjaman dan jumlah had yang diberikan tidak kira sebagai peminjam dan penjamin.
  • Maklumat sekiranya ada tindakan undang-undang yang dikenakan (disenarai hitam). 


Bahagian 2: Laporan Kredit Terperinci

  • Maklumat terperinci tentang pinjaman yang diperolehi oleh peminjam sama ada untuk dirinya sendiri, secara bersama bagi akaun bersama, sebagai pemilik bagi perniagaan tunggal dan sebagai rakan kongsi bagi perniagaan perkongsian atau badan profesional berserta corak pembayaran untuk setiap pinjaman tersebut selama 12 bulan sebelumnya.  Antara jenis pinjaman termasuklah pinjaman kenderaan, rumah, kad kredit, overdraf, pinjaman peribadi, sewa beli (barang elektrik atau perabot secara ansuran), pemajakan, resit amanah, belian cek luar, pemfaktoran, belian bil-bil domestik dan lain-lain.

  • Maklumat lain yang boleh diperolehi daripada bahagian ini ialah corak bayaran pinjaman, tarikh pinjaman, status, kapasiti, jenis institusi yang memberi pinjaman, jumlah belum jelas, tarikh baki dikemaskini, tempoh pembayaran balik prinsipal, jenis cagaran, status undang-undang dan tarikh status dikemaskini.



Sekiranya anda telah mempunyai komitmen hutang atau ingin membuat pinjaman baharu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan laporan kedit ini (CCRIS) bagi mengetahui status kedudukan kewangan ada. Pakar kewangan pengguna mencadangkan untuk anda menyemak dan menilai status kewangan semasa  sekurang-kuranganya setahun sekali atau setiap 6 bulan. Laporan CCRIS ini boleh didapati secara percuma daripada kios CCRIS di BNMLINK Kuala Lumpur, Pejabat Bank Negara Malaysian (BNM), Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau secara dalam talian di https://eccris.bnm.gov.my.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

Date of Input: 12/03/2019 | Updated: 12/03/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1573706274