Kad Debit Pilihan Pengguna Masa Kini : Kelebihan Vs. Kelemahan | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Kad Debit Pilihan Pengguna Masa Kini : Kelebihan vs. Kelemahan

Kad Debit Pilihan Pengguna Masa Kini : Kelebihan vs. Kelemahan

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Statistik daripada Bank Negara Malaysia mendapati  terdapat peningkatan ketara bilangan kad debit di pasaran iaitu sejumlah 27.2 juta pada tahun 2009 berbanding 34.9 juta pada tahun 2011 dan 42 juta pada tahun 2013. Manakala bilangan urusniaga yang menggunakan kad debit pula mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu 11.3 juta (2009) kepada 25.2 juta (2011) dan 49.5 juta (2013). 


Peningkatan penggunaan kad debit menggantikan tunai bukan sahaja popular di negara ini malah trend tersebut juga semakin meningkat di seluruh dunia. Menerusi kajian bertajuk “Data Kad Pembayaran dan Unjuran Global 2021” yang dijalankan oleh firma penyelidikan dan perundingan Strategik, RBR mengunjurkan jumlah kad di seluruh dunia akan meningkat 28% daripada 13 billion pada akhir 2015 kepada 17 billion pada akhir 2021. Berdasarkan statistik yang dilaporkan di atas, ini jelas menunjukkan bahawa kad debit menjadi pilihan popular dalam kalangan pengguna sama ada di dalam atau luar negara sebagai salah satu kaedah pembayaran dalam urusan jual beli seharian mereka.

 

Berikut dibincangkan secara ringkas beberapa kelebihan dan kelemahan penggunaan kad debit dalam urusan jual beli.

Kelebihan

  • Selesa – pengguna tidak perlu membawa wang tunai untuk membeli dan mendapatkan barangan dan perkhidmatan di pasaran. Boleh kurangkan risiko kehilangan wang tunai disebabkan oleh kecurian, rompakan atau ragut.

  • Kawal perbelanjaan – sekiranya pembayaran dibuat menggunakan kad debit, duit akan ditolak terus daripada akaun pengguna. Ini bermakna pengguna perlu memastikan mereka mempunyai jumlah wang simpanan yang mencukupi dalam akaun mereka sebelum membuat sebarang transaksi pembelian. Ini dapat membantu penggua mengawal perbelanjaan mereka agar tidak melebihi daripada apa yang dirancang dan simpanan yang dimiliki.

  • Kelulusan dan mudah – pengguna tidak perlu menunggu masa yang lama untuk memiliki kad debit (sekitar 30 minit). Biasanya akaun dan kad akan diaktifkan pada hari yang sama (bergantung kepada bank). Selain itu, tidak banyak dokumen sokongan yang diperlukan.

  • Tiada yuran penyertaan
  • Yuran tahunan – yuran tahunan yang dikenakan adalah rendah sekitar RM8 sehingga RM24 dan ianya berganting kepada institusi kewangan (bank) yang menawarkan kad debit tersebut.

  • Kemudahan akses – kad debit boleh digunakan untuk transaksi pembelian sama ada di dalam atau luar negara. Walaubagaimanapun, pengguna perlu aktifkan penggunaan kad mereka terlebih dahulu.

  • Unik – setiap kad debit yang dikeluarkan oleh bank mempunyai faedah dan kelebihannya tersendiri misalnya ada yang menawarkan skim perlindungan insuran kemalangan diri percuma, program “keistimewaan sepanjang hayat”, program “ganjaran bonus plus”, ganjaran “cashback” dab sebagainya.

  • Pelbagai guna – kebanyakan kad debit juga adalah kad ATM dan disebabkan itu ianya boleh digunakan untuk mengeluarkan wang tunai tanpa caj tambahan.

  • Selamat – untuk membuat sebarang pembelian secara online atau melalui internet, pengguna perlu membuat permohonan kepada bank pengeluar untuk mengaktifkan transaksi online.

  • Bayaran – pembayaran menggunakan kad debit boleh dibuat secara offline atau online.

Kelemahan

  • Pembelian minima – terdapat sesetengah pusat membeli belah atau pasaraya yang hanya menerima bayaran secara kad debit sekiranya pembelian dibuat melebihi sejumlah amaun misalnya RM50.00.

  • Risiko hilang wang – terdapat sesetengah kad debit dihubungkan terus ke akaun bank pengguna bagi memudahkan mereka untuk membuat bayaran secara online. Risiko kehilangan wang tetap ada sekiranya scammer memperolehi maklumat kad debit pengguna.

  • Tiada perlindungan – kad debit tidak mempunyai perlindungan bagi setiap transaksi sebagaimana kad kredit. Kad kredit misalnya membenarkan transaksi diterbalik (dispute charges).

  • Pembelian besar – sebaiknya jangan gunakan kad debit untuk membuat pembelian barangan yang mahal harganya di internet disebabkan oleh tiadanya perlindungan (dispute charges). Sekiranya sebarang penipuan berlaku, wang simpanan (duit akaun) anda akan hilang tanpa dikesan

 

Berikut pula merupakan kelebihan penggunaan “Kad Debit” vs. “Kad Kredit”.

  • Pembelian boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja iaitu pembelian boleh dibuat secara offline atau online.

  • Yuran tahunan adalah rendah sekitar RM8-RM15 (bergantung kepada bank).

  • Tiada caj lewat bayar (late fee charges)

  • Dapat mendidik agar belanja secara berhemah dan mengikut kemampuan

  • Mampu milik kerana tidak mempunyai had pendapatan tertentu berbanding pengguna kad kredit yang memerlukan mereka mempunyai pendapatan tahuan sekurang-kurangnya RM36,000.00

  • Kelulusan ada cepat dan segera

  • Tiada yuran penyertaan

  • Sesetengah kad membenarkan pindahan dana automatik terutama bagi pelanggan yang mempunyai akaun kad debit diasingkan dari akaun bank.

 

Sebagai pengguna yang bijak, aspek keselamatan harus diambilkira kerana “kad debit” juga terdedah kepada risiko scammer internet di mana scammer boleh mengambil maklumat dan melakukan transaksi secara terus dari akaun simpanan utama. Harus diingat bahawa tiada perlindungan yang diberikan bagi setiap transaksi menggunakan kad debit tidak seperti kad kredit.

 

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

Date of Input: 25/02/2019 | Updated: 25/02/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1569108476