Al-Quran Ajak Umat Berkolaborasi, Berfikir Dalam Disiplin Kehidupan | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Al-Quran ajak umat berkolaborasi, berfikir dalam disiplin kehidupan

Al-Quran ajak umat berkolaborasi, berfikir dalam disiplin kehidupan

Malam ini, umat Islam akan memperingati kisah sejarah agung turunnya ayat al-Quran (Nuzul al-Quran) pada malam 17 Ramadan, kepada Nabi Muhammad SAW menerusi perantaraan Malaikat Jibril di gua Hira' dekat Makkah bersamaan 6 Ogos 610 Masihi.

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun, terbahagi kepada 114 surah, memiliki kosa kata berjumlah 77,439 perkataan, dengan 323,015 huruf.

Al-Quran mengandungi panduan semua aspek kehidupan manusia, daripada akidah dan ibadah, hinggalah kepada politik dan ekonomi. Al-Quran digunakan sebagai sumber perundangan di negara Islam, dikaji untuk keindahan sastera dan linguistiknya.

Al-Quran menjadi kitab sumber inspirasi umat Islam sepanjang abad dan 'diangkat' untuk menyokong gerakan pembaharuan politik, sosial dan ekonomi menjadi panduan hidup dalam urusan peribadi.

Paling penting al-Quran bukan sahaja menjadi sumber inspirasi umat Islam, tetapi juga untuk penganut agama lain. Mesej keamanan dan toleransi al-Quran bergema di seluruh dunia hingga kini dan sehingga dunia berakhir.

Sejarah membuktikan al-Quran diturunkan dengan wawasan hebat, mempunyai misi dan visi tersendiri. Ayat pertama daripada Surah al-Alaq (ayat 1-5) dimulakan dengan sebutan 'iqra' bererti bacalah.

"Bacalah (Wahai Muhammad). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya".

Lima ayat pertama pada surah ini mempunyai maksud tersirat dan tersurat supaya umat Islam menuntut ilmu, belajar, maju dan merekacipta produk demi kelangsungan hidup dunia dan akhirat.

Persoalan yang timbul, mengapa Nabi Muhammad dan manusia diperintahkan untuk 'iqra' atau difahami sebagai baca. Ia adalah perintah pertama ditujukan kepada Nabi, tetapi Baginda sendiri tidak pandai membaca dan menulis.

Ayat ini menjelaskan yang Allah SWT menghendaki Baginda dan umatnya membaca apa sahaja, asalkan ia dimulakan dengan ucapan 'Bismi Rabbik' (bacalah dengan dimulakan menyebut nama Tuhan kamu).

'Iqra' diambil daripada kata dasar bermaksud 'mengumpul'. Akan tetapi perkataan 'iqra' bermaksud bacalah, telitilah, dalamilah, ketahuilah ciri-ciri sesuatu, bacalah alam, bacalah tanda-tanda zaman, sejarah, diri sendiri, yang tertulis dan tidak tertulis.

Rumusannya perkataan perintah 'iqra'' merangkumi segala yang dapat dicapai manusia melalui kaedah 'membaca'. Manusia berjaya dunia akhirat adalah manusia berilmu, berakar umbi kepada pembacaan apa sahaja disiplin ilmu dan sumber ilmu.

Keindahan ayat al-Quran apabila dibacakan dapat menggetarkan jiwa, menenangkan hati, penyembuhan rohani dan memberikan semangat motivasi bekerja dan beramal seperti diungkapkan orientalis Barat HAR Gibb.

Dalam karyanya, beliau menyatakan 'Tiada sesiapa dalam 1,500 tahun ini memainkan 'alat' nyaring itu begitu berkebolehan dan berani, dan pelbagai getaran jiwa terhasil, sebagaimana dibaca oleh Muhamad (al-Quran)'.

Fenomena al-Quran begitu hebat

Fakta ini jelas merungkai fenomena al-Quran yang begitu hebat dengan integrasi bersama keindahan bahasa, ketepatan dan keseimbangannya, maksud mendalam, kaya pengertian dan kebenaran, mudah difahami dan memberi kesan mendalam kepada pembacanya.

Tiada bacaan melebihi al-Quran dalam memahami dan memperoleh sejarahnya secara umum daripada ayat demi ayat, masa, musim dan masa turunnya dan sebab setiap ayat diturunkan Allah SWT.

Tidak ada bacaan kitab atau buku lain dapat dibandingkan seperti al-Quran yang diatur tatacara membacanya mengikut tajwid ditetapkan mengikut ilmu nahu Arab.

Justeru, tiada alasan bagi umat Islam mengapa perlu memahami peristiwa, iktibar dan sejarah Nuzul al-Quran itu. Hakikatnya al-Quran memberikan inspirasi dan mengajar manusia bersikap adil dan beretika.

Ia menjadi panduan kepada manusia untuk bekerjasama mengabdikan diri kepada Allah SWT dan melaksanakan peranan 'khalifah' yang berjaya (Muflih) di dunia, menyucikan akal dan jiwa manusia daripada segala bentuk syirik terhadap Allah SWT.

Al-Quran bukan sekadar kitab bersifat teologi atau buku falsafah hidup manusia, sebaliknya mencipta kesatuan dan perpaduan tanpa mengira bangsa serta suku kabilah ke arah kehidupan alam akhirat.

Kitab Suci ini untuk manusia umat Muhammad SAW mengajak manusia berfikir dan berkolaborasi dalam disiplin kehidupan, bermasyarakat dan bernegara menerusi medium musyawarah serta muafakat.

Manusia dipandu menyusuri kehidupan dunia berpaksikan hikmah kebijaksanaan, menggabungjalinkan antara kebenaran dan keadilan dengan menu rohani dan rahmah serta kasih sayang.

Kehadiran al-Quran dengan sebab penurunannya adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya potensi ilmu, teknologi dalam membentuk dan menjana naluri kemanusiaan dan jati diri berasaskan inti pati terkandung di dalamnya.

Menerusi al-Quran, umat Islam dapat memahami asas keimanan, keperluan manusia berlandaskan syariat dalam soal kehidupan, penampilan, makanan, kesihatan, pernikahan, muamalat dan segala perkara berkaitan halal dan haram.

Al-Quran memberi inspirasi dalam soal berkaitan kepentingan umat Islam, kesatuan dan keteguhan iman menerusi amalan bermusyawarah, memahami ikatan ukhuwah dan persoalan ibadah.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Dan Kenegaraan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)


Oleh Dr Ahmad Nasir Mohd Yusoff - April 7, 2023 @ 11:05am

bhrencana@bh.com.my

Tarikh Input: 12/04/2023 | Kemaskini: 08/06/2023 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDcTAS~