Program Diari Anak Milenia Fasa Pertama) | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » Program Diari Anak Milenia Fasa Pertama)

Program Diari Anak Milenia Fasa Pertama)

Oleh: Dr Mohd Najmi Daud



GURUN, KEDAH - Pada 25 hingga 26 April 2018 telah berlangsung program Diari Anak Milenia (Fasa 1) yang bertemakan ‘Ibu Bapa Gemilang Anak Cemerlang’ yang bertempat di Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun, Kedah Darul Aman. Idea program ini telah dicetuskan hasil kerjasama strategik sejak tahun 2017 antara Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga (JPMPK), Fakulti Ekologi Manusia dan Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun. JPMPK diwakili oleh Dr Mohd Najmi Daud yang juga bertindak sebagai pengarah program, manakala SMAPG diwakili oleh En Ahmad Sayuti Ibrahim yang menerajui Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Objektif program fasa pertama ini terarah kepada pengenalpastian isu dan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa, murid dan pihak sekolah sendiri serta perkongsian ilmu bersama-sama ibu bapa, guru dan pelajar.

Selain Dr Mohd Najmi, seramai tiga lagi wakil JPMPK turut terlibat pada program yang buat julung kalinya diadakan disekolah ini. Mereka adalah Prof. Madya Dr Mariani Mansor, Dr Rojanah Kahar dan Cik Rozita Wahab. Pada 25 April 2018, program ini dimulakan dengan satu perbincangan meja bulat antara pihak JPMPK dan pihak SMAPG yang diwakili oleh Tn Haji Nazri bin Hamid, Pengetua SMAPG bersama-sama wakil pihak pengurusan sekolah yang lain. Pada perbincangan ini, antara lain tumpuan diberikan kepada mengenalpasti isu-isu yang menjadi perhatian pihak sekolah dan merangka pelan strategik kerjasama antara kedua-dua pihak.

   


Pada hari kedua iaitu hari Khamis bersamaan 26 April 2018, program diteruskan dengan majlis perjumpaan antara wakil UPM dan ibu bapa pelajar serta pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Seramai 177 ibu bapa dan waris pelajar serta 180 pelajar-pelajar tingkatan 3,4 dan 5 melibatkan diri dalam program ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Norismail bin Hj. Omar, Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan. Majlis turut dihadiri oleh Ustaz Mohd Nasir bin Abdullah, Penolong Pengarah (Pendidikan Islam Teras Rendah) Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman serta Tn Haji Makhtar bin Hamid, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah.

 


Usai majlis perasmian, program diteruskan dengan majlis perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh wakil JPMPK secara berasingan antara ibu bapa dan waris pelajar dan pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5.  Bagi sesi perkongsian bersama ibu bapa dan waris pelajar, Dr Rojanah Kahar telah menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk ‘Ibu Bapa Gemilang Anak Cemerlang’. Dalam ceramah beliau, Dr Rojanah berkongsi tentang cara memahami anak remaja dan strategi keibubapaan dalam mendepani anak-anak pada zaman yang serba mencabar ini.


 


Sementara itu, sesi bersama pelajar-pelajar tingkatan 3,4 dan 5 pula dikendalikan oleh Prof. Madya Dr Mariani dan Cik Rozita. Antara pengisian program bagi sesi bersama pelajar-pelajar ini adalah mengenalpasti potensi diri pelajar melalui ujian-ujian psikologi serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan sewaktu program. Tujuan utama   sesi  ini   adalah  untuk  pelajar  mengenalpasti kekuatan  diri , dan  cuba  memperbaiki   kelemahan diri masing-masing supaya dapat menyediakan diri ke arah  mentaliti  dan projektif  diri  yang  lebih positif  di masa  hadapan.  Kesedaran  bahawa   kejayaan   terletak  di tangan mereka  sendiri   dan  usaha  merupakan  asas kejayaan,  merupakan intipati  asas bagi sesi yang dikendalikan  bersama  pelajar ini.

 

Secara umumnya, pihak sekolah, ibu bapa/waris dan pelajar amat berpuas hati dengan penganjuran program Diari Anak Milenia Fasa 1 ini. Penelitian terhadap hasil perbincangan dengan pihak pentadbir sekolah, penilaian bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan, dan maklum balas semua peserta program akan dijadikan asas kepada penganjuran program Diari Anak Milenia bagi fasa-fasa akan datang.

http://smapekangurun.edu.my

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 25/09/2018 | Updated: 25/09/2018 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1576426959