KAMPUS BEBAS DADAH | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » KAMPUS BEBAS DADAH

KAMPUS BEBAS DADAH

Oleh:  Profesor Madya Dr. Nobaya Ahmad



SERDANG, 
19 Disember 2019 - Unit Integriti, Pejabat Canselor UPM dan Fakulti Ekologi Manusia (pelajar subjek FEM 3303), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor telah menganjurkan program ‘Kampus Bebas Dadah’ pada 9 Disember 2019. Turut sama sebagai rakan strategi adalah Seksyen Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Pejabat Pendaftar UPM dan Pusat Wakaf, Zakat dan Endowment, UPM. Program ini merupakan salah satu pengisian program sempena sambutan Bulan Integriti di UPM pada bulan November setiap tahun dan menyokong usaha pendidikan dan pencegahan dadah yang giat dilaksanakan AADK. Matlamat program antaranya adalah memberikan pengetahuan kepada warga kampus, meningkatkan kesedaran dan memperkasakan ketahanan diri warga UPM terhadap bahana najis dadah dan kesannya seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat dengan merealisasikan Kampus Bebas Dadah.

Pengerusi program merangkap Pensyarah kursus FEM 3303 (Perancangan & Penilaian Program), Fakulti Ekologi Manusia, Prof. Madya Dr. Hanina H. Hamsan berkata program ini adalah selari dengan matlamat ketiga dalam Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals - SDG) iaitu menguatkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan bahan, termasuk penyalahgunaan dadah narkotik dan penggunaan alkohol yang berbahaya demi mencapai masyarakat yang sihat dan bersejahtera. Program ini dirangka bukan sahaja memperkasa warga kampus mengenai usaha pencegahan penagihan dadah menerusi bahan pameran Pendidikan daripada AADK, ia juga memberikan kesedaran dan pengetahuan mengenai kemahiran asas sebagai rakan sokongan dalam sesi perkongsian Modul Self-Leadership Coaching (SLC) oleh PM Dr. Hanina sendiri selaku pengasas Modul SLC dalam sokongan rawatan kepulihan dadah. Menurutnya lagi, usaha pencegahan dadah bukan hanya terletak kepada AADK semata-mata. Universiti sebagai Gedung ilmu beriltizam menghasilkan graduan yang berketrampilan dan menjadi pemangkin untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Justeru, bagi menguatkan pencegahan dan rawatan kepada kumpulan sasaran, ilmu untuk melaksana perancangan dan strategi secara bersistematik adalah sangat penting. Melalui kursus FEM3303 ini pelajar dilatih dan diberi pengalaman merancang dan merangka penilaian program  yang sesuai dengan kumpulan sasaran.

Program selama satu hari  telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hariza, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Program dipenuhi dengan aktiviti pameran Pendidikan daripada AADK Negeri Selangor, pameran poster pelajar, pameran dan kaunter Wakaf, Zakat & Endowment, UPM, sesi perkongsian terapi intervensi, forum bersama Pengarah AADK Negeri Selangor, Yang Berbahagia Dr. Nazira Hj. Sadiron dan pelancaran Skuad AADK Selangor peringkat UPM.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Prof. Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan, 019-343 3072.

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 19/12/2019 | Updated: 19/12/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdEAP~