|
Serdang, 26 Nov 2024 – Fakulti Ekologi Manusia telah bekerjasama dengan Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi menganjurkan Seminar Perkongsian Hasil Penyelidikan FEM dan FBMK 2024 yang bertemakan “Pencetus Perubahan Global dalam Impak Sosial”. Penganjuran seminar dilaksanakan secara bersama buat julung kalinya antara FEM & FBMK dengan FEM menjadi tuan rumah. Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) juga menjadi rakan kerjasama penganjuran seminar untuk kali ini.
Objektif seminar ini adalah untuk memberi platform kepada penyelidik dan pegawai akademik berkongsi hasil penyelidikan mereka seterusnya membuka peluang kerjasama anatara kedua-dua fakulti ini, selain menjadi medan perbincangan intelektual berkaitan isu-isu sosial dari perspektif penyelidikan khususnya isu-isu semasa. Seminar ini telah mengumpulkan seramai 29 penyelidik daripada FEM dan FBMK serta 80 pelajar siswazah dan kakitangan yang turut serta sebagai peserta.
Program seminar ini telah dijalankan selama satu hari. Sesi pembentangan hasil penyelidikan telah dijalankan secara serentak yang melibatkan empat (4) bilik seminar. Keseluruhannya terdapat 29 kertas penyelidikan yang telah dibentangkan pada program tersebut.
Selain pembentangan hasil kajian, terdapat dua (2) sesi perkongsian berkaitan penyelidikan dan inovasi iaitu, sesi perkongsian khas bertajuk “Securing International Grant” telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Rumaya Juhari, pada sesi pagi. Manakala sesi petang pula sesi perkongsian telah disampaikan YBrs. Dr. Puvaneswaran Kunasekaran, Editor in Chief – Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities, UPM bertajuk “Publishing in Top SSCI Journals”.
|
Tarikh Input: 05/12/2024 | Kemaskini: 16/12/2024 | aspah.kasim
