Program Tadarrus Al Quran Dan Majlis Khatam Al Quran KKSR 1445 H Peringkat Fakulti Ekologi Manusia | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Program Tadarrus Al Quran dan Majlis Khatam Al Quran KKSR 1445 H Peringkat Fakulti Ekologi Manusia

Program Tadarrus Al Quran dan Majlis Khatam Al Quran KKSR 1445 H Peringkat Fakulti Ekologi Manusia

SERDANG, 28 Mac 2024 - Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR), Fakulti Ekologi Manusia (FEM) telah berjaya menganjurkan Program Tadarrus Al Quran dan Majlis Khatam al Quran KKSR 1445 H Peringkat Fakulti pada 27 Mac 2024 bertempat di Dewan Seminar al Farabi. Majlis telah disertai oleh semua staf FEM, AJK KKSR, serta pelajar. Lebih 90 orang tetamu telah hadir bagi mengimarahkan lagi majlis ini.

 

Program seawalnya telah dirancang dengan Program Tadarrus al Quran bermula 1 hingga 15 Ramadan 1445 H (12/3-26 /3/2024) melibatkan 134 staf beragama Islam melibatkan pelbagai kategori; pegawai akademik, pegawai pengurusan dan professional bukan akademik serta pegawai pelaksana FEM merangkumi jabatan JPKK, JPMK, JPSPP, JSKP dan Pejabat Pentadbiran. Pada kali ini, seramai 30 staf telah dilantik sebagai Ketua Tadarus bagi menyelia kumpulan tadarus al Quran dan memastikan 30 juzuk dapat dihabiskan dalam masa yang ditetapkan.

 

KKSR telah membudayakan program ini setiap kali menjelang Ramadan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca al Quran, memahami intipati kandungan al Quran, mewujudkan emosi, jiwa dan hati yang sejahtera, mengukuhkan hubungan yang erat dalam kalangan warga Fakulti Ekologi Manusia, dan memperkukuhkan nilai kebersamaan sambil menyokong misi dan visi Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Menurut Pengerusi KKSR, Ybrs. Prof.Madya Dr. Hanina Hamsan, program ini adalah ‘platform’ terbaik mendekatkan diri semua warga FEM antara satu sama lain dan ruang memahami kandungan al Quran yang begitu baik sekali. Sementara Dekan FEM , Ybrs. Mohamad Fazli Sabri, menyarankan, program sebegini perlu diadakan pada setiap tahun sebagai budaya memupuk rasa harmoni dan menjalani ibadah Ramadan melalui program tadarus al Quran dan khatam al Quran.



Daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda : Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur’an ialah seperti buah Utrujah (buah limau), yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur’an ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. Riwayat al-Bukhari (7560)

 

Program diteruskan dengan Majlis Khatam al Quran yang diadakan pada 27 Mac 2024 bersamaan 16 Ramadan 1445 H. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi KKSR dan ucapan ringkas Ybrs. Dekan FEM. Selanjutnya program khatam al Quran secara beramai-ramai dimulakan yang diketuai Ybrs. Al Fadil Ust Dr Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff dan diakhiri dengan doa khatam al Quran. Semoga yang hadir mendapat keberkatan dan lailatul qadar. Majlis telah diserikan lagi dengan agihan bubur lambuk, hasil kolaborasi KKSR dengan KRT (Kawasan Rukun Tetangga), Kg Baru, Kuala Lumpur kepada warga FEM. Pihak KKSR merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg Prof. Dr. Muhamad Fazli Sabri, Dekan FEM atas kesudian memenuhi undangan KKSR serta semua yang telah hadir.

Mubarak alikum, Alhamdullilah… sehingga berjumpa lagi di program KKSR seterusnya… InsyaAllah


Berita oleh:
Dr Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff
Pengarah Program
Program Tadarus dan Majlis Khatam al Quran 1445H/2024M
Biro Kerohanian
Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi
Fakulti Ekologi Manusia

Fotografi oleh: Encik Mohd Aspah Kasim, Pej. Timbalan Dekan (AA HEPA), FEM

Tarikh Input: 29/03/2024 | Kemaskini: 03/04/2024 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEbTAE~