|
KAMPUNG BUKIT KUCHING, 13 Disember – Makmal Sosial, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Usahawan Desa melalui Literasi dan Pensijilan Keselamatan Makanan bersama komuniti Kampung Bukit Kuching, Jeram, Kuala Selangor. Program yang berlangsung di Dewan Balai Raya Kampung Bukit Kuching dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang ini melibatkan penyertaan seramai 20 orang peserta. Pelaksanaan program ini merupakan Fasa 1, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi asas berkaitan keselamatan dan kualiti makanan dalam kalangan pengusaha serta bakal usahawan makanan desa.
Pengisian utama program ialah ceramah keselamatan makanan yang disampaikan oleh Puan Nur Farhana binti Mohd Saadon, Pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Ceramah tersebut merangkumi pendedahan mengenai keperluan Sijil Latihan Pengendali Makanan, amalan pengendalian makanan yang selamat, serta pengenalan kepada Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Penyenaraian Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food) sebagai langkah pematuhan perundangan dan peningkatan kebolehpasaran produk usahawan desa. Program diteruskan dengan sesi soal jawab interaktif bersama Ketua Projek yang dibantu oleh pelajar Fakulti Ekologi Manusia, iaitu Cik Fatinah Waries Merican binti Abdul Aziz dan Cik Nurul Fatihah binti Azman. Pendekatan ini memberi ruang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut melalui perbincangan yang santai dan berfokus.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Ketua Kampung Bukit Kuching, Encik Zulkifli bin Tugimim, bersama Ahli Jawatankuasa JPKK, Puan Norfazila, yang banyak membantu dari segi penyelarasan komuniti serta memastikan kelancaran program. Program ini juga menerima sokongan penajaan daripada Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Fraser & Neave (F&N) dan Magnum, yang menyumbangkan pelbagai barangan dan produk sepanjang program berlangsung.
Selain itu, program ini dijayakan dengan sokongan pasukan Makmal Sosial Fakulti Ekologi Manusia yang terdiri daripada Encik Zamre Yaacob, Encik Abdul Hadi Mohd Rashdi, Encik Mohd Aspah Kasim dan Puan Nurul Syafika binti Sir Muhamad, serta penglibatan aktif pelajar fakulti sebagai fasilitator dan pembantu lapangan.
Sebagai penutup, para peserta telah menerima sijil penyertaan, cenderamata dan jamuan makan tengah hari. Secara keseluruhan, program ini menerima maklum balas yang amat positif dan berjaya meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan keselamatan makanan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu yang berasaskan keperluan sebenar masyarakat. -Tamat Ketua Projek: Dr Nur Amalina Aqilah Binti Jaafar
|
Tarikh Input: 15/12/2025 | Kemaskini: 17/12/2025 | aspah.kasim
