Program Munajat Kejayaan 2.0 Perkukuh Jati Diri Pelajar FEM Hadapi Peperiksaan Akhir | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA eco1
» BERITA » Program Munajat Kejayaan 2.0 Perkukuh Jati Diri Pelajar FEM Hadapi Peperiksaan Akhir

Program Munajat Kejayaan 2.0 Perkukuh Jati Diri Pelajar FEM Hadapi Peperiksaan Akhir

Serdang, 20 Jun 2025 – Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi menganjurkan Program Munajat Kejayaan 2.0 sebagai inisiatif memperkukuh kekuatan rohani dan persiapan emosi pelajar dalam menghadapi peperiksaan akhir semester.

Program ini merupakan anjuran Exco Kebajikan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Ekologi Manusia (HESCO) dengan kerjasama Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR) FEM. Ia telah berlangsung pada 20 Jun 2025 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi, FEM dari jam 3.00 hingga 5.00 petang, dan dirasmikan oleh YBr. Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia.

Antara pengisian utama program termasuk ceramah motivasi rohani bertajuk “Tenang Jiwa, Cemerlang Peperiksaan” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, YBr. Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff, Pensyarah Kanan FEM merangkap Pengerusi KKSR FEM. Dalam ceramahnya, beliau menekankan pentingnya kekuatan spiritual, pengurusan emosi dan pengharapan kepada Allah SWT sebagai asas kepada kecemerlangan akademik.

Empat perkara utama yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah:

  1. Ketaatan kepada Allah SWT

  2. Mendapat restu dan doa daripada ibu bapa

  3. Menjaga hubungan baik dengan pensyarah

  4. Saling menghormati dan menyokong rakan sepengajian

Selain ceramah, program turut diisi dengan bacaan Surah Yasin dan solat hajat berjemaah, sebagai usaha memohon ketenangan dan keberkatan menjelang peperiksaan.

Penganjuran program ini bertujuan memberikan suntikan semangat, sokongan moral dan persediaan dari sudut rohani kepada para pelajar agar dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan yakin.

FEM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada HESCO dan KKSR atas kejayaan penganjuran program yang bermanfaat ini serta kepada semua warga FEM yang hadir memberi sokongan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah seimbang dari aspek emosi, spiritual dan sahsiah diri.


Disediakan oleh:
Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff
Pengerusi
Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR)
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
21 Jun 2025

 

Tarikh Input: 23/06/2025 | Kemaskini: 23/06/2025 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
-
X, (02:12:31pm-02:17:31pm, 28 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]