Program Literasi Awal Kanak-Kanak HELP-Kids Perkasa Peranan Keluarga Dalam Pendidikan Awal | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA eco1
» BERITA » Program Literasi Awal Kanak-Kanak HELP-Kids Perkasa Peranan Keluarga dalam Pendidikan Awal

Program Literasi Awal Kanak-Kanak HELP-Kids Perkasa Peranan Keluarga dalam Pendidikan Awal

Serdang, 9 Mei 2025 – Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Makmal Perkembangan Kanak-Kanak telah menganjurkan sesi taklimat bagi memperkenalkan Program Literasi Awal Kanak-kanak di Rumah atau HELP-Kids (Home Emergent Literacy Program). Program ini dirangka untuk memperkukuh kemahiran dan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah melalui sokongan aktif ibu bapa dan keluarga.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh Puan Nurhayatul Nira Ramli di Dewan Al-Farabi, Fakulti Ekologi Manusia, memberi penekanan terhadap konsep literasi rumah sebagai medium penting dalam pembentukan asas literasi kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun. Program HELP-Kids menekankan prinsip berkongsi dan penggiliran bahan bacaan yang dimanfaatkan bersama dalam kalangan murid prasekolah dengan sokongan wakaf daripada ibu bapa.

Antara kandungan utama dalam Pakej HELP-Kids termasuklah buku bacaan pelbagai genre dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahan non-fiksyen, buku panduan ibu bapa, serta buku skrap sebagai medium ekspresi dan dokumentasi pengalaman membaca anak-anak. Bahan-bahan ini akan dipinjamkan secara bergilir setiap minggu dan digunakan semula dalam program tahun berikutnya, menjadikan konsep wakaf pendidikan sebagai elemen utama yang menyemai nilai perkongsian dan kebersamaan dalam komuniti.

Melalui kaedah ini, program bukan sahaja merangsang kemahiran membaca kanak-kanak, tetapi turut mendekatkan hubungan keluarga dengan pendidikan awal kanak-kanak secara langsung di rumah. Di samping itu, aktiviti dokumentasi seperti buku skrap juga membuka ruang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan pemahaman dan kreativiti mereka melalui hasil kerja yang bermakna dan bersifat peribadi.

Program HELP-Kids ini dijadualkan berlangsung sepanjang tahun persekolahan mengikut jadual penggiliran bahan yang telah ditetapkan. Inisiatif ini selari dengan usaha universiti dalam memperkasa pendidikan awal berasaskan komuniti dan menjadikan keluarga sebagai rakan strategik dalam pembangunan literasi awal kanak-kanak.


Berita oleh : Puan Nurhayatul Nira Ramli (Makmal Perkembangan Kanak-Kanak) FEM

Fotografi oleh : Encik Ahmad Mustaqim Albakri

Tarikh Input: 15/05/2025 | Kemaskini: 15/05/2025 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
-
X, (07:05:24am-07:10:24am, 20 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]