PROGRAM HARI TERBUKA MAKMAL SOSIAL@FEM MERIAH SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA 2026 | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » PROGRAM HARI TERBUKA MAKMAL SOSIAL@FEM MERIAH SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA 2026

PROGRAM HARI TERBUKA MAKMAL SOSIAL@FEM MERIAH SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA 2026

KUALA SELANGOR, 20 Jun 2026 – Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Program Hari Terbuka Makmal Sosial@FEM Bersama Komuniti  Kampung Bukit Kuching, di Dewan Balairaya Kampung Bukit Kuching, Mukim Jeram, Kuala Selangor bersempena sambutan Bulan Sinergi Putra 2026, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti, agensi dan masyarakat setempat.

Program yang berlangsung sepanjang hari itu berjaya menghimpunkan seramai 347 peserta, terdiri daripada 115 pelajar SULAM@UPM, 150 orang komuniti, 36 orang staf UPM, 12 wakil agensi melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) serta 34 orang kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Shamsul Bahri Hj. Md Tamrin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Putra Malaysia. Turut hadir memeriahkan program ialah Haji Mohammad Faisal Ismail, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Mohd Rizan Haron, Penghulu Mukim Jeram; Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM; pegawai-pegawai akademik, staf pelaksana fakulti serta ketua-ketua kampung sekitar Mukim Jeram. Kehadiran para pemimpin, warga universiti dan wakil komuniti ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda pembangunan masyarakat melalui jaringan kerjasama yang erat antara universiti, agensi dan komuniti.

Penganjuran program ini amat bertepatan dengan aspirasi Bulan Sinergi Putra 2026 yang menekankan pengukuhan jaringan kerjasama, pemindahan ilmu dan penglibatan aktif warga universiti bersama komuniti. Melalui platform ini, kepakaran akademik dan profesional UPM dapat diterjemahkan kepada masyarakat secara langsung menerusi pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif, interaktif dan memberi impak kepada kesejahteraan komuniti.

Antara pengisian utama yang mendapat sambutan menggalakkan ialah program keibubapaan, pertandingan produk makanan usahawan desa berasaskan halal, pertandingan mewarna, aktiviti pembelajaran dan khidmat komuniti oleh pelajar SULAM@UPM, demonstrasi pertanian bandar, pemeriksaan serta saringan kesihatan asas, pameran agensi, serta jualan produk komuniti dan hasil usahawan desa.

Program Hari Terbuka Makmal Sosial@FEM turut menjadi wadah memperkenalkan peranan Makmal Sosial@FEM sebagai platform pembangunan komuniti luar bandar yang menyokong aspirasi UPM dalam memperkukuh kesejahteraan sosial, ekonomi dan kekeluargaan berasaskan ilmu serta intervensi yang berstruktur dan berimpak. Penganjuran program ini membuktikan komitmen FEM untuk terus mengangkat agenda pemerkasaan komuniti melalui kerjasama erat antara universiti, agensi dan masyarakat selaras dengan semangat Bulan Sinergi Putra 2026.-Tamat

Berita/Fotografi oleh: Mohd Aspah Kasim

 

Tarikh Input: 22/06/2026 | Kemaskini: 23/06/2026 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
-
X, (11:15:42am-11:20:42am, 13 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]