Program FatirxECO SISWACARE: Meals With Care, Feeding Hope Perkukuh Budaya Prihatin Di Kampus | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA eco1
» BERITA » Program FatirxECO SISWACARE: Meals With Care, Feeding Hope Perkukuh Budaya Prihatin Di Kampus

Program FatirxECO SISWACARE: Meals With Care, Feeding Hope Perkukuh Budaya Prihatin Di Kampus




SERDANG, 15 Julai –
Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus menjadi agenda utama Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pelaksanaan Program FATIRxECO SiswaCare: Meals with Care, Feeding Hope, satu inisiatif kebajikan kampus yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.

 Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Fatir Cafe, pengusaha kafeteria di premis FEM, dan Bid Direct Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik, telah dilancarkan pada Jun 2026 dengan sasaran menyediakan 100 set makanan lengkap kepada pelajar prasiswazah daripada kumpulan B40, khususnya kategori B40 (B1). Sebagai fasa permulaan, program ini memberi tumpuan kepada pelajar Fakulti Ekologi Manusia sepanjang bulan Jun sebelum diperluaskan pada bulan Julai kepada pelajar prasiswazah daripada fakulti lain di UPM. Inisiatif ini dijangka akan diteruskan dan diperluaskan lagi pada semester akan datang bagi memastikan lebih ramai pelajar yang memerlukan dapat menerima manfaatnya.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memastikan pelajar yang memerlukan mendapat akses kepada makanan yang berkhasiat, malah turut menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mereka dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

 






Sebagai sebahagian daripada pengisian program, sebanyak 300 pek sarapan pagi turut diagihkan kepada pelajar sepanjang minggu peperiksaan akhir Semester Kedua Sesi 2025/2026 yang berlangsung dari 13 hingga 26 Julai 2026. Agihan dilaksanakan di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSAAS), UPM serta Fakulti Pertanian, UPM, sekali gus memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai pelajar yang menduduki peperiksaan akhir.

 

Menurut Dekan Fakulti Ekologi Manusia, YBhg. Prof. Mohamad Fazli Sabri, program ini bukan sekadar menyediakan makanan percuma, malah menjadi wadah untuk menyemai nilai ihsan, kesukarelawanan dan budaya saling membantu dalam kalangan warga universiti.

"Kami berharap program ini dapat membantu meringankan beban pelajar yang memerlukan serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian. Lebih membanggakan apabila melihat pelajar menghargai setiap sumbangan yang diterima, di samping membudayakan amalan berkongsi rezeki dan membantu rakan-rakan yang memerlukan."

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan program ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan industri mampu menghasilkan impak sosial yang signifikan terhadap kesejahteraan mahasiswa.

"FEM amat menghargai komitmen Fatir Cafe dan Bid Direct Sdn. Bhd. yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Kerjasama seperti ini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, malah memperkukuh jaringan kolaborasi strategik yang menyokong agenda kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa."

Beliau turut berharap Program FATIRxECO SiswaCare: Meals with Care, Feeding Hope dapat diteruskan serta diperluaskan pada semester akan datang dengan sokongan berterusan daripada rakan strategik dan para penyumbang.

Selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan berjiwa ihsan, program ini membuktikan bahawa usaha memperkasa kebajikan mahasiswa memerlukan komitmen serta kerjasama pelbagai pihak. Melalui semangat kebersamaan dan budaya memberi, FATIRxECO SiswaCare bukan sahaja menyediakan makanan kepada pelajar yang memerlukan, malah menyemai harapan, memperkukuh nilai kemanusiaan dan membina ekosistem kampus yang lebih penyayang, inklusif serta lestari.


Berita oleh: Cik Syaakiratul Hasanah binti Rossidi

Tarikh Input: 16/07/2026 | Kemaskini: 17/07/2026 | adlinnorazam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
-
X, (05:56:46am-06:01:46am, 30 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]