Oleh: Zamre Yaacob
Pejabat TD(PS&JINM)
Kepong, 31 Mac 2021 – Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan (JSKP), Fakulti Ekologi Manusia telah menghadiri sesi perbincangan dan lawatan tapak bagi meneroka peluang kerjasama “Program Penyelidikan UPM-FRIM: Kajian Pembangunan Komuniti Tapak Warisan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)” sempena pencalonan FRIM sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Perbincangan diadakan atas jemputan pasukan penyelidik FRIM yang diketuai oleh Cik Noorsiha binti Ayop, dari Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM. Delegasi Fakulti Ekologi Manusia terdiri daripada Profesor. Dr. Asnarulkhadi Abu Samah, Dr. Roslan Rosnon (KJ JSKP), Encik Zamre Yaacob serta dua pelajar siswazah iaitu Encik Muhammad Afiq Abd Razak dan Encik Muhammad Luqmanuddin Jalaludin.
Sesi perbincangan dan lawatan telah berlangsung selama empat (4) jam bermula jam 9.30 pagi. Sesi dimulakan dengan taklimat berkaitan “Program FRIM Road to UNESCO – WHS” dan diteruskan dengan perbincangan terperinci berkaitan matlamat dan skop kajian yang ditetapkan oleh pihak FRIM. Fokus penyelidikan adalah berkaitan pembangunan komuniti dan peranan serta penglibatan 900 orang ahli komuniti yang menjadi penduduk di dalam penempatan FRIM dalam aspek tradisi berkaitan penjagaan dan pemuliharaan hutan berlandaskan Model Komuniti Hijau. Dimensi dalam model komuniti hijau adalah berkaitan penghasilan produk komuniti, program latihan komuniti, program pendidikan komuniti, program environmental outreach dan ekopelancongan.
Hasil perbincangan secara umumnya, satu persetujuan awal telah dicapai di mana pihak FRIM bersetuju untuk bekerjasama dalam perkara tersebut bagi jangkamasa panjang dan satu memorandum perjanjian (MoA) akan ditandatangani. Sehubungan itu, Fakulti Ekologi Manusia diminta menyediakan satu kertas cadangan penyelidikan yang komprehensif bagi menyokong “Program FRIM Road to UNESCO".
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 02/04/2021 | Kemaskini: 02/04/2021 | rozlita