Lawatan Ke Prasekolah Brunei Darussalam | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Lawatan ke Prasekolah Brunei Darussalam

Lawatan ke Prasekolah Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai lima orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan lawatan ke beberapa buah prasekolah di bawah pengelolaan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.


Penyelaras program, Puan Nani Menon berkata walaupun menggunakan perbelanjaan peribadi tetapi ini adalah peluang terbaik untuk menimba ilmu di samping menjalinkan ukhwah serumpun bersama pihak kementerian pendidikan negara tersebut.

“Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam telah memberikan sambutan dan kerjasama yang sangat baik dalam melaksanakan aktiviti lawatan ke prasekolah untuk kami walaupun jadual sangat padat dengan sambutan aktiviti keputeraan Sultan Brunei. Ini adalah kali pertama program seumpama ini diadakan di Brunei" katanya.

Guru-guru telah dibawa melawat ke beberapa buah prasekolah di kawasan yang berlainan. Antara prasekolah yang dilawati ialah Sekolah Rendah Binturan, Sekolah Rendah Bukit Panggal dan Sekolah Rendah PKN Bukit Beruang yang terletak di Tutong.

Di samping mempelajari budaya dan mengembangkan daya fikiran, guru-guru juga dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak antara kedua negara malah mengeratkan hubungan kerjasama antara UPM dan Kementerian Pendidikan Negara Brunei.

Menurut salah seorang pegawai pendidikan Brunei, Hajah Siti Radiyah Haji Ibrahim, mereka turut berbesar hati menerima rombongan guru-guru dari UPM dan berhasrat mengadakan kunjungan balas di masa akan datang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 10/08/2017 | Kemaskini: 11/08/2017 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdQAF~