Consumer In The New Millenium | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Consumer in the New Millenium

Consumer in the New Millenium

Oleh:  Normaziah Zulkifli
           Pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi)



SERDANG,
12 November – Wacana Intelek yang bertajuk “Consumer in the New Millenium” telah diadakan pada 3 Oktober 2019 bertempat di Bilik Sidang, Fakulti Ekologi Manusia. Program yang bermula pada pukul 2.30 petang ini dihadiri hampir 40 orang yang terdiri daripada staf  dan juga pelajar UPM serta orang awam.

Seramai 3 orang panel dijemput untuk mengupas dengan lebih terperinci lagi mengenai isu ini iaitu; Prof. Dr. Laily Hj. Paim, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Dr Ujang Sumarwan, Bogor Agriculture University, Indonesia, Dr. Gancar C. Premananto, Universitas Airlangga, Surabaya. Wacana ini turut dibantu dengan kelolaan moderator, Dr. Norzalina Zainuddin, Fakulti Ekologi Manusia, UPM

Wacana dimulakan dengan pembentangan daripada Prof. Dr. Laily Hj Paim dengan fokus penyampaian beliau bertajuk ‘Cost of Living: Income Based vs Cost-based Approaches.’ Menurut beliau, kos sara hidup berkait rapat dengan masalah struktur ekonomi yang akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Tumpuan penyelesaian melibatkan dua faktor iaitu berdasarkan pendapatan (pendekatan jangka panjang) dan berdasarkan kos/harga (pendekatan jangka pendek). Antara langkah untuk mengurangkan kos adalah perlunya meningkatkan produktiviti bagi memastikan kos makanan tetap rendah. Beri tumpuan kepada amalan terbaik dan kaedah pengeluaran yang cekap. Dalam isu pendapatan pula, kerajaan perlu menimbangkan untuk meningkatkan pelepasan cukai bagi pasangan dan anak-anak. Selain itu, pengguna juga perlu bijak dalam berbelanja. Pengguna perlu menentukan gaya hidup untuk mengimbangi kos sara hidup yang tinggi. Apabila kos meningkat, cari peluang untuk mendidik diri untuk berbelanja secara berhemah mengikut keperluan.

Wacana kemudian dibentangkan oleh Prof. Dr. Ujang Sumarwan dengan topik yang bertajuk ‘Becoming green Consumers to Achieve Sustainable and Responsible Consumptions’. Menurut beliau, dalam SDG 12 ada menekankan mengenai penggunaan dan pengeluaran lestari. Setiap pengguna perlu mempunyai keprihatinan terhadap alam sekitar, mempunyai tindakan yang mementingkan alam sekitar, memilih produk yang mesra alam, serta tindakan ini perlulah secara berterusan dan konsisten. Sebagai individu, antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah menggunakan beg yang boleh diguna semula semasa membeli belah, utamakan makanan organik atau tempatan, kurangkan-guna semula-kitar semula produk, guna pengangkutan awam/berjalan/berbasikal, beli produk yang mesra alam dan gunakan produk yang jimat tenaga. Sebagai komuniti pula, tunjukkan serta promosikan tingkah laku positif kearah persekitaran yang sihat, terlibat dengan aktiviti pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar, dan sentiasa bermotivasi dalam memelihara serta mengekalkan alam semulajadi. Sebagai pengusaha/industri pula, mereka boleh memainkan peranan dengan melakukan inovasi dan menghasilkan produk yang mesra alam seperti produk yang jimat tenaga, yang tidak mencemarkan alam, meminimumkan kebergantungan terhadap sumber alam dan memaksimakan penngunaan sumber yang boleh dikitar semula, meminimumkan penggunaan plastik dan bahan kimia, serta memaksimumkan penghasilan produk makanan yang organik dan selamat. Secara umumnya, semua pihak mempunyai peranan dalam penggunaan lestari bagi memastikan alam sekitar dapat dilindungi seterusnya memastikan kelangsungan keperluan bagi generasi akan datang terjamin.

Wacana kemudian diteruskan oleh Dr. Gancar C. Premananto dengan tajuk “Sprirituality & Religiosity in Marketing and Consumer Behaviour”. Menurut Dr. Gancar, spiritual adalah sesuatu yang dapat memberi impak untuk kepuasan diri sendiri (individual focus) manakala ‘religiosity’ ataupun keagamaan dapat memberi penekanan terhadap sekeliling/ komuniti. Menurut beliau, spiritual dan agama adalah sangat penting dalam pemasaran. Pemasaran bukan hanya digunakan untuk meraih keuntungan wang semata-mata, namun ianya boleh digunakan untuk memasarkan tingkah laku yang positif ataupun memasarkan isu dan masalah semasa. Dr. Gancar berpendapat, dalam strategi pemasaran spiritual, ianya melibatkan 5C iaitu Syarikat, Pelanggan, Pesaing, Perubahan dan juga perlu ada hubungan dengan Tuhan.  Setiap perubahan yang dilakukan perlu bersandarkan kepada tuhan. Letakkan kebergantungan manusia ini kepada tuhan dalam mencari solusi bagi setiap masalah yang menimpa. Dalam Islam, bukan hanya memberi panduan dalam skop syariah semata-mata (halal-haram), Islam juga memberikan konsep dan panduannya sendiri.

Wacana kemudiannya diakhiri dengan sesi soal jawab dan kemudinnya berakhir kira-kira pukul 4.30 petang.


 
     
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 12/11/2019 | Kemaskini: 12/11/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1601111901