Program Bicara Hati | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » Program Bicara Hati

Program Bicara Hati

Oleh : Nurul Saidatus Shaja’ah Ahmad Shahril - Bacelor Sains (Pembangunan Manusia) Tahun 4

 

 

AMPANG, SELANGOR – Pada 25 November yang lalu, telah berlangsungnya Program Bicara Hati yang bertempat di Rumah Solehah Ampang, Selangor. Program ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Psikopatologi Kanak-kanak dan Keluarga bagi semester 1, 2018/2019 dibawah bimbingan Dr. Mohd Najmi Daud dari Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga (JPMPK) Fakulti Ekologi Manusia.

Program Bicara Hati ini diterajui oleh Nurul Liyana Sabri bersama lima orang ahli yang menjadi tulang belakang program iaitu Nurul Saidatus Shaja’ah Ahmad Shahril, Sharifah Nurfarneena Syed Jaafar, Nurul Aina Abdul Kader, Nur Khairina Ahmad Zaiadi dan Nur Izyan Ilyana Zainor@Zainal. Menyedari akan keseriusan masalah kesihatan mental di negara kita, program ini berusaha mengenengahkan idea tentang pengurusan tekanan dalam kalangan pesakit yang menghidap HIV, khususnya kepada warga wanita di Rumah Solehah.

Program dimulakan dengan sesi perkenalan dengan warga Rumah Solehah yang terlibat iaitu seramai lapan orang dalam lingkungan umur 16 ke 43 tahun. Seterusnya, para pelajar memperkenalkan dan membimbing warga bagi melakukan inventori tekanan dan sesi terapi seni. Sesi perbincangan kemudiannya diadakan bagi membincangkan tahap tekanan yang dialami berdasarkan inventori dan lukisan mereka. Teknik-teknik pengurusan tekanan dikongsikan bagi menambah pengetahuan warga dalam berhadapan dengan tekanan hidup. Terdapat pelbagai cerita dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang perbincangan dijalankan.

Program Sambutan Maulidur Rasul di Rumah Solehah yang kebetulannya diadakan pada tanggal yang sama, turut menerima kunjungan pelajar-pelajar dari Universiti Malaya dan Management and Science University (MSU). Tirai sambutan dibuka dengan marhaban dan selawat yang dipimpin oleh pelajar-pelajar dari Universiti Putra Malaysia dan alunan Al-Quran oleh pelajar Universiti Malaya. Pengisian seterusnya adalah dari penceramah jemputan iaitu Ustaz Zainuddin Abu Bakar yang menceritakan kepentingan mengingati dan redha akan ketentuan Allah swt. Program diakhiri dengan sesi fotografi dan penyerahan cenderamata kepada pegawai perhubungan Rumah Solehah, Fathiiah Hamzah.

Secara keseluruhannya, pihak pengurusan dan warga Rumah Solehah serta pelajar-pelajar amat berpuas hati dan gembira terhadap hasil perkongsian dan perbincangan daripada program tersebut. Segala maklumbalas peserta dan kekurangan yang berlaku akan dinilai bagi penambahbaikan untuk program-program akan datang.

 

   
Bersama pihak pengurusan Rumah Solehah dan penaja
 
Penyertaan pelajar dari Universiti Malaya dan MSU
 
Sesi latihan dan persediaan sambutan Maulidur Rasul
         

Sesi perbincangan inventori tekanan dan lukisan 
 

Sesi terapi seni
 

 

Santapan rohani sempena sambutan Maulidur Rasul
         
     
Sesi penyerahan cenderamata kepada Rumah Solehah

 

 
Ustaz Zainuddin Abu Bakar berkongsi tentang latarbelakang hidupnya yang merupakan anak kepada pelakon Abu Bakar Omar

 

   

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 12/12/2018 | Updated: 12/12/2018 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1576426368