FEM ANJUR 2 PROGRAM AMAL DALAM SEHARI | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » FEM ANJUR 2 PROGRAM AMAL DALAM SEHARI

FEM ANJUR 2 PROGRAM AMAL DALAM SEHARI

SERDANG,14 April 2023 – Fakulti Ekologi Manusia (FEM) melalui Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR), FEM telah menganjurkan Program Jom Memasak Bubur Lambuk dan Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan secara serentak hari ini.

Program yang diadakan saban tahun ini, adalah selari dengan takwim KKSR bersempena Bulan Ramadan 1444H yang tidak lama lagi akan melabuhkan tirainya sebelum semua umat islam merayakan aidilfitri pada bulan Syawal nanti.

Selain menjadi program tradisi di fakulti, program ini bertujuan memupuk sikap tolong menolong, dan mengukuhkan ikatan silaturahim di antara staf akademik dan staf pelaksana Fakulti Ekologi Manusia (FEM). Ikatan kekeluargaan yang tersemat dalam diri warga fakulti menunjukkan bahawa kelab KKSR boleh menyatukan semua pihak, khususnya staf akademik dan staf bukan akademik di fakulti ini.

Majlis hari ini, turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), selain Timbalan Dekan (Akademik, Antarabangsa, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FEM, YBrs. Profesor Madya Dr. Elistina Abu Bakar, dan YBrs. Profesor Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), FEM yang hadir dan bersama-sama menjayakan program anjuran fakulti.

Seusai program Jom Memasak Bubur Lambuk, majlis diteruskan dengan Khatam Quran di Dewan Seminar Al-Farabi, yang dihadiri oleh staf di kalangan pensyarah dan staf pelaksana, FEM. Majlis Khatam Quran seperti tahun sebelumnya, dibimbing oleh YBrs. Ust. Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd. Yusoff, Pensyarah Kanan daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan (JPKK), FEM.

Majlis Khatam Quran pada kali ini, juga telah melancarkan Tabung Infak KKSR 2023 bagi mengumpul dana tambahan untuk kelab agar dapat melaksanakan program berikutnya seperti yang telah dirancang dalam kalendar aktiviti KKSR pada tahun 2023. Majlis berakhir dengan sesi fotografi beramai- ramai dan sesi mengagihkan bubur lambuk kepada semua peserta yang hadir pada hari ini.

Berita oleh: En. Mohd Aspah Kasim (Pej. TDAA HEPA), FEM

Date of Input: 14/04/2023 | Updated: 14/04/2023 | aspah.kasim

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDTKA1~