
Menjelang sambutan 1 Syawal, suasana politik negara dikejutkan dengan isu pihak Jakel memohon pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang didakwa oleh penganut Hindu berusia lebih 130 tahun untuk berpindah ke satu tapak baru yang diberikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara percuma.
Selepas beberapa sesi perbincangan, DBKL bersetuju untuk menggantikan tanah tersebut dengan tanah yang lain sebagai salah satu kaedah ‘land swap’ dengan pihak kuil bagi menghentikan rasa tidak puas hati pihak pengurusan kuil tersebut. Ia susulan terdapat cadangan untuk memindahkan kuil tersebut bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid Madani yang bakal diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 27 April 2025.
Tanah lot tersebut dijual ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Pada tempoh pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, DBKL telah memberikan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) kepada Jakel untuk membina masjid pada tahun 2020 dan kelulusan pelan bangunan pula diberikan pada tahun 2021.
Isu ini telah membangkitkan sentimen perkauman dan rasa tidak puas hati orang Melayu dan bangsa lain terhadap kaedah kerajaan menyelesaikan isu tersebut yang dianggap mereka lemah dan tunduk kepada permintaan pihak penceroboh tanah DBKL. Dilaporkan terdapat lebih dari 113 kuil yang dibina di atas tanah persendirian dan kawasan awam serta tidak mendapat kelulusan pembinaan oleh pihak DBKL.
Walaupun bersetuju dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan pihak DBKL dalam menyelesaikan isu tersebut, tetapi terdapat rasa kurang senang dengan cara dan kaedah penyelesaian apabila pihak kuil digantikan sebidang tanah lain di kawasan yang lain tanpa sebarang nilai pampasan yang perlu dibayar oleh pihak pengurusan kuil.
Pandangan mereka, jika pihak Jakel perlu membayar hampir RM16 juta ke atas sebidang tanah dengan keluasan hampir 12,000 kaki persegi maka hal yang sama perlu dikenakan ke atas pihak kuil walaupun atas dasar penggantian hartanah.
Pemberian tanah secara percuma adalah satu “precedence” yang tidak sihat oleh pihak DBKL dan boleh dianggap bahawa pencerobohan ke atas tanah awam boleh disahkan jika menggunakan sentiman agama, perkauman dan orang politik khusus jika mana-mana kelompok agama mahu membina sebuah rumah ibadat.
Kumpulan yang tidak bersetuju merasakan kerajaan tidak harus campurtangan dan membiarkan hal tanah tersebut dibawa ke mahkamah dan biar pihak mahkamah menentukan status hak milik tanah tersebut. Dakwa mereka lagi, dakwaan faktor sejarah tidak membuktikan tanah tersebut milik kuil kerana sehingga sekarang tiada bukti jelas yang dikeluarkan oleh pihak kuil bagi mengukuhkan dakwaan mereka.
Pada masa hadapan, isu seperti Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman perlu ditangani secara profesional dengan pihak kerajaan mewujudkan satu task force di seluruh negara untuk mengkaji kesesuaian pembinaan rumah ibadat oleh penganut pelbagai agama di Malaysia. Task force tersebut perlu mengenal pasti jumlah keseluruhan penganut agama, penduduk dan pembinaan rumah ibadat yang dibenarkan dalam satu daerah atau bandar.
Kedua, penggubalan satu peraturan baru khas oleh pihak pihak berkuasa perancang tempatan ke atas pelan pembinaan rumah ibadat oleh pihak pentadbir rumah agama agar setiap hasrat untuk membina sebuah rumah ibadat perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum proses pembinaan dijalankan.
Jika berlaku perlanggaran, kuasa diberikan kepada pihak berkuasa perancang tempatan untuk merobohkan mana-mana binaan yang tidak sah. Keperluan kepada peruntukan khas ini juga mestilah berdasarkan kepada anggaran jumlah penganut yang terdapat dalam kawasan tertentu masa kini dan potensi masa depan.
Kesemua ini dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan rasa tidak puas hati oleh penganut agama lain. Malaysia sebuah negara berbilang kaum, nilai kesatuan rakyat pelbagai kaum dan agama adalah paling utama. Isu kuil haram perlu ditangani dan tidak akan wujud binaan haram jika setiap penganut agama mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Setiap agama perlu mempunyai pelan yang teratur dan mengikut saluran perundangan. Menggunakan kaedah kewangan sosial seperti dana waqaf atau ‘crowdfunding’ boleh membantu pihak pentadbiran rumah ibadat melaksanakan hasrat mereka untuk membina sebuah rumah ibadat secara sah.
Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 berkaitan dengan kewujudan Tabung Rumah Ibadat (TPI) dan Tabung Pembinaan Rumah Ibadat (TPRI) merujuk kepada keistimewaan cukai yang diberikan kepada sumbangan yang dibuat oleh individu atau syarikat untuk tujuan pembinaan atau penyelenggaraan rumah ibadat di Malaysia.
Melalui peruntukan akta tersebut, pihak pentadbir rumah ibadat boleh mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi untuk membeli tanah lot yang sah dan mengupah perunding mendapatkan kelulusan kebenaran merancang dan pelan pembangunan dengan pihak berkuasa perancang tempatan. Sebenarnya, sudah lama akta tersebut digubal dan terdapat kelebihan kepada individu yang menyumbang kepada pembinaan rumah ibadat.
Namun disebabkan tidak wujud kempen kesedaran yang bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan, maka usaha ke arah menyedarkan masyarakat kepada kepentingan merancang pembinaan sebuah rumah ibadat tidak wujud sehingga fenomena pencerobohan ke atas awam orang lain terus berlaku. Tak kira institusi agama mana pun, kempen kesedaran perlu digerakkan agar isu pembinaan rumah ibadat haram dapat dinoktahkan.
Dalam sebuah negara yang maju, moden dan bermaruah, jalur hukum adalah keutamaan pemerintah dan setiap warganegara harus patuh dan menghormatinya selari dengan Rukun Negara ketiga iaitu kedaulatan undang-undang. Warganegara yang tinggal dalam negara pelbagai kaum dan agama harus melihat asas menghormati undang-undang melebihi keghairahan membina pusat ibadat tanpa saluran yang betul.
Mana mungkin sebuah bangunan yang dianggap suci dan dihormati dibina di atas tanah milik orang lain dan kawasan kegunaan orang ramai? Jika tidak mahu menghormati orang politik pun, jangan pula memandang sepi rasa tidak puas hati warganegara yang lain. Demi harga sebuah keamanan dan kemakmuran, Malaysia tidak boleh membiarkan serangan kepada kestabilan politik negara dibiarkan tanpa ditangani secara berhikmah. Dan isu pencerobohan oleh mana-mana agama ke atas pemilikan pihak lain perlu dinoktahkan selamanya.

Oleh: Dr Haji Mohd Amim Haji Othman adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Tarikh Input: 28/03/2025 | Kemaskini: 16/01/2026 | rozlita
