Tanggapan Rakyat Tentang Merdeka Masih Klise | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Tanggapan rakyat tentang merdeka masih klise

Tanggapan rakyat tentang merdeka masih klise

Oleh: DR. AHMAD NASIR MOHD. YUSOFF
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Dan Kenegaraan
Fakulti Ekologi Manusia, UPM


 

FIRASAT kebanyakan rakyat Malaysia tentang makna merdeka masih klise walaupun sudah lebih enam dekad berlalu, sedangkan skop merdeka membawa pengertian luas lebih-lebih lagi dari segi konteks Islam.

Amat menyedihkan apabila sebilangan warga Malaysia mempunyai sudut pandang yang serong. Mereka menganggap merdeka merupakan satu kenangan manis yang perlu diraikan dengan membiarkan mereka bebas melakukan apa sahaja, meskipun melanggar peraturan alam, undang-undang negara mahupun agama. Itu salah faham yang besar dan menyeleweng!

Sebagai rakyat, apakah tanggungjawab kita dalam konteks membina Keluarga Malaysia? Apakah pasak yang sesuai bagi mengukuhkan ruang sivik, keadilan dan demokrasi dalam membina negara bangsa Malaysia?

Masyarakat perlu memahami dengan sedalamnya bahawa Perlembagaan merupakan cermin kenyataan sejarah yang panjang yang merangkumi entiti Melayu, Islam, Bahasa Melayu, Institusi Diraja, dan Akta 153, kedudukan Melayu dalam negara. Dalam masa sama etnik lain bebas mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai.

Dalam usaha menyemai tunas bangsa merdeka perlu dimulai dengan mengenali hak dan kewajipan sebagai warganegara agar dapat diperjuangkan secara demokratik, hak pilihan raya, isu rasuah, sumbangan tokoh-tokoh pejuang tanah air dan bersedia meneruskan cita-cita membangunkan negara untuk menjadi negara bangsa yang makmur, beradab, jati diri dan memiliki semangat patriotik terhadap negara.

Rakyat juga perlu disemai dengan memahami fungsi dan potensi Rukun Negara sebagai pandangan hidup dan jiwa bagi bangsa Malaysia. Rukun Negara juga memainkan peranan penting dan strategis sebagai medium menyatupadukan rakyat. Ia bukan sekadar teori tetapi bersifat praktis dan didukung oleh justifikasi agama.

Ringkasnya sebagai warganegara Malaysia, kita memiliki hak dan tanggungjawab termasuk dalam mendapat perlindungan dan jaminan keselamatan undang-undang serta kesejahteraan.

Apa yang penting dalam menyemai tunas merdeka ini setiap warganegara diwajibkan memberikan dukungan kepada agenda negara sesuai dengan peruntukan undang-undang.

Dengan demikian, hasrat membina warganegara sejahtera, saling menghormati, bertolak ansur, beradab serta kebebasan bersuara, berhimpun, beragama, berpolitik, hak kanak-kanak, hak wanita, hak orang kurang upaya, hak orang asal, hak pekerja dan sebagainya dapat dilaksanakan tanpa penyalahgunaan hak asasi manusia di negara ini. - UTUSAN

Tarikh Input: 06/11/2022 | Kemaskini: 06/11/2022 | aspah.kasim

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEUCAl~