|
Karya satira tak boleh jadi alat propaganda pihak berkepentingan Grafik Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru dilantik, Tun Musa Aman dihasilkan Fahmi Reza menyebabkan aktivis dan pereka grafik itu disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, mencetuskan polemik mengenai satira. Grafik satira ini mengundang pelbagai reaksi dalam masyarakat kerana ada menganggapnya sebagai kebebasan bersuara dan berekspresi tetapi sebahagian pula menegaskan satira sepatutnya lebih 'beradab'. Dua sudut pandangan ini sebenarnya datang daripada tanggapan kita terhadap satira dan sindiran Melayu yang sebenarnya saling bertaut. Dalam konteks Barat, satira berasal daripada perkataan Latin, iaitu 'satura' bermaksud hidangan makanan penuh dan beraneka bentuk. Justeru, satira dianggap karya kritikan yang rencam intinya tetapi ia juga hasil pengaruh kebudayaan dan kesusasteraan Yunani Kuno. Unsur satira dapat dilihat dalam beberapa drama seperti komedi dan satyr-play. Namun, tiada istilah khusus seperti 'satura' dapat menggambarkan maksudnya seperti dalam kesusasteraan Rom. Bahkan, kesusasteraan Rom kemudiannya mengembangkan satura sebagai genre terkenal hingga hari ini, khususnya dalam bentuk prosa. Antara tokoh terkenal dalam dunia satira Rom ialah Horace dan Juvenal yang mempunyai gaya berbeza dalam menampilkan satira masing-masing. Dustin Griffin dalam bukunya, Satire: A Critical Reintroduction, satira dalam kerangka Horace atau satira Horatia lazimnya dikaitkan dengan ciri-ciri humor. Satira bentuk ini dianggap halus, bijaksana dan sering berhati-hati, sekali gus tidak dilakukan secara berterus-terang serta langsung, tetapi secara berlapis makna. Berbeza dengan satira Horatia, satira Juvenal pula ditafsirkan keras dan mempunyai unsur tragis seperti dalam drama tragedi. Ia bersifat provokasi dan bertujuan melukakan subjek yang menjadi sasarannya. Perbezaan ini dapat kita kesan apabila membaca novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako dan SHIT tulisan Sasterawan Negara (SN) Datuk Shahnon Ahmad. Satira politik memang bertujuan memomok dan menempelak salah laku difikirkan berlaku di sekeliling pengamatan seseorang 'satirawan'. Momokan ini lazimnya dihasilkan untuk 'menyentak' pandangan masyarakat dan mengajak mereka memikirkan hal ehwal salah laku berkenaan. Bahkan, satira digunakan untuk merosakkan imej dan reputasi individu berkuasa dianggap melakukan kecurangan, sekali gus selari dengan pandangan sarjana kesusasteraan Inggeris, Alvin Kernan dalam bukunya The Cankered Muse: Satire of English Renaissance yang menyatakan tujuan satira adalah untuk 'membunuh karektor' dan 'mentertawakan kebodohan'. Namun, konsep satira berbeza dengan amalan sindiran Melayu. Tidak hairanlah perkataan 'satira' hanya dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Edisi Ke-2 pada 1984. Sebelum 'satira' diserap, perkataan satire digunakan dalam Kamus Dewan Edisi Pertama (1970) yang hanya merujuk kepada genre prosa atau tulisan. Hal ini berbeza dengan konsep sindiran Melayu yang lama sebati bukan sahaja dalam bentuk tulisan, bahkan tradisi lisan. Konsep lain digunakan berkait konsep sindiran Melayu dapat dilihat dalam kiasan atau seloka diterjemahkan dalam kesusasteraan tradisional Melayu seperti pantun, cerita jenaka, pepatah-petitih, gurindam, peribahasa dan pelbagai lagi. Perbezaan paling jelas antara satira dengan sindiran adalah dari segi tujuan dan kepentingan menjaga air muka. Sindiran Melayu bersifat didaktik, iaitu teguran untuk mengajar atau mendidik. Meskipun bersifat terselindung, tujuannya jelas untuk membetulkan sesuatu salah laku seperti peribahasa, 'pukul anak, sindir menantu' bertujuan menegur perbuatan pihak ketiga meskipun ditujukan langsung kepada pihak kedua. Ini berkaitan dengan kepentingan menjaga air muka orang mahu ditegur. Kepentingan menjaga air muka dalam masyarakat timur adalah penting kerana keperibadian seseorang dibentuk ibu bapa dan ahli keluarga, guru serta rakannya. Justeru, pemberat ini perlu diambil kira supaya teguran bukan sahaja tidak menjatuhkan air muka individu, bahkan orang sekeliling. Oleh Dr Fairuzzaman Shaharuddin |
Tarikh Input: 19/05/2025 | Kemaskini: 20/05/2025 | aspah.kasim
