Kajian Pengesanan: Perkembangan Kanak-kanak PERMATA Negara | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Kajian Pengesanan: Perkembangan Kanak-kanak PERMATA Negara

Kajian Pengesanan: Perkembangan Kanak-kanak PERMATA Negara

Kurikulum PERMATA Negara bermatlamat untuk menyediakan program asuhan dan didikan awal yang bersepadu untuk kanak-kanak berumur 0-4 tahun. Kurikikulum PERMATA memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mendapat pengalaman pembelajaran awal yang berkualiti tinggi seterusnya akan melahirkan modal insan yang cemerlang. Kurikulum PERMATA menekankan 6 domain yang terpenting dalam memastikan perkembangan holistik kanak-kanak; ia merangkumi perkembangan 1) sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian; 2) bahasa, komunikasi dan literasi; 3) matematik dan pemikiran logik; 4) deria dan pemahaman dunia persekitaran; 5) fizikal; dan 6) kreativiti dan estetika (Malaysia 2006).

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji perkembangan holistik kanak-kanak yang pernah mengikuti pembelajaran di Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN). Kajian ini telah dijalankan di tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia yang mewakili 5 zon (utara, selatan, timur, barat dan tengah). Antara negeri-negeri terlibat ialah Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan. Populasi kajian terdiri daripada dua kumpulan iaitu alumni PAPN yang bergraduat pada tahun 2007-2012 dan juga ibu bapa mereka. Perkembangan kanak-kanak diukur melalu 6 domain perkembangan yang terkandung dalam kurikulum PERMATA dengan menggunakan dua set borang soal selidik, satu untuk kanak-kanak alumni PAPN dan satu lagi untuk ibu bapa. Seramai 83 kanak-kanak alumni PAPN dan 83 ibu bapa mereka telah terlibat dalam kajian ini. 

Kajian mendapati secara keseluruhannya, ibu bapa dan kanak-kanak melaporkan tahap perkembangan keseluruhan kanak-kanak berada pada tahap yang tinggi dan sederhana. Jika diperhatikan daripada setiap domain perkembangan ini, kajian mendapati majoriti daripada ibu bapa berpendapat kanak-kanak menunjukkan perkembangan tahap tinggi pada domain perkembangan sahsiah, sosioemosi dan kerohanian dan juga perkembangan matematik dan pemikiran logik. Dapatan kajian ini adalah selaras dengan pendapat kanak-kanak terhadap perkembangan mereka. Begitu juga dari segi perkembangan kreativiti dan estetika, di mana sebahagian besar ibu bapa responden merasakan perkembangan kreativiti anak-anak mereka adalah di tahap yang sederhana. Menurut ibu bapa yang dikaji, antara komponen perkembangan penting yang perlu ada pada setiap kanak-kanak ialah kerohanian, komunikasi, sahsiah, pemikiran logik dan perkembangan sosioemosi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 13/02/2019 | Kemaskini: 13/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdWAz~