Fahami Kredit Atau Hutang Pengguna | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Fahami Kredit atau Hutang Pengguna

Fahami Kredit atau Hutang Pengguna

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa hutang isi rumah di Malaysia antara yang tertinggi di Asia iaitu 89.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Agensi kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula melaporkan bahawa semenjak penubuhan AKPK pada tahun 2006 sehingga 30 September 2016, lebih daripada 482,138 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan seramai 161,739 daripada jumlah itu telah berjaya dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK. Punca utama (50.2%) pelanggan berhadapan dengan masalah kewangan adalah disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah. Sementara itu, laporan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan bahawa seramai 19,588 orang telah diisytiharkan muflis pada tahun 2016 di mana tiga sebab utama kebankrapan adalah daripada pinjaman peribadi (31.3%), pinjaman sewa beli kenderaan (22.9%) dan pinjaman perumahan (12.0%). Tiga sebab utama peminjam gagal untuk membayar hutang adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah (26.2%), tidak mengetahui mengenai hutang (23.6%) dan krisis ekonomi (18.3%). Senario di atas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berada dalam keadaan keberhutangan yang serius dan ini perlu ditangani.


Kredit merupakan kemudahan kewangan untuk pengguna, namun sekiranya digunakan dengan tidak betul, kredit akan menyebabkan pengguna terjebak dengan masalah hutang yang serius. Kredit dan hutang adalah saling berkaitan, tapi merupakan dua jenis perkara yang berbeza. Kredit adalah keupayaan untuk membeli sesuatu dengan jaminan untuk membayar pada masa akan datang manakala hutang adalah kredit yang telah digunakan untuk membuat transaksi pembelian. Umumnya bagi kebanyakan pengguna, kredit dan hutang adalah perkara yang sama. Sebagai pengguna kita perlu mempunyai pemahaman yang baik mengenai jenis, bentuk, kelebihan dan kelemahan kredit atau hutang.


Umumnya hutang boleh dibahagikan kepada dua iaitu hutang baik (aset produktif) dan hutang tidak baik (aset kurang produktif). Hutang baik ialah apabila seseorang membuat pinjaman untuk melabur atau membeli sesuatu aset (barangan atau perkhidmatan) di mana nilai aset tersebut semakin meningkat (appreciation) atau ianya dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang. Contohnya membuat pelaburan pendidikan, pelaburan saham dan membeli hartanah. Manakala hutang yang tidak baik merupakan pinjaman untuk melabur atau membeli aset di mana nilai aset mengalami penurunan (depreciation) serta menjejaskan kualiti hidup seseorang. Sebagai contoh, seseorang membeli kelengkapan perabot untuk rumah, membeli kenderaan atau melabur dalam perniagaan yang tidak patuh syariah. Penggunaan kad kredit untuk membeli belah atau menikmati makanan di restoran mewah juga merupakan antara contoh hutang yang tidak baik dan tidak perlu. Nilai wang yang telah digunakan akan hilang apabila anda meninggalkan pasaraya atau restoran mewah tersebut. Situasi yang lebih menyedihkan adalah apabila sumber kewangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung gaya hidup sehingga mendorong kepada penggunaan kredit berlebihan. Sebagai pengguna yang bijak di pasaran, individu dan isi rumah perlu memahami bahawa hutang yang baik dapat meningkatkan nilai bersih wang mereka manakala hutang yang tidak baik akan memberi kesan (mengurangkan) ke atas nilai bersih wang mereka.


Hutang terdiri daripada dua bentuk iaitu hutang ansuran (installment debt) dan hutang pusingan (revolving debt).  Hutang ansuran biasanya melibatkan jumlah bayaran bulanan yang tetap untuk satu jangkamasa yang telah ditetapkan mengikut kontrak yang dipersetujui dan ditandatangani. Pinjaman perumahan dan pinjaman kereta adalah contoh hutang ansuran penguna. Dua jenis pinjaman ini merupakan pinjaman yang biasa dimiliki oleh pengguna dan merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah hutang individu atau isi rumah di Malaysia. Hutang pusingan pula adalah hutang di mana jumlah wang yang dipinjam berbeza-beza setiap bulan bergantung kepada penggunaan dan had kredit yang dibenarkan. Penggunaan kad kredit merupakan salah satu contoh hutang pusingan pengguna. Pengguna boleh berbelanja untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak menggunakan kad kredit mereka asalkan tidak melebihi had kredit yang telah ditetapkan oleh institusi atau syarikat penyedia kemudahakan kad kredit tersebut.


Terdapat beberapa kelebihan kredit atau hutang antaranya ia sebagai satu bentuk kemudahan di mana pengguna boleh dan mampu untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan tanpa membawa wang tunai. Selain itu, kredit juga dapat digunakan pada waktu kecemasan dan di luar jangka seperti rawatan hospital atau kerosakan kenderaan. Sekiranya pengguna mempunyai keinginan atau kehendak terhadap sesuatu barangan mewah dan keinginan tersebut perlu dipenuhi dengan segera, kredit membolehkan pengguna mendapatkan barangan mewah tersebut dengan kadar segera. Pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan barangan tersebut serta dapat mengelakkan kehabisan barangan di dalam pasaran. Pengguna juga boleh mengambil peluang kos kredit percuma apabila mereka menggunakan kad kredit untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang diingini serta membuat bayaran balik dalam tempoh yang ditetapkan (grace period). Kad kredit juga membolehkan pengguna membuat tempahan dan pembayaran melalui laman sesawang untuk perkhidmatan atas talian seperi tempahan tiket kapal terbang, hotel dan sebagainya. Penggunaan kad kredit untuk tempahan memudahkan urusan mengenalpasti identiti pengguna. Pengguna kad kredit juga berpeluang menebus mata ganjaran (reward point) ke atas setiap transaksi yang dilakukan malahan ada sesetengah syarikat atau institusi kewangan yang menawarkan rebat tunai bagi pembelian yang menggunakan kad kredit. Kemudahan pembiayaan kos pendidikan tinggi (pinjaman pendidikan) juga merupakan salah satu jenis kredit pengguna di pasaran yang mana dapat membantu individu dan isi rumah untuk menikmati tahap dan taraf hidup yang diimpikan. Ini juga merupakan antara kebaikan kredit. Selain itu, penggunaan kredit yang bijak dan berhemah akan membantu pengguna membina sejarah kredit yang baik yang memudahkan mereka mendapatkan pinjaman pada masa hadapan.


Walaubagaimanapun, pengguna juga perlu sedar bahawa kredit juga ada kelemahan dan keburukannya. Penggunaan kredit yang kerap boleh mendorong kepada godaan untuk melakukan pembelian yang berlebihan. Boros dalam berbelanja terutama dengan pembelian melalui kredit akan menyebabkan pengguna terjebak dengan hutang berlebihan. Selain itu, pembayaran kredit yang lewat akan menyebabkan kos menjadi lebih mahal kerana pengguna terpaksa menanggung caj tambahan atau penalti yang dikenakan. Ini adalah kerana bank mengira caj faedah kad kredit secara harian (Contohnya 15% dibahagikan dengan 365 hari =0.041%). Kadar ini akan didarabkan dengan jumlah hutang tertunggak sehinggalah semua hutang dijelaskan. Kredit juga membawa kepada gaya hidup yang tidak realistik di mana pengguna boleh berbelanja untuk memenuhi kehendak mereka walaupun tidak mempunyai sumber kewangan atau pendapatan pada masa tersebut. Gaya hidup “Biar Papa Asal Bergaya” dan pembelian dan penggunaan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang “Tidak Ukur Baju di badan sendiri” akan menyebabkan pengguna menanggung kesan kos hutang yang tinggi. Selain itu, kesan yang paling buruk adalah kos emosi yang terpaksa dihadapi oleh pengguna itu sendiri. Kredit atau hutang yang diambil akan menyebabkan keresahan, dan mengganggu emosi dan perasaan pengguna ekoran daripada surat, panggilan atau amaran daripada pemiutang kepada pengguna. Oleh yang demikian, pengguna perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang baik dalam mengurus kredit atau hutang mereka agar tidak dibebani dengan masalah hutang yang serius.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 28/02/2019 | Kemaskini: 28/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdRAc~