Seminar Kebangsaan Peradaban Islam Dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ACTIVITIES » Doctor of Philosophy Student

Event Title
Seminar Kebangsaan Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM)
Date
11 Oct 2023 - 11 Oct 2023
Time
08.00 - 05.00
Location
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia
Event Summary
SEMINAR KEBANGSAAN PERADABAN ISLAM DAN KETAMADUNAN MALAYSIA (SPIKEM) SIRI 3/2023 UPM-YADIM RABU, 11 OKTOBER 2023 Serdang - Pelaksanaan Seminar Kebangsaan Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) merupakan satu inisiatif bagi mengukuhkan kefahaman tentang silang budaya yang berasaskan kepelbagaian etnik. Peradaban Islam melalui transformasi budaya dan pemikirannya merupakan teras kepada pembentukan ketamadunan Malaysia. Seminar ini adalah program jaringan industri anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Seminar ini juga dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, Pusat Islam UPM dan Rakan Siswa YADIM (RSY) UPM. Program seminar ini juga adalah hasil daripada MOU UPM-YADIM pada tahun 2020. Dengan tema ‘‘Kelestarian Silang Budaya ke arah Pengukuhan Malaysia Madani’, seminar ini merupakan satu usaha memupuk kesedaran tentang kekayaan nilai tradisi yang ada dalam kepelbagaian etnik. Nilai asas inilah membentuk tapak identiti negara yang menyanjung nilai keamanan, keharmonian dan kesejahteraan sosial. Melalui usaha ini diharapkan terhasillah perpaduan yang didasari oleh kearifan tempatan dan warisan budaya daripada pelbagai latar belakang etnik. Hal ini penting untuk diperkukuhkan agar Malaysia mampu mengharungi cabaran semasa. Melalui ketamadunan Malaysia, kita melihat bagaimana kepelbagaian etnik memberi sumbangan dalam pembentukan masyarakat yang majmuk dan dinamik, yang mana kepelbagaian diiktiraf sebagai sumber utama untuk mencapai kemajuan. Nilai-nilai inklusiviti, toleransi dan hormat-menghormati menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat yang berbilang etnik. Penghayatan ini membawa kepada kesedaran bahawa kepelbagaian etnik adalah elemen terpenting yang perlu dijaga dan diperkukuhkan untuk pembangunan tamadun Malaysia yang lestari. Antara objektif seminar ini adalah: 1. Meningkatkan pengetahuan dan penghayatan konsep silang budaya dalam kalangan belia dan masyarakat 2. Menyebarluas makna, tujuan dan nilai silang budaya agar dapat difahami dan dihayati oleh belia dan masyarakat. 3. Membangunkan lembaran fakta (fact sheet) berkaitan silang budaya yang boleh dimanfaatkan oleh para belia dan masyarakat 4. Mengukuhkan hubungan dengan rakan strategik YADIM-UPM dalam penganjuran program dakwah kemasyarakatan Seminar SPIKEM ini akan dirasmikan oleh YBhg Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zulkarnain selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Manakala ucapan aluan akan disampaikan oleh YBhg Prof. Dr Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya sesi Wacana Tokoh bertajuk ‘Masyarakat Madani dan Silang Budaya daripada Perspektif Ibnu Khaldun’ oleh tokoh akademik tersohor, iaitu Prof. Dr. Zaid Ahmad dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Manakala sesi forum yang mengupas tema seminar pula menampilkan moderator dan panelis dari bidang akademia, kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan. Kepelbagaian etnik, kaum dan agama barisan moderator dan panelis ini merupakan usaha silang budaya yang boleh menjadi penghubung dalam memupuk semangat kesepaduan, menghormati perbezaan, dan membentuk masyarakat yang inklusif dan harmoni, sejajar dengan matlamat negara ke arah pengukuhan Malaysia Madani. Seminar ini akan turut dihadiri oleh para peserta dan pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli akademik, para penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, rakan industri yang berkaitan, staf Universiti Putra Malaysia, mahasiswa UPM dan universiti lain, wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta orang awam pelbagai etnik, kaum dan agama selari dengan objektif seminar ini bagi meningkatkan pengetahuan dan penghayatan konsep silang budaya dalam kalangan belia dan masyarakat. Secara keseluruhannya, Seminar Kebangsaan Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) ini adalah satu langkah proaktif dalam memahami, menghargai, dan memperkukuh kepelbagaian etnik sebagai aset berharga dalam membina tamadun negara. Sekian, terima kasih Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Prof. Madya Dr. Adlina Ab. Halim Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia 43400 Serdang Selangor No. Tel : 019-2990071 No. Emel : adlina@upm.edu.my

Updated:: 10/10/2023 [aspah.kasim]

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEcLAH~