Miskin Bukan Penghalang Bina Kehidupan Lebih Baik | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Miskin Bukan Penghalang Bina Kehidupan Lebih Baik

Miskin Bukan Penghalang Bina Kehidupan Lebih Baik

Oleh:  Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak


Menurut hasil laporan Penemuan Utama: Pendapatan, Kemiskinan, Ketaksamarataan, Perbelanjaan, Kemudahan Asas yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, RM2,208 ditetapkan sebagai garis kemiskinan baharu, berbanding RM980 sebelum ini.

Laporan ini juga menunjukkan jumlah pendapatan median isi rumah kaum Cina lebih tinggi mencecah RM9,895 sebulan, berbanding India (RM5,981) dan Melayu (RM5,420).

Laporan ini juga menjelaskan kadar kemiskinan pada 2016 berjumlah 7.6 menurun kepada 5.6 pada 2019.

Dengan penurunan dua mata, kita boleh menyimpulkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan dijalankan kerajaan dan disokong badan bukan kerajaan (NGO) serta swasta, membuahkan hasil yang baik.

Bagaimanapun rakyat perlu berperanan meningkatkan peratus penurunan kadar kemiskinan.

Ramai berpandangan kerajaan seharusnya bertanggungjawab mengatasi isu kemiskinan melalui bantuan meningkatkan ekonomi golongan B40.

Ramai berpendapat kerajaan seharusnya memiliki pelan atau rangka kerja untuk memastikan rakyat terbela, khususnya dalam mengatasi masalah miskin tegar yang kebanyakan terdiri golongan petani, penoreh getah dan miskin bandar.

Benar, tanggungjawab utama kerajaan memastikan tadbir urus dilaksanakan, akhirnya membawa rakyat kepada kesejahteraan meliputi semua komponen kehidupan. Bukan setakat politik, tetapi sosial dan pendidikan.

Dalam berdepan isu kemiskinan, rasanya elok kita kembali menghayati firman Allah SWT yang bermaksud, "Bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah apa-apa keadaan yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka" (Surah al-Ra'd, ayat 11).

Ayat di atas jelas menuntut setiap individu yang ingin bangkit mengubah keadaan, agar kembali melihat ke dalam diri dan melakukan proses penyucian.

Sasarannya untuk mengembalikan kesedaran tentang peri pentingnya kuat berusaha, bekerja dan berbuat sendiri sesuatu kewajipan dengan kuat kemahuan dan penuh kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri.

Benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan untuk meneruskan kehidupan. Tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk seseorang individu bangkit membina kehidupan lebih baik.

Jika ditelusuri mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan. Kesusahan dialami pada awalnya, mampu menjadi motivasi atau pembangkit semangat untuk mengubah kehidupan.

Ini kerana yang miskin hanyalah harta benda, tetapi jiwa penuh kekayaan. Kemiskinan, kesusahan dan kepayahan menjadi cabaran atau pencetus untuk bangkit mencapai sesuatu lebih baik.

Perkara paling malang apabila seseorang individu menganggap kemiskinan sebagai penghalang dan tidak mampu berusaha sedaya upaya untuk keluar daripada belenggu kesusahan dan kepayahan.

Ini menunjukkan jiwa dimiliki itu lemah dan di sinilah letaknya kemiskinan sebenar.

Apa dimaksudkan dalam firman Allah SWT di atas, jelas menunjukkan manusia diminta berusaha melakukan perubahan, tidak boleh selesa dengan keadaan yang ada.

Lebih penting tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata tanpa digerakkan usaha daripada seluruh anggota tubuh badannya, bermula dengan berfikir dan disusuli tindakan.

Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari perasaan malas dan tidak ada disiplin diri. Ini termasuklah malas berfikir, malas berusaha dan tidak mahu bersusah payah keluar daripada zon sedia ada kepada yang lebih baik.

Keadaan ini mungkin terjadi kerana makna, tujuan dan nilai hidup masih belum jelas dan sekadar mengikut apa yang orang biasa lakukan.

Jika bangsa Melayu tidak mampu menjadi peneraju dalam bidang ekonomi, mereka boleh menjadi peneraju dalam bidang sosial. Mereka perlu berjuang menjadi bangsa hebat dalam aspek integriti, adab dan nilai kemanusiaan.

Semua pihak seharusnya terpanggil untuk bangkit memperkasakan bangsa sendiri - bangsa Melayu yang juga tuan asal tanah air bumi Malaysia tercinta ini.

Apalah makna menjadi tuan jika asakan demi asakan akhirnya meletakkan tuan hanya di pinggir sebuah kejayaan, bukannya pemain utama dalam mencipta pembangunan?

Dalam usaha memperkasakan manusia, mengenali hakikat manusia antara perkara sangat penting. Ini kerana sebagai pembina pembangunan, manusia terlebih dahulu perlu dibangunkan mengikut perspektifnya yang sebenar.

Manusia makhluk Tuhan yang sangat istimewa kerana potensi dan keupayaannya untuk berfikir, tidak ada pada makhluk lain. Dengan kelebihan akal dianugerahkan ini juga manusia mampu melalui proses kognitif berfikir, menjana idea dan membina kreativiti untuk kegunaan pembangunan.

Berbekalkan kekuatan dan kekayaan jiwa, manusia akan terus maju dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan dan membina kejayaan.

Sumber: Berita Harian Online - Rencana - Komentar - 19 Julai 2020

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, 
Fakulti Ekologi Manusia

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 20/07/2020 | Updated: 20/07/2020 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1597524875