Kempen Pengumpulan Dana ‘Cheer To School’ Dan ‘The Somalian Waqf Fund’ Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » Kempen Pengumpulan Dana ‘Cheer To School’ Dan ‘The Somalian Waqf Fund’ Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM)

Kempen Pengumpulan Dana ‘Cheer To School’ Dan ‘The Somalian Waqf Fund’ Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM)

Oleh: Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan & 
          Profesor Madya Dr. Nobaya Ahmad

          Jabatan Sains Kemasyarakatan dan  Pembangunan, FEM


SERDANG, 5 Oktober 2020 - Satu kempen pengumpulan dana atau fundraising anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) telah dilaksanakan dengan kerjasama pelajar-pelajar Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 9 Ogos 2020 lalu. Program ini merupakan usaha pelajar-pelajar UPM dalam membantu IRM menghebahkan kempen pengumpulan dana bagi dua program, iaitu ‘Cheer To School’ dan ‘The Somalian Waqf Water Fund’. 

Program Cheer To School bertujuan untuk meningkatkan dana bagi menyediakan keperluan persekolahan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Malaysia. Manakala, The Somalian Waqf Water Fund bertujuan untuk mengumpul dana bagi membina peralatan bekalan air bersih untuk komuniti di negara Somalia yang dilanda kemarau panjang.

Kempen fundraising ini melibatkan 25 orang pelajar yang telah menghadiri Kursus Induksi Sukarelawan anjuran IRM pada Disember 2019. Penglibatan pelajar-pelajar UPM dalam kempen ini diketuai oleh Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia. Turut membantu menjayakan program ini ialah Ketua Jabatan iaitu Profesor Madya Dr. Nobaya Ahmad yang bertindak sebagai pemantau aktiviti pelajar. 

Disebabkan melandanya wabak Covid-19 yang membataskan aktiviti para pelajar secara fizikal, kempen fundraising ini telah dilaksanakan melalui kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram, serta applikasi-aplikasi lain seperti WhatsApp dan Telegram menggunakan telefon pintar. Pelajar melakukan hebahan kempen ini mengikut kreativiti masing-masing, sama ada menggunakan hebahan poster atau video yang dibuat secara individu atau berkumpulan. Setiap individu pelajar juga melakukan tangkapan skrin atau screenshot bagi setiap hebahan mereka di media sosial untuk dilaporkan kepada pihak fakulti dan IRM melalui laman Padlet yang boleh dilayari di alamat berikut: https://padlet.com/nikahmadsufian/fundraising.

Dalam mengulas lanjut tentang aktiviti sukarelawan ini, Dr. Nik Ahmad Sufian berkata, “Program yang diadakan ini boleh menjadi perintis kepada aktiviti-aktiviti sukarelawan lain di masa hadapan, terutamanya dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 di mana kebanyakan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal pelajar UPM dan pergaulan sosial masyarakat umum terbatas.” 

Menurutnya lagi, kegiatan sukarelawan oleh sekumpulan pelajar UPM ini menunjukkan bahawa pengamalan penjarakan fizikal pada musim pandemik Covid-19 ini tidak menghalang minat pelajar untuk terus berbakti kepada masyarakat menerusi saluran media sosial.

 
     
     

 

 

 

   
     

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 05/10/2020 | Updated: 05/10/2020 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
W1VMQBZo:01:25