Profil Dekan | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» MENGENAI KAMI » Dari Meja Dekan » Profil Dekan

Profil Dekan

 

 

Dekan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia


PROF. DR. MOHAMAD FAZLI SABRI

Beliau dilahirkan di Lenggong, Perak Darul Ridzuan. Memperolehi Ijazah Sains (Pembangunan Manusia) pada tahun 1999 dan Ijazah Sarjana Sains (Sains Pengguna) pada tahun 2002 dari Universiti Putra Malaysia. Beliau berkelulusan ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga dengan pengkhususan dalam bidang Kewangan Keluarga dari Iowa State University, Amerika Syarikat.

Beliau giat menjalankan penyelidikan dalam bidang kewangan pengguna, kepenggunaan dan pendidikan kewangan dari peringkat kanak-kanak hinggalah warga emas. Sehingga kini, beliau telah mengetuai sebanyak 32 projek penyelidikan sebagai penyelidik utama dan 40 projek penyelidikan sebagai penyelidik bersama. Antara tajuk projek penyelidikan yang telah beliau laksanakan ialah “Determinants of Financial Well-Being among B40 Households”, “The Influence of Personal Finance and Psychological Factors on Financial Health among Malaysia Millennial Youth”, “FIMM Nationwide Survey on Unit Trust Scheme (UTS) and Private Retirement Scheme (PRS)” dan “Financial Capability and Financial Planning Advisory Services in Malaysia”. Beliau juga aktif menjalankan kerja perundingan yang mana telah mengetuai sebanyak 13 projek perundingan sebagai perunding utama dan 15 projek perundingan sebagai perunding bersama untuk pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Hasil penyelidikan dan perundingan beliau telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal di peringkat tempatan dan antarabangsa yang mana sebanyak 70 artikel dalam jurnal citation index , 90 artikel dalam jurnal non-citation index, 17 buah buku dan 21 bab buku. Beliau juga banyak menyumbangkan hasil penulisan bidang kepakaran dalam surat khabar dan majalah serta sering dijemput sebagai tetamu dalam progran radio dan televisyen.  Selain itu, beliau juga sering diundang sebagai penceramah untuk kursus dan bengkel berkaitan dengan pengurusan kewangan peribadi dan kos sara hidup.

Prof. Dr. Mohamad Fazli mempunyai kelayakan profesional sebagai perancang kewangan bertauliah daripada Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan Financial Planning Association of Malaysia (FPAM). Beliau juga merupakan “Certified HRDF Trainer” dan “Basic NLP Practitioner”. Selain itu beliau juga mempunyai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Perancangan Kewangan (Tahap 3), Diploma Kemahiran Malaysia (Perancangan Kewangan) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (Perancangan Kewangan) dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Kepakaran beliau juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah International Academy of Financial Consumers (IAFICO) dan Naib Presiden Asian Association for Consumer Interests & Marketing (AACIM). Selain itu, beliau juga adalah ahli penasihat untuk Centre for Organization Leadership and Development (COLD). Prof. Dr. Mohamad Fazli turut menerima jemputan sebagai Felo (Dignitary Fellow) daripada International Organization for Academic and Scientific Development (IOASD) dan Scholars Academic and Scientific Society. Beliau juga merupakan Profesor Pelawat di Fakultas Ekologi Manusia, Institut Pertanian Bogor dan Institut Ilmu Sosial dan Manajemen (STIAMI), Indonesia.

Di luar universiti pula, beliau dilantik sebagai Naib Presiden (Penyelidikan & Penerbitan) Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) bagi tempoh 2017-2023 dan exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) untuk sesi 2012-2020. Prof. Dr. Mohamad Fazli juga telah dilantik sebagai penasihat bidang kesejahteraan kewangan oleh Institut Darul Ridzuan, iaitu badan pemikir bagi kerajaan Negeri Perak bagi tempoh 2021-2023.

Beliau juga merupakan ahli sidang editor jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kini, beliau merupakan Editor-in-Chief Journal of Wealth Management & Financial Planning, South Asian Research Journal of Business and Management dan Journal of Social Science, Education and Humanities. Selain itu, beliau juga telah dilantik dan menganggotai lebih daripada 10 buah jurnal sebagai ahli sidang editor, antaranya PERTANIKA Journal of Social Science and Humanities, Asian Women, The International Journal of Business and Management, The International Review of Financial Consumers dan International Journal of Management.

Prof. Dr. Mohamad Fazli juga menganggotai beberapa persatuan dan badan profesional di peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara persatuan dan badan profesional tersebut ialah Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Persatuan Sains Sosial Malaysia, Malaysian Financial Planning Council, Financial Planning Association of Malaysia, Scholars Academic & Scientific Society, International Society for Development & Sustainability, dan International Federation for Home Economics.

Beliau telah melancarkan produk inovasi untuk pendidikan kewangan yang dinamakan “Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit”. Prof. Dr. Mohamad Fazli juga telah menerima pelbagai anugerah di peringkat universiti (30), kebangsaan (12) dan antarabangsa (17) bagi hasil penyelidikan, inovasi, perundingan dan kepakaran beliau.

Klik untuk paparan profil penuh

Kemaskini:: 08/12/2022 [aspah.kasim]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXETWA0~