UPM UMUM PELANTIKAN PENYANDANG PERTAMA KURSI PENYELIDIKAN TAN SRI EMPIANG JABU UNTUK PENGAJIAN WANITA DAYAK | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » UPM UMUM PELANTIKAN PENYANDANG PERTAMA KURSI PENYELIDIKAN TAN SRI EMPIANG JABU UNTUK PENGAJIAN WANITA DAYAK

UPM UMUM PELANTIKAN PENYANDANG PERTAMA KURSI PENYELIDIKAN TAN SRI EMPIANG JABU UNTUK PENGAJIAN WANITA DAYAK

SERDANG, 1 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Jayum Anak Jawan, 61, sebagai penyandang pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu untuk Pengajian Wanita Dayak berkuatkuasa hari ini untuk tempoh selama tiga tahun.

Prof. Jayum adalah bekas Profesor Politik dan Kerajaan, dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Beliau telah bersara wajib pada Oktober 2018 setelah berkhidmat dengan cemerlang selama 36 tahun. Selepas bersara, beliau dilantik ke jawatan yang sama secara kontrak di jabatan dan fakulti sama untuk tempoh 2 tahun.

Beliau membawa pengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan pembinaan jaringan dalam dan luar negara termasuk pengajaran dan penulisan ke kursi tersebut.  Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai penyandang ke-15 Kursi Tun Abdul Razak di Pusat Pengajian Asia Tenggara, dan pada waktu sama dilantik sebagai Profesor Pelawat Sains Politik di Jabatan Sains Politik, di Ohio University, Athens, Ohio, USA (2015-2017).

Selain itu beliau pernah menerima lantikan jangka pendek sebagai pelawat akademik ke beberapa universiti luar negara seperti: University of Hull, UK (2004 & 2005); University of Flinders (2008); Northern Bangladesh University (2010); dan University of Leeds, UK (2011) dan dari dalam negara seperti: Universiti Malaysia Sarawak (1996/1997); Ikram College (Kuala Lumpur Infrastructure University [1997]); Universiti Kebangsaan Malaysia (2010); University of Nottingham, Malaysia Campus (2012); dan Asia E-University, Kuala Lumpur (2013-2017).

Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu ditubuhkan dengan matlamat untuk memperkasakan wanita Dayak khasnya dan wanita Sarawak amnya melalui pelbagai aktiviti ilmiah dan berorientasikan tindakan, seperti: melakar sejarah dan asal usul Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS); menanda aras pembangunan wanita Dayak sebagai pelan melangkah ke hadapan dan menganjur kursus dan latihan berdasarkan keperluan ahli SIDS.

UPM berharap melalui kolaborasi ini, UPM dan SIDS akan berkerjasama bagi merintis kearah pembangunan SIDS dan wanita Dayak. - UPM

Tarikh Input: 04/11/2019 | Kemaskini: 05/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1601111589