UPM Dan AADK Bekerjasama Dalam Program Rawatan Dan Pemulihan Dadah Menggunakan Pendekatan Bimbingan Kepimpinan Kendiri (SLC) | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » UPM dan AADK Bekerjasama Dalam Program Rawatan dan Pemulihan Dadah Menggunakan Pendekatan Bimbingan Kepimpinan Kendiri (SLC)

UPM dan AADK Bekerjasama Dalam Program Rawatan dan Pemulihan Dadah Menggunakan Pendekatan Bimbingan Kepimpinan Kendiri (SLC)

Oleh: Zamre Yaacob
          Pejabat TD(PS&JINM)


Shah Alam, 9 April 2021
– Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Universiti Putra Malaysia telah menandatangani surat hasrat kerjasama berkaitan program rawatan dan pemulihan dadah. Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Professor Dato’ Dr. Zulkifli Idrus dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato' Nor Azmie Bin Diron, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

AADK telah memilih Negeri Selangor sebagai negeri rintis bagi pelaksanaan secara menyeluruh program rawatan psikososial menggunakan Modul Bimbingan Kepimpinan Kendiri (SLC) dan sistem pendigitalan pengurusan klien menggunakan aplikasi i-Pulih. SLC adalah singkatan kepada Self-Leadership Coaching. Modul ini merupakan inovasi sosial oleh pensyarah psikologi di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Hanina H. Hamsan.

Pengarah AADK Selangor, Dr. Nazira Sadiron selaku tuan rumah majlis ini menyatakan bahawa kerjasama ini selari dengan matlamat ketiga dalam Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals - SDG) iaitu menguatkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan bahan, termasuk penyalahgunaan dadah narkotik dan penggunaan alkohol yang berbahaya demi mencapai masyarakat yang sihat dan sejahtera. Penglibatan universiti sangat penting dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah ini kerana universiti sangat kaya dengan sumber ilmu dan penyelidikan, manakala AADK merupakan agensi yang melaksana rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan secara praktikal.  Gabungan antara universiti - agensi mampu menghasilkan impak yang sangat bermakna dalam komuniti.

Menurut Dr. Hanina, idea pembangunan modul SLC tercetus selepas program di CCRC Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 2017. Seterusnya pada tahun 2018-2019, kumpulan rintis dilaksanakan di Negeri Sembilan dengan kadar kejayaan kekal pulih dari penagihan sebanyak 82.4% (14/17 klien). Hasil kejayaan tersebut, Modul SLC telah dipilih sebagai salah satu program rawatan psikososial di peringkat ibu pejabat AADK dengan pelaksanaan di kawasan rintis Petaling Jaya Selatan Zon 1-6, melibatkan 82 klien pada tahun 2020.

Sebagai langkah ke hadapan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM dan AADK akan turut bekerjasama dalam membangunkan sistem pengurusan klien secara digital menggunakan aplikasi i-Pulih. Sistem tersebut merupakan kombinasi modul rawatan psikososial SLC dan modul-modul rawatan lain seperti kaunseling, 12 langkah, kepulihan awal, pencegahan penagihan semula, dan kelompok sokongan sosial.

Pendekatan baharu ini dirancang untuk pelaksanaan yang lebih menyeluruh mengambil kira situasi pendekatan norma baharu fasa pandemik COVID-19. Ini dibuktikan dengan pelaksanaan Modul SLC sepanjang tempoh pandemik (pelaksanaan bermula Julai 2020) di Petaling Jaya, Selangor.  Klien yang terlibat dapat mengikuti program rawatan psikososial dan aktiviti yang disusun menerusi buku aktiviti dengan baik. Sepanjang PKP juga, klien dapat mengikuti sesi rawatan secara atas talian dengan lebih sistematik dan berkesan kerana mempunyai buku kerja yang tersusun dan klien juga boleh melakukan pembelajaran kendiri di rumah masing-masing. Kelainan modul ini, ia bukan sahaja membantu kepulihan, ia lebih kepada membantu klien mencungkil potensi diri, merancang dan membina kejayaan diri.

 




 



     







 








 

 

 

Tarikh Input: 10/04/2021 | Kemaskini: 12/04/2021 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXETSAY~