UPM Anjur Program Adik Bijak Cerdik Duit Inisiatif Lahirkan Komuniti Bijak Wang | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » UPM anjur Program Adik Bijak Cerdik Duit inisiatif lahirkan komuniti bijak wang

UPM anjur Program Adik Bijak Cerdik Duit inisiatif lahirkan komuniti bijak wang


SERDANG, 7 Dis – Buat  julung kalinya, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia  (UPM) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang di sini menganjurkan “Program Adik Bijak Cerdik Duit’ sebagai inisiatif melahirkan komuniti bijak wang.

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata idea untuk menganjurkan program komuniti bijak wang itu terhasil berikutan dapatan kajian yang dilakukannya pada tahun 2014 mendapati amalan menyimpan dalam kalangan pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 masih rendah.

“Majoriti pelajar tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak, dan telah wujudnya budaya berhutang di kalangan pelajar sekolah. Malah majoriti pelajar menyatakan bahawa ibu bapa tidak melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai hal-hal kewangan keluarga,” katanya.

Katanya, peningkatan statistik golongan belia yang diisytiharkan muflis antara pencetus idea beliau untuk menjalankan program pemindahan ilmu pendidikan dan pengurusan kewangan kepada komuniti terutama golongan kanak-kanak.

“Dengan program ini saya berharap pelajar sekolah akan memperoleh ilmu menguasai bidang pengurusan kewangan, dan mahir dalam bidang kewangan serta keusahawanan,” katanya.

 

Beliau berkata untuk melihat keberkesanan program itu, peserta dinilai daripada segi pengetahuan, sikap, tingkah laku serta kemahiran dalam aspek pengurusan kewangan peribadi, kepenggunaan, keusahawanan dan penggunaan lestari menerusi ujian pra dan pasca (pre & post evaluation).

“Peserta juga dinilai menerusi kuiz ringkas (short-quizzes) yang dijalankan pada setiap minggu serta dinilai menerusi beberapa aktiviti berterusan iaitu simpanan dan diari wang saku.

“Beberapa siri perbincangan berfokus (Focus Group Discussion) melibatkan fasilitator, peserta dan ibu bapa akan diadakan sebagai salah satu kaedah penilaian keberkesanan program,” katanya.

Program Adik Bijak Cerdik Duit  berlangsung selama empat bulan bermula November 2016 sehingga Februari 2017 dan dilaksanakan pada setiap Sabtu selama dua jam untuk tempoh 16 minggu. Ia dikendalikan jurulatih yang terdiri daripada pegawai akademik dan pegawai pelaksana dari UPM dengan dibantu fasilitator yang terdiri pelajar UPM yang terlatih.

Modul program dibangunkan sendiri oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada urus setia program membabitkan 10 unit asas dalam modul iaitu wang dan sejarah, keperluan vs. kehendak, matlamat kewangan, simpanan dan pelaburan, institusi kewangan di Malaysia, bajet dan belanja, kepenggunaan, pengurusan kredit dan hutang, keusahawanan dan penggunaan lestari.

Pelaksanaan program menggunakan pendekatan secara bersemuka, kelas mingguan, latihan dalam dan luar kelas, lawatan sambil belajar, kem intensif dan khidmat nasihat serta bimbingan yang berterusan. Penggunaan bahan bantu pembelajaran dan pengajaran berkaitan pendidikan kewangan yang dikenali sebagai “Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit” yang merupakan hasil inovasi oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri dan Nurhayatul Nira Ramli digunakan sepanjang tempoh pelaksanaan program. Kit pendidikan kewangan ini telah memenangi 14 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada masa kini seramai 33 orang pelajar berumur di antara 9 hingga 12 tahun yang merupakan ahli KRT Taman Sri Serdang telah mendaftar sebagai peserta. Program pengukuhan buat ibu bapa juga akan diadakan sekali pada setiap bulan.

Program tersebut mendapat pembiayaan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi geran pemindahan ilmu (Knowledge Transfer Program) bertujuan memindahkan ilmu pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran yang ada di universiti khususnya dalam bidang pendidikan kewangan kepada pihak komuniti dan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak dalam kalangan Komuniti Taman Sri Serdang.

Sementara itu, majlis pelancaran dan perasmian program  disempurnakan oleh Dekan FEM UPM, Prof. Dr. Laily Haji Paim disaksikan oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, Prof. Madya Dr. Azlizam Aziz dan Timbalan Pengarah UCTC,  Prof. Madya Dr. Uma Rani Sinnah serta Pengerusi KRT, Saheh Said.- UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDcSAA~