UPM - AADK Anjur Program Kampus Bebas Dadah | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » UPM - AADK anjur program Kampus Bebas Dadah

UPM - AADK anjur program Kampus Bebas Dadah

Oleh: Siti Nur Amanina Nazri

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 9 Dis – Unit Integriti, Pejabat Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menganjurkan Program Kampus Bebas Dadah bertujuan memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pelajar dan warga institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai gaya hidup sihat tanpa dadah.

Program itu merupakan salah satu pengisian program sempena sambutan Bulan Integriti di UPM pada November setiap tahun.

Pengarah AADK Selangor, Dr. Nazira Sadiron berkata AADK melaksanakan program itu demi menyokong usaha pendidikan dan pencegahan dadah terutamanya di kalangan belia.

“Pihak kami berhasrat untuk menggerakkan pelajar dan staf UPM sebagai ahli skuad AADK Selangor yang proaktif,” katanya.

Pengerusi program merangkap pensyarah kursus FEM 3303 (Perancangan & Penilaian Program), FEM, UPM, Prof. Madya Dr. Hanina H. Hamsan berkata matlamat utama program itu adalah untuk menguatkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan bahan, termasuk penyalahgunaan dadah narkotik dan penggunaan alkohol yang berbahaya.

Katanya, ia demi mencapai masyarakat yang sihat dan sejahtera selari dengan matlamat ketiga dalam Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals – SDG).

“Usaha pencegahan dadah ini bukan hanya terletak kepada AADK semata-mata, malah pihak universiti turut bertanggunggjawab membantu membanteras penggunaan dadah bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Program itu turut menyediakan sesi perkongsian Modul Self-Leadership Coaching (SLC) oleh Prof. Madya Dr. Hanina sendiri selaku pengasas modul tersebut dan sesi perkongsian terapi intervensi, forum bersama Dr. Nazira Sadiron.

Program itu turut melibatkan Seksyen Latihan, Pejabat Pendaftar dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM sebagai rakan strategi. – UPM

 

Tarikh Input: 07/01/2020 | Kemaskini: 07/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1601115081