Sekalung Tahniah Kepada PM Dr. Fazli Sabri Dan Pn Nurhayatul Nira Ramli | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Sekalung Tahniah kepada PM Dr. Fazli Sabri dan Pn Nurhayatul Nira Ramli

Sekalung Tahniah kepada PM Dr. Fazli Sabri dan Pn Nurhayatul Nira Ramli


UPM menang anugerah emas kategori hak cipta Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 

KUALA LUMPUR, 10 Sept - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi anugerah emas bagi kategori Hak Cipta pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara, sempena Hari Harta Intelek Negara 2015.

Ia adalah anugerah emas pertama yang dimenangi UPM bagi kategori berkenaan pada Anugerah Harta Intelek Negara yang mula diperkenalkan pada 2006.


Kumpulan yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Prof. Madya Dr Mohamad Fazli Sabri; pegawai perkhidmatan guru, Nurhayatul Nira Ramli dan Rozita Wahab menghasilkan rekacipta 'Profesor Bijak Wang' iaitu inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemah.



Mereka menerima piala, wang tunai RM10,000, medal dan sijil yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Hamzah Zainuddin.

Dua penyertaan UPM juga tersenarai dalam finalis iaitu kategori organisasi,dan kategori paten pada majlis anugerah berkenaan.

‘Profesor Bijak Wang’ adalah satu daripada item dalam Kit Bijak Wang yang mengandungi 10 permainan interaktif yang menyeronokkan. Aktiviti permainan disusun secara berperingkat dari tahap mudah ke sukar supaya kanak-kanak dapat menguasai topik dengan baik mengikut kemampuan dan kemahiran.

‘Profesor Bijak Wang’ adalah kit pendidikan kewangan yang pertama di Malaysia, digarap hasil daripada penyelidikan UPM sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.

Dr Mohamad Fazli melahirkan rasa syukur atas anugerah berprestij itu, lebih-lebih lagi menurutnya itu adalah detik sejarah kerana kemenangan anugerah emas pertama UPM bagi kategori Hak Cipta.

Katanya, ‘Profesor Bijak Wang’ adalah permainan board game yang merupakan produk keluaran tempatan berkaitan penyelidikan kewangan, yang boleh dimanfaatkan terutama dalam era kini ketika terdapat laporan ramai orang berdepan masalah muflis.

“Ini adalah langkah pro aktif mendidik anak-anak berkaitan pengurusan kewangan, ia boleh mengajar cara menyimpan atau menabung seterusnya menjadikannya sebagai budaya dan tabiat dari peringkat awal usia,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila serta Pengarah Putra Science Park, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan.yang memberi sokongan serta timbalannya

Dr. Zahira Mohd. Ishan (Bahagian Perlindungan Harta Intelek dan Pemindahan Teknologi) dan Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja`afar (Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi) yang mencalonkan penciptaan itu untuk majlis anugerah berkenaan.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi pula berkata UPM sangat berbangga dengan kejayaan anugerah emas itu, yang pertama kali diraih bagi kategori Hak Cipta.

Katanya, ia adalah usaha penyelidikan bersama Putra Science Park melalui program Innohub yang sudah dua tahun dijalankan, yang mula menunjukkan hasil.

“Setakat ini beberapa organisasi besar berminat dengan kit ini dan kita sedang berunding berhubung penggunaan kaedah ini oleh organisasi berkenaan,” katanya.  - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEUIAX~