Sahabat Masjid Bantu Asnaf Ketika PKP Covid-19 | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Sahabat Masjid bantu asnaf ketika PKP Covid-19

Sahabat Masjid bantu asnaf ketika PKP Covid-19

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Sahabat Masjid

 

SERDANG, 15 Jun:  Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan program Ziarah Ihsan dan Sumbangan Ramadan di beberapa lokasi termasuk di Sungai Siput, (Perak); Bangi, (Selangor) dan Pandan Jaya (Kuala Lumpur), baru-baru ini.

Pengerusi Sahabat Masjid UPM, Bukryman Sabri berkata Program Ziarah Ihsan Ramadan ke kawasan penempatan Orang Asli di Pos Poi, Sungai Siput diadakan pada 17 Mei bagi menyampaikan barangan keperluan asas kepada 239 keluarga miskin dan asnaf masyarakat Orang Asli di tujuh buah kampung di situ.

Katanya, barangan keperluan asas itu berupa makanan termasuk beras, susu, gula dan tepung, yang setiap keluarga masing-masing menerima barangan bernilai kira-kira RM100.

Sumbangan disampaikan kepada dua orang Tok Batin di situ, Eley Busu dan Ali Din.

Bukryman berkata, sumbangan bertujuan meringankan beban keluarga terbabit menjelang Hari Raya, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas kerana sukar melakukan kerja harian ekoran pergerakan yang terbatas.

Sementara itu, pada 19 Mei, Sahabat Masjid UPM menyampaikan barangan keperluan asas kepada lapan keluarga golongan B40 di Flat Kos Rendah Seksyen 1, Bandar Baru Bangi.

Mereka terdiri daripada ibu tunggal, ketua keluarga yang hilang pekerjaan dan pendapatan tetap, serta keluarga yang mempunyai ramai ahli, yang terkesan dengan PKP.

Sahabat Masjid UPM juga menghulurkan sumbangan Bantuan Ramadan berupa barangan keperluan asas kepada 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya, dari keluarga miskin dan asnaf pada 19 Mei.

Bukryman berkata sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban keluarga terbabit dan menceriakan mereka menyambut Hari Raya.

Sahabat Masjid UPM turut memberikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada 40 petugas barisan hadapan menangani Covid-19, yang merupakan staf perubatan di Wad Pediatrik Hospital Serdang, pada 20 Mei. Wad Pediatrik Hospital Serdang adalah wad angkat Sahabat Masjid UPM.

Sahabat Masjid UPM juga menyampaikan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) kepada keluarga asnaf di beberapa kawasan di Bandar Baru Bangi dan Serdang. - UPM

Tarikh Input: 22/06/2020 | Kemaskini: 22/06/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDcSAY~