Prof Dr Jayum A Jawan Dilantik Penyandang Kursi Tun Abdul Razak, Ohio University | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Prof Dr Jayum A Jawan dilantik penyandang Kursi Tun Abdul Razak, Ohio University

Prof Dr Jayum A Jawan dilantik penyandang Kursi Tun Abdul Razak, Ohio University


SERDANG, 8 April (UPM)
 --  Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Anak Jawan dilantik sebagai penyandang Kursi Tun Abdul Razak ke-15, Ohio University, Amerika Syarikat bagi tempoh dua tahun mulai 1 Julai depan.

Pelantikan itu dimaklumkan melalui surat Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Prof Dr Jayum, 56, yang juga Timbalan Ketua, Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara mula berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan UPM pada 1982.

Beliau yang berasal dari Sibu, Sarawak pernah diundang sebagai Profesor Pelawat sebanyak dua kali di Hull University pada 2004 serta 2005, dan bekerjasama dengan Profesor Victor King mengkaji pilihan raya negeri Sarawak 2001 dengan menghasilkan buku Ethnicity and Electoral Politics in Sarawak East Malaysia.

Beliau juga pernah diundang sebagai Profesor Pelawat di Leeds University pada 2011.

Prof Dr Jayum menghargai pelantikannya sebagai  penyandang Kursi Tun Abdul Razak itu dengan menyifatkannya sebagai satu daripada penghormatan tertinggi untuk pegawai akademik.

“Saya akan  bekerja kuat sebab saya membawa nama UPM dan Malaysia… saya perlu melakukan yang terbaik,” katanya.

Sebagai penyandang kursi, katanya, beliau akan mengajar sains politik dan sejarah pentadbiran kerajaan Malaysia kepada pelajar-pelajar Amerika Syarikat di Ohio University serta peranan Malaysia dalam politik serantau dan antarabangsa.

Katanya, beliau juga akan menjalankan penyelidikan mengenai status hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat serta perkembangan hubungan itu, dan mencari ruang bagi terus meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Pada tahun kedua pula, katanya, beliau diminta merancang mengadakan seminar antarabangsa mengenai masyarakat, budaya, dan politik Malaysia. - UPM




Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdEAv~