KEPERTAMA Sokong Cadangan Wujudkan Dua Kementerian Untuk Sekolah Dan IPT | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » KEPERTAMA sokong cadangan wujudkan dua kementerian untuk sekolah dan IPT

KEPERTAMA sokong cadangan wujudkan dua kementerian untuk sekolah dan IPT

 Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 15 Jan: Cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi akan membolehkan penumpuan dan fokus dapat diberikan masing-masing kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA), Mohd Razali Singah berkata, ketika ini beban dan tanggungjawab seorang Menteri Pendidikan adalah terlalu besar kerana sekolah dan instituti pengajian tinggi diletakkan di bawah satu kementerian yang sama.

Sehubungan itu katanya, (KEPERTAMA) bersetuju dengan cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan kepada dua, dengan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi sebagaimana suatu ketika dahulu.

“Dengan itu, menteri akan dapat memberi fokus hala tuju kementerian masing-masing. Saya yakin Menteri Pengajian Tinggi akan lebih fokus dalam memacu universiti awam yang lebih hebat dan gemilang di mata dunia,” katanya pada sidang media di sini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Januari lalu dilaporkan berkata, beliau akan mengambil kira pandangan kemungkinan memecahkan Kementerian Pendidikan dengan mewujudkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.

Mohd Razali berkata, sejak kedua-dua kementerian itu disatukan, institusi pengajian tinggi tidak menerima fokus dan tertinggal kerana penumpuan lebih diberikan kepada sekolah. 

“Kementerian ini terlalu besar… sudah tiba masanya untuk kerajaan memecahkannya dan mewujudkan kembali kementerian yang berasingan untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 31/01/2020 | Kemaskini: 31/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1601109707