Pengguna Dan Halangan Untuk Melaksanakan Penggunaan Tingkahlaku Lestari | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Pengguna Dan Halangan Untuk Melaksanakan Penggunaan Tingkahlaku Lestari

Pengguna Dan Halangan Untuk Melaksanakan Penggunaan Tingkahlaku Lestari

Oleh: Profesor Dr. Ahmad Hariza Hashim

Tingkahlaku pengguna adalah satu faktor yang penting bila membincangkan peranan masyarakat dan kesannya ke atas persekitaran. Tindakan yang diambil oleh manusia dan pilihan yang mereka buat samada untuk menggunakan produk atau perkhidmatan tertentu atau yang lain serta cara hidup yang mereka pilih kesemuanya mempunyai kesan secara langsung atau tidak langsung kepada persekitaran dan juga kepada kesejahteraan hidup individu atau masyarakat. Ini disebabkan penggunaan dilihat sebagai memainkan pelbagai peranan dalam memenuhi keperluan manusia, termasuklah fungsi asasnya untuk memenuhi keperluaan asas seperti makanan, perumahan, rekreasi, kesengangan dan lain-lain keperluan lagi. Penggunaan juga dibabitkan dengan proses pembentukan identiti, perbezaan dan pengenalpastian kelas sosial serta pemuasan kehendak atau nafsu pengguna (Jackson, 2005). Walaubagaimanapun satu lagi aspek penting tentang penggunaan ialah bila pengguna banyak melakukan penggunaan yang tidak lestari yang mungkin timbul akibat keinginan untuk memenuhi kehendak yang sentiasa tidak pernah puas. Kadang-kadang tingkahlaku ini juga timbul akibat daripada kebiasaan, tabiat, rutin, norma sosial dan tuntutan nilai budaya. Banyak berlaku sekarang ini ialah peningkatan yang mendadak dalam penggunaan sumber asli terutama dalam usaha pihak pengeluar mengeluarkan lebih banyak produk untuk memenuhi permintaan penggunaan telah mengancam dan merosakkan ekosistem dunia (Burgess, 2003). Budaya kepenggunaan ini telah melahirkan ramai manusia yang merasakan bahawa bumi ini diciptakan untuk diterokai dan sumber yang ada mesti digunakan untuk kemaslahatan mereka. Menurut Jackson (2006), masyarakat moden terutama di Barat adalah satu masyarakat yang tidak lestari. Mereka sangat bergantung kepada sumber asli dan penggunaan mereka banyak memberi kesan buruk kepada pesekitaran. Suasana ini bukan sahaja berlaku di Barat malahan banyak negara sedang membangun yang masyarakatnya juga bertindak sedemikian terutama bila mereka mula mengamalkan budaya kepenggunaan dalam kehidupan mereka. Kesanya keadaan pesekitaran yang makin tercemar dan ini menimbulkan keperluan untuk bertindak dengan penggunaan lestari.


Apakah dia penggunaan lestari? Istilah penggunaan lestari ini boleh dikaitkan dengan Agenda 21, iaitu satu dokumen polisi yang muncul hasil daripada persidangan Bumi di Rio de Janeiro di Brazil dalam tahun 1992. Pada masa ini isu yang menjadi tumpuan ialah kerosakan dunia yang semakin teruk akibat daripada penggunaan dan pembangunan yang tidak lestari. Justru itu antara keputusan yang diambil dalam Agenda 21 (1992, 4.3-4.13) ialah meminta agar satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk mempromosikan corak penggunaan dan pembangunan yang kurang memberi tekanan kepada persekitaran dan masih dapat memenuhi keperluan asas manusia. Disamping itu membentuk satu persefahaman tentang peranan penggunaan dan bagaimana untuk menghidupkan corak penggunaan yang lestari dalam kalangan penduduk di negara masing-masing. Manakala dalam persidangan dunia tentang pembangunan lestari di Johannesburg dalam tahun 2002 telah mengenalpasti mengubah tingkahlaku penggunaan dan pembangunan sebagai salah satu daripada tiga objektif yang mendesak untuk pembangunan lestari (UN, 2002). Dalam persidangan ini negara perlu mengemukakan rancangan 10 tahun untuk program-program yang boleh mempercepatkan pencapaian penggunaan dan pembangunan lestari. Oleh itu banyak progrma telah dilaksanakan dan walaupun secara umumnya boleh dikatakan pada masa ini kesedaran telah mula menular dalam kalangan pengguna, malahan jika dilihat akan perkembangan semasa, didapati seseorang itu akan dikatakan sebagai tidak mengikut tren semasa jika dilihat sebagai tidak menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar (Gifford, 2007). Persoalan yang kritikal yang perlu dijawab ialah adakah kesedaran selalunya disusuli dengan satu tindakan yang tegas dan bersepadu dalam kalangan pengguna bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar? Atau kesedaran atau keprihatinan persekitaran yang ada ini sudah menjadi satu norma dalam masyarakat dan mereka perlu dilihat seakan-akan mempunyai sikap yang baik terhadap persekitaran agar tidak dianggap sebagai ketinggalan zaman (Takacs-Santa, 2007).


Malahan banyak pemerintah di dunia berhadapan dengan satu paradok, dimana majoriti penduduknya mengakui bahawa mereka sangat prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, walaubagimana masih ramai yang belum atau tidak bersedia untuk mengubah cara hidup yang mereka lalui sekarang ini yang berkemungkiinan masih tidak lestari dari segi penggunaannya (Burgess, 2003). Ada beberapa sebab, mengapa ini berlaku, antaranya ialah:

i) Produk lestari kebiasaanya mahal jika dibandingkan dengan produk yang tidak lestari yang ada di pasaran disebabkan oleh pasarannya yang kecil

ii) Untuk mendapatkan produk yang lestari memerlukan pengguna untuk melakukan usaha yang lebih jika dibandingkan dengan usaha untuk mendapatkan produk yang sama yang berkemungkinan tidak lestari. Antara usaha yang perlu mereka lakukan ialah perlu mencari dan membaca label, lokasi kedai yang menjual barangan yang tidak berhampiran dengan kediaman, serta tidak banyak pilihan. Pengguna juga tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membantu mereka mendapatkan produk lestari ini dengan mudah.

iii) Imej produk dan perkhidmatan lestari yang tidak menggalakkan. Ramai pengguna merasakan penggunaan lestari lebih banyak merujuk kepada masalah, had penggunaan, berjimat-jimat dalam penggunaan dan kadang-kadang ini berlawanan dengan persepsi mereka tentang konsep kesejahteraan hidup.

iv) Maklumat tentang produk lestari juga kadang-kadang tidak memenuhi kehendak dan tren semasa pengguna (Resourcecities, 2003).

Gifford (2009) telah mengemukakan 13 bentuk halangan yang perlu terlebih dahulu diatasi sebelum tingkah laku pengguna lestari dapat dibentuk. Halangan yang pertama ialah Kekebasan Persekitaran di mana terdapat pengguna yang memang jahil dan tidak sedar bahawa perbuatan mereka memberi kesan kepada alam sekitar. Termasuk juga dalam kategori ini pengguna yang tahu serta mempunyai maklumat tentang kesan tingkah laku mereka ke atas persekitaran mempunyai sikap tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Halangan yang kedua ialah Ketidaktentuan Maklumat. Maklumat yang dikemukakan berkaitan dengan permasalahan persekitaran tidak tepat, tidak jelas dan mengelirukan. Ini boleh menyebabkan pengguna tidak berani mengambil tindakan kerana takut kesannya mungkin tidak seberapa atau kemungkinan menambah buruk lagi keadaan. Halangan yang ketiga ialah individu atau masyarakat merasakan permasalahan yang berlaku adalah di luar bidang kawalan dan memilih untuk membiarkan ianya terus berlaku tanpa mengambil apa-apa tindakan. Halangan yang keempat ialah terdapat pengguna yang mengamalkan Sindrom Penafian, menafikan yang mereka terlibat sama malah menuduh orang atau organisasi lain. Halangan yang kelima ialah hasrat untuk menjadi maju dan mengejar pembangunan adalah lebih diutamakan dan permasalahan persekitaran ini hanyalah permasalahan yang kecil. Halangan yang keenam ialah norma sosial, kesamarataan dan keadilan yang merujuk kepada ketidak sama rataan dalam kalangan pengguna yang terdiri daripada pelbagai pihak dan latar belakang. Halangan yang keenam ialah ketidakpercayaan antara satu sama lain, saling tuduh menuduh antara sama lain dan pengguna sering rasa dipersalahkan dalam hal yang berkaitan dengan penjagaan alam sekitar. Halangan yang kelapan ialah mempunyai sikap bahawa ia tidak berlaku di tempat saya dan kalau berlaku pun ia jauh dari kawasan saya. Halangan yang kesembilan ialah Tokenisma yakni pengguna merasakan mereka sudah melakukan sesuatu dan itu sudah memadai. Halangan yang kesepuluh ialah Tabiat, sudah biasa melakukan tingkah laku yang tidak lestari dan merasakan sukar untuk berubah. Halangan yang kesebelas ialah risiko yang dijangkakan sama ada dari segi psikososial, kewangan, fungsi, fizikal dan masa. Contohnya, sekiranya risikonya memberi kesan kepada kewangan barulah tindakan akan diambil. Halangan yang kedua belas ialah mempunyai sikap menyerahkan kepada ketentuan tuhan, dan menyalahkan takdir, dan halangan yang terakhir, yang ketiga belas ialah tidak optimis dengan keberkesanan tindakan yang diambil.


Resourcities (2003) juga memberi sebab mengapa pengguna tidak mampu menempuh halangan ini, antaranya ialah perkara utama dalam kebanyakan kehidupan pengguna waktu ini ialah aspek kesihatan, kebebasan memilih, keselamatan, kemewahan dan keselesaan dan kemudian barulah diikuti dengan isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar. Oleh itu kebanyakkan pengguna tidak menghayati kelestarian ini dalam kotak pemikiran mereka. Pengguna juga ketiadaan perspektif yang praktikal yang boleh mereka perhatikan dan jadikan contoh. Pengguna memerlukan panduan yang jelas, mereka juga memerlukan kepimpinan daripada pihak pemerintah, industri, media serta NGO untuk membantu mereka dalam mencerahkan lagi konsep penggunaan lestari ini dalam kehidupan mereka. Ini disebabkan usaha untuk mengubah satu tingkahlaku yang tidak lestari tetapi sudah sebati dengan kehidupan mereka memerlukan satu usaha yang gigih dan usaha yang gigih ini memerlukan panduan serta pengukuhan dari pihak yang berkuasa. Kalau diteliti secara mendalam sebab-sebab yang diberikan ini boleh disimpulkan kepada tiga faktor besar iaitu perbandingan sosial, menafikan permasalahan dari berlaku dan mempunyai kepentingan lain yang lebih utama. Ketiga-tiga faktor utama ini perlu diatasi dan strategi yang telah banyak digunakan ialah melalui pendidikan sama ada formal atau latihan, ‘prompt’ melalui peringatan seperti iklan, flier, serta penyediaan kemudahan yang boleh membantu dan memudahkan pengguna sebagai contohnya penyediaan tempat pembuangan sampah yang banyak di kawasan perkelahan, pemberian hadiah atau ganjaran, mendapatkan penglibatan awam dan maklum balas daripada aktiviti yang dilakukan dan juga melalui kaedah pengukuhan.


Penulis

Profesor Dr. Ahmad Hariza Hashim
Dekan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Presiden, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA)
2018/2020

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 22/07/2019 | Kemaskini: 22/07/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdEAk~