Memaknakan 64 Tahun Merdeka Melalui Penghayatan Rukun Negara | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Memaknakan 64 Tahun Merdeka Melalui Penghayatan Rukun Negara

Memaknakan 64 Tahun Merdeka Melalui Penghayatan Rukun Negara


Oleh:  Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak

 

SABAN tahun, tanggal 31 Ogos membawa kita untuk kembali mengingatkan akan detik bersejarah Malaysia mencapai kemerdekaan setelah hampir 426 tahun dijajah oleh kuasa besar Eropah termasuk Jepun. Kini sudah 64 tahun kita sebagai rakyat mengecapi nikmat kemerdekaan. 

Namun, persoalan yang seharusnya kita tanya kepada diri kita sebagai warganegara, apakah makna dan nilai 64 tahun kemerdekaan ini? Persoalan ini cukup penting agar dengan jawapan yang kita ada dapat membantu memberi makna  untuk rakyat memahami dan menzahirkan makna dan nilai kemerdekaan dalam usaha membina sebuah kehidupan  penuh kesejahteraan.  

Penyingkap cara kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita dari bangku sekolah sering ditonjolkan tentang kehebatan para pemimpin dalam berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan sehinggakan tiada titisan darah tumpah untuk mencapai tujuan tersebut. Kemerdekaan dicapai secara rundingan antara tiga kaum  diwakili Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan.  

Inilah hasil perjuangan yang dikuatkan lagi dengan sifat toleransi, tolak ansur yang sangat tinggi oleh bangsa Melayu yang akhirnya membuahkan sebuah pengorbanan bukan sedikit, khususnya kepada orang Melayu, iaitu sebuah perkongsian. Meskipun terlepas daripada belenggu penjajah, namun Tanah Melayu tetap tidak menjadi milik mutlak orang Melayu tetapi juga menjadi milik yang sah bagi bangsa Cina dan India yang asalnya dijemput datang sebagai pekerja untuk sektor perladangan dan perlombongan. 

Kehidupan yang pelbagai dari segi cara hidup bermula dengan cara berfikir, pastinya merupakan satu cabaran besar untuk Malaysia. Usaha memastikan keharmonian dan kesejahteraan dalam kepelbagaian sering menjadi agenda utama kerajaan kerana ternyata ia bukan satu perkara  mudah dan pastinya tiada negara mempunyai sejarah pembentukan negara bangsa seperti ini. 

Salah satu usaha yang dikira sangat penting untuk rakyat pada hari ini ialah dengan kembali menghayati dan menterjemahkan Rukun Negara ke dalam kehidupan seharian, sebagaimana ditekankan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua pada saat beliau mengetuai Majlis Perundingan Nasioanl (NCC), iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab  menggubal Rukun Negara. Beliau menegaskan bahawa rahsia kejayaan Rukun Negara ialah pada keupayaan rakyat menerjemahkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh jujur dan ikhlas.  

Rukun Negara diperkenalkan pada 1970 berikutan peristiwa 13 Mei 1969, sebuah titik hitam yang secara tidak langsung merupakan satu manifestasi kerapuhan perpaduan antara kaum. Perpaduan kaum merupakan aset utama negara dan menjadi prasyarat utama kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957. 

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan yang sangat harmoni. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kesejahteraan Malaysia secara keseluruhan. Bagaimanapun, hampir 64 tahun kemerdekaan, Rukun Negara masih dilihat gagal untuk menjadi wahana perpaduan membentuk negara bangsa yang penuh dengan nilai kemesraan. 

Dalam hal ini, kita perlu memahami keupayaan untuk menterjemahkannya dalam kehidupan setiap warganegara sememangnya perlu datang daripada kemahuan dan komitmen semua individu daripada semua kaum. Kefahaman jitu dan kesediaan untuk mengamalkan kelima-lima prinsip yang mendasari Rukun Negara adalah perkara asas yang diperlukan demi memastikan prinsip atau rukun tersebut berjaya diterjemahkan dalam kehidupan setiap individu. 

Seumpama kaki meja yang tugasnya menampung meja, begitu jugalah Rukun Negara yang berperanan memastikan kehidupan rakyat berada dalam keadaan aman dan sejahtera. Andainya mana-mana kaki pada meja tersebut bermasalah, maka keadaan secara keseluruhan juga terancam. 

Dengan kata mudah, lemah atau kuat, aman atau damai kehidupan dalam aspek perpaduan, semuanya bergantung kepada keupayaan mengamalkan setiap prinsip yang ada padanya dengan penuh kesungguhan dan kejujuran. Kegagalan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian menjadikan Rukun Negara hanya tinggal sekadar dokumen ideologi kebangsaan dan rakyat seumpama mereka yang kehilangan roh patriotiknya. 

Rukun Negara bukan sekadar perlu untuk diketahui tetapi lebih daripada itu, perlu untuk diperah keluar nilai yang ada di dalamnya dan dicernakan nilai tersebut dalam kehidupan seharian. Agama melalui prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan  menjadi asas utama dalam kehidupan rakya. Inilah pasak utama yang seharusnya menjadi teras dalam kehidupan rakyat yang hampir kesemuanya memiliki agama. 

Agama mampu memberi panduan bagaimana untuk menjadi seorang warganegara yang baik. Melalui roh beragama, aspek spiritual seseorang berjaya dihidupkan. Tidak kira apa agama dianuti, yang pasti ajaran yang terdapat dalam agama tersebut menjurus kepada melakukan kebaikan dan menjauhi apa jua keburukkan.

Dalam prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan ketiga, Keluhuran Perlembagaan, kelihatan seolah-olah prinsip ini sering kali dicabar. Sebagai contoh, Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia telah mula dipersoalkan sehingga membawa kepada peristiwa ratifikasi ICERD. 

Begitu juga Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahasa rasmi yang digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu, tidak boleh bahasa selain bahasa Melayu kerana perkara itu jelas termaktub. Namun, terdapat golongan yang telah mencabar perkara ini dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Sebagai contoh, bahasa Mandarin yang merupakan  bahasa vernakular untuk kaum Cina sahaja sebenarnya dan tidak boleh digunakan sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan.

Kedua-dua prinsip tersebut masih belum berjaya diterjemahkan dengan baiknya. Justeru, menjadi harapan yang besar kepada semua kaum, andainya keamanan, kesejahteraan dan kedamaian negara menjadi perkara utama yang diinginkan, maka mereka tiada pilihan melainkan mengamalkannya  dengan penuh kejujuran. Namun, andainya kemahuan dan kepentingan sendiri atau golongan tertentu yang menjadi keutamaan, di sinilah punca kepada masalah dalam perpaduan kaum di Malaysia.

Untuk prinsip keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang dan yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, kedua-dua prinsip ini dilihat masih lagi belum menjadi amalan rakyat. Andainya kita masih lagi berdepan dengan kes kemalangan jalan yang tidak pernah berkurangan, hal ini menunjukkan adab rakyat Malaysia sebagai pengguna jalan raya masih lagi perlu diperbaiki. Sesungguhnya kesopanan dan kesusilaan sesuatu bangsa itu perlu dizahirkan dalam seluruh aspek kehidupan sosial mereka andainya kesejahteraan, keamanan dan kedamaian menjadi idaman rakyat Malaysia. 

Kelima-lima prinsip dalam Rukun Negara perlu dipastikan berdirinya dengan tegak dan kukuh. Andainya runtuh satu tiang, maka tempanglah keadaan. Sama juga, andainya rukun yang lain berjaya diamalkan, namun ada rukun-rukun yang cuba dicabar, di sinilah bermula konflik yang sebenar. 

Justeru, rakyat tiada pilihan, melainkan  menghayati dan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan secara menyeluruh dengan penuh keikhlasan dan hati yang terbuka. Bermula dengan apa yang terkandung dalam ajaran agama yang dipegang, dikeluarkan segala nilai murni yang ada hinggalah kepada keindahan atau seni kehidupan melalui kesopanan dan kesusilaan, iaitu melalui akhlak atau etika yang dizahirkan, kesemua prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan acuan untuk mencorakkan kehidupan rakyat yang pelbagai kaum ini dalam keadaan yang penuh kesejahateraan dan keharmonian. 

Sumber: Utusan Malaysia

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, 
Fakulti Ekologi Manusia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 28/08/2021 | Kemaskini: 28/08/2021 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXETPAT~