Tips Membeli Rumah Pertama Anda | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Tips Membeli Rumah Pertama Anda

Tips Membeli Rumah Pertama Anda

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Memiliki rumah sendiri menjadi impian dan cita-cita semua individu. Malahan ada dalam kalangan pengguna yang masih lagi belum mampu memiliki rumah sendiri menjelang usia persaraan mereka dek kerana tidak mampu daripada segi kewangan. Suatu tika dahulu, harga rumah mencecah jutaan ringgit sukar dan jarang didengari, tetapi kini harga tersebut sudah menjadi fenomena biasa untuk kita lihat, dengar dan seakan-akan ianya harga yang mampu dimiliki oleh semua golongan terutama di sekitar Lembah Kelang. Harga rumah semakin melampau dan tidak munasabah bagaikan tiada kawalan dari segi harga daripada pihak berwajib. Sehingakan ada laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa “pengguna bayar hutang rumah sampai mati” dan “generasi muda tidak mampu memiliki rumah”. Menurut Laporan Pasaran Harta (2014), harga purata rumah di negara ini meningkat sebanyak RM30,000 daripada RM266,304 pada 2013 kepada RM295,345 sebuah pada akhir tahun 2014.

 

Memiliki rumah sendiri sudah pastinya menjadi idaman semua orang termasuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan serta kenaikan kos sara hidup menyebabkan ramai yang tidak mampu membeli rumah atau memiliki rumah sendiri. Pembelian rumah memerlukan komitmen kewangan yang sangat tinggi serta mengambil tempoh masa yang panjang untuk melangsaikan hutang atau pinjaman perumahan. Justeru, selain daripada persiapan daripada aspek kewangan, pembeli juga perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam aspek pembelian rumah terutama dalam kalangan yang pertama kali ingin membeli rumah. Di sini disenaraikan beberapa tips dan panduan yang dapat membantu pengguna atau pembeli untuk memenuhi cita-cita dan idaman mereka.

 

  1. Semak status kewangan terkini

    • Jarang sekali pembeli mampu membeli rumah secara tunai dan majoriti daripada pembeli pastinya akan membeli rumah melalui kaedah pinjaman perumahan. Anda dicadangkan untuk menyemak kembali kedudukan kewangan berdasarkan rekod kewangan yang ada atau perlu disediakan. Lihat senarai harta (aset) dan hutang (liabiliti) anda. Daripada sini akan mengetahui sejauhmana anda mampu untuk melakukan komitmen kewangan untuk pembelian rumah.

    • Seterusnya, pembeli perlu juga menyemak status kewangan mereka dengan CCRIS atau CTOS bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah untuk memohon pinjaman perumahan daripada institusi kewangan

 

  1. Kenalpasti lokasi yang sesuai dengan kemampuan kewangan

    • Kebanyakan kita memang mengimpikan untuk membeli rumah di kawasan atau lokasi yang strategik seperti berdekatan dengan tempat kerja, di kawasan bandar atau berhampiran dengan pusat membeli belah atau pasaraya. Realitinya, tidak ramai yang mampu untuk membeli rumah di kawasan tersebut. Pembeli mungkin perlu mencari lokasi rumah yang ingin dibeli sedikit jauh daripada kawasan yang diimpikan.

  1. Kenalpasti jenis rumah

    • Selain daripada lokasi, harga rumah juga bergantung kepada jenis rumah yang ingin dibeli. Mislanya, terdapat perbezaan yang ketara antara rumah teres satu tingkat dengan rumah teres dua tingkat dan sebagainya. Pembeli perlu jelas jenis rumah yang ingin dibeli kerana ianya ada kaitan dengan komitmen kewangan mereka pada masa hadapan.

 

  1. Dapatkan maklumat
  • Pembelian rumah menuntut komitmen kewangan pembeli untuk tempoh yang lama biasanya antara 20-30 tahun. Adalah penting bagi pembeli untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan dengan pembelian rumah contohnya mengenai:
    • Status tanah – hakmilik kekal, pajakan atau rezab Melayu
    • Syarikat Pemaju –rekod pemaju
    • Jenis dan harga rumah
    • Kos pembelian rumah termasuk bayaran pendahuluan rumah, bayaran guaman dan bayaran lain
    • Kelayakan pinjaman perumahan
    • Institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman perumahan (konvensional vs. Islamik)

  • Gunakan sepenuhnya kemudahan internet sebagai sumber maklumat anda

 

  1. Bincang dengan ahli keluarga dan rakan sekerja
  • Pembelian rumah adalah pembelian terbesar yang biasanya dilakukan oleh seseorang. Bagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai pasangan adalah dicadangkan agar mereka berbincang terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian. Bagi mereka yang bujang, ibu bapa merupakan sumber rujukan terbaik. Selain daripada itu, elok juga dibawa berbincang atau bertanyakan pendapat dalam kalangan rakan sekerja terutama mereka yang sudah mempunyai rumah sendiri. Pengalaman mereka dapat membantu anda untuk membuat keputusa yang terbaik.

 

Menurut Laporan Keadaan Isi Rumah yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah, berdasarkan amalan antarabangsa, purata harga rumah mampu milik harus berharga tiga kali ganda daripada pendapatan pertengahan (median) tahunan isi rumah. Sebagai pembeli yang bijak, pengguna harus membuat perkiraan bagi mengelak dari bebanan kewangan yang tinggi. Pastikan bayaran pinjaman (ansuran) tidak melebihi 40% pendapatan kasar bulanan.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

Date of Input: 27/02/2019 | Updated: 05/08/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1574465963