PROJEK JARINGAN KOMUNITI ‘REMAJA PERKASA’ SIRI KEDUA 2020 | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » PROJEK JARINGAN KOMUNITI ‘REMAJA PERKASA’ SIRI KEDUA 2020

PROJEK JARINGAN KOMUNITI ‘REMAJA PERKASA’ SIRI KEDUA 2020

 

Oleh: Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan
         Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, FEM


SERDANG, 23 Mac 2020 - Pada 12 Mac 2020, Program Remaja Perkasa dengan tema “Yakin Diri Cemerlang UPSR” telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bedong, Kedah. Program ini adalah siri kedua di bawah Projek Remaja Perkasa dan merupakan lanjutan daripada program siri pertama yang dilaksanakan pada November 2019. Program perkongsian ilmu yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan kesediaan mental pelajar-pelajar tahun 6 yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hujung tahun ini. Ini bagi merangsang para pelajar untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti kurikulum di sekolah sehingga menjelang UPSR. Program ini diketuai oleh Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama pihak pengurusan SK Bedong. Turut hadir menjayakan program adalah Dr. Abdul Razak Abdul Rahman yang juga dari Fakulti Ekologi Manusia, UPM.

Seramai 78 orang murid tahun enam terlibat dalam program Remaja Perkasa ini. Bertempat di Dewan Al-Marbawi SK Bedong, program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Encik Che Rosli Ibrahim, Guru Besar SK Bedong, dan Encik Cik Ani, Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Kemudian, satu taklimat ringkas disampaikan oleh Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan untuk memperkenalkan Program Remaja Perkasa Siri Kedua kepada guru dan murid. Program diteruskan dengan ceramah motivasi bertajuk “Yakin Diri Cemerlang UPSR” yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Cik Siti Shazwani Ahmad Suhaimi (Penceramah 1) iaitu merupakan bekas atlet negara dalam sukan “Tenpin Bowling” yang pernah meraih pingat di kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia, Boling Jelajah Dunia dan Sukan Komanwel, dan Cik Nur Shuhamin Nazuri (Penceramah 2), merupakan individu yang cemerlang di dalam bidang akademik sewaktu persekolahan sehingga ke hari ini. Kedua-duanya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di UPM. Berbekalkan pengalaman mereka di dalam bidang akademik mahupun sukan, mereka berkongsi tentang kriteria pelajar cemerlang, konsep berani kepada kegagalan, memupuk keyakinan diri untuk mempunyai matlamat dan menanam sifat “self-enhancement” atau dikenali sebagai peningkatan kendiri.

Dalam ceramah, mereka berdua berkongsi tentang pengalaman persekolahan yang telah mereka lalui sehingga membentuk jalan untuk mereka sampai ke menara gading. Penceramah 1 berkongsi juga tentang pengalaman beliau sepanjang penglibatan beliau dalam sukan yang diceburi. Beliau menceritakan tentang cabaran dan kepayahan yang ditempuhi semasa menjadi atlet sewaktu masih bergelar pelajar. Di samping itu, beliau juga berkongsi tips bagaimana untuk seimbangkan masa antara belajar dan bersukan. Beliau menegaskan tentang fokus pada matlamat akhir dan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat itu, tanpa mendengar kata-kata negatif sekeliling yang akan melemahkan semangat kita dalam mencapai cita-cita. Selanjutnya, penceramah memulakan program dengan aktiviti membina kumpulan di mana pelajar diminta untuk membina logo, slogan yang menepati konsep UPSR akan datang. Aktiviti ini dilakukan bertujuan untuk menanam sifat bekerjasama dalam kumpulan dan menimbulkan kreativiti setiap pelajar. Aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti “Numbering Game” di mana aktiviti ini bertujuan untuk menguji kepekaan pelajar apabila diberi arahan berbentuk gabungan nombor secara rawak dalam masa yang singkat. Pelbagai kerenah dan telatah, malah sikap kepimpinan pelajar juga dapat dilihat sewaktu aktiviti itu dijalankan. Aktiviti ketiga adalah “Ball Game”, dengan berkonsepkan bola beracun, bola harus dilontarkan ke setiap kumpulan secara rawak sehingga lagu dimatikan. Kumpulan yang memperoleh bola haruslah menjawab beberapa soalan ramalan UPSR. Aktiviti terakhir adalah aktiviti meneka peribahasa, di mana para pelajar perlu memberi klu kepada ahli kumpulan mereka menggunakan isyarat lukisan dan ahli terakhir perlu meneka dan memberi jawapan kepada penceramah. Aktiviti ini ingin membentuk sikap kerjasama dalam kumpulan dan juga ingin menambah penggunaan peribahasa dalam karangan Bahasa Melayu mereka. Setiap aktiviti disediakan markah untuk diperolehi dan para pelajar mengumpul markah-markah tersebut dan 3 kumpulan terbaik menerima hamper dari pihak kami. Program Remaja Perkasa ini berakhir pada jam 2.00 petang dengan majlis penutup.

 
     
   
     
     

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 20/04/2020 | Updated: 20/04/2020 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
C1597405601