3rd International Summer Course | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » 3rd International Summer Course

3rd International Summer Course

Oleh: Prof. Madya Dr. Syuhaily Osman


BOGOR, INDONESIA, 7 Ogos - 
Program 3rd International Summer Course merupakan anjuran Departemen Pengajian Keluarga Pengguna (IKK), Fakultas Ekologi Manusia (FEMA), Institut Pertanian Bogor (IPB), Indonesia. Ini adalah penyertaan kali ketiga Fakulti Ekologi Manusia yang melibatkan 10 pelajar dan seorang pensyarah yang telah dilantik sebagai pensyarah pengiring dan juga penceramah jemputan oleh pihak FEMA, IPB. Program kali ke-3 ini yang bertemakan “Family Well-being among Agricultural Families in Indonesia – Family Well-being through Tropical Urban Farming” telah diadakan selama 10 hari iaitu pada 28 Julai – 7 Ogos 2019.

 
     
 
     
 


Program ini bermula secara rasmi dengan sesi perkenalan dengan ahli IKK, FEMA di mana peserta telah diperkenalkan kepada Dekan dan pensyarah IKK, FEMA serta staf yang terlibat sebagai jawatankuasa penganjuran program. Perjalanan aktiviti program ini secara umumnya telah dibahagikan kepada beberapa fasa. Untuk fasa pertama yang melibatkan selama dua (2) hari, peserta telah diberikan penerangan dalam bentuk kuliah berkenaan dengan senario keluarga di Indonesia, Malaysia dan Thailand. Seterusnya, kuliah berkaitan pengenalan, kepentingan dan aktiviti “Home Yard and Urban Farming” di Indonesia turut diberikan. Pada hari pertama juga pensyarah pengiring yang juga selaku penceramah jemputan turut memberikan kuliah yang bertajuk “Consumer Well-Being in Malaysia”. Manakala pada hari kedua, sesi kuliah telah diteruskan dengan beberapa tajuk seperti “Family Resource Management”, “Financial Resources Management in the Family”, “Family Well-being and Its Indicator” dan “Time Allocation and Its Significance to Child Well-being in Indonesia: A Meta-analysis”.

 
     
 


Fasa kedua kemudiannya dimulakan pada hari ketiga hingga keenam yang melibatkan beberapa siri lawatan dan pengumpulan data oleh peserta di Jakarta dan Kota Bogor. Pada hari ketiga, peserta telah dibawa ke Official Government of Jakarta Province (DKPKP) bagi sesi penerangan mengenai “urban farming” di Jakarta. Peserta kemudiannya telah dibawa melawat ke tapak “urban farming” yang diusahakan oleh satu kelompok komuniti di Jakarta yang dikenali sebagai Hydroponic Alley, bagi mendengar sendiri pengalaman mereka dan juga melihat kawasan dan tanaman yang diusahakan. Turut hadir semasa aktiviti ini adalah pemberita dari “Berita Jakarta” yang membuat liputan serta menemuramah beberapa peserta termasuk pelajar dari UPM. Pada hari keempat, peserta telah melawat kawasan pertanian “urban farming” di Jakarta yang melibatkan kelompok penduduk kampung iaitu di KWT Seruni Indah RW010 Kelurahan Kebayoran Lama Selatan. Selesai mendengar penerangan dan membuat lawatan, peserta seterusnya membuat pengumpulan data yang dilakukan secara temuramah ke atas sekumpulan wanita yang terlibat dalam projek pertanian di tempat yang dinyatakan. Peserta telah dibahagikan kepada tujuh (7) kumpulan yang terdiri dari tiga (3) orang pelajar bagi setiap kumpulan. Bagi memudahkan komunikasi, setiap kumpulan turut dianggotai oleh sekurang-kurangnya seorang pelajar dari Indonesia. Setiap kumpulan perlu menemuramah seorang responden dengan menggunakan satu set soalan yang telah disediakan oleh pihak IKK, FEMA.

Pada hari kelima dan keenam, lawatan dan pengumpulan data melibatkan penduduk di Kota Bogor telah diadakan di dua tempat iaitu Dinas Pertanian Kota Bogor (Pelatihan Budidaya Aquaponik/Hidroponik) di KWT Cempaka dan KWT Kentagor Mandiri, Tanah Sereal, Kota Bogor. Di sepanjang sesi lawatan, selain memperoleh penerangan, peserta turut diberi peluang melakukan aktiviti menanam dan memetik hasil tanaman.

 
     
 
     
 
     
     
 
     

 

     
 
     
 


Bagi fasa terakhir iaitu fasa ketiga pula, peserta dikehendaki untuk menganalisis data yang telah diperoleh dan menyediakan poster bagi kumpulan masing-masing untuk dibentangkan semasa “2nd International Seminar on Family and Consumer Sciences”  yang diadakan pada 5-6 Ogos 2019 di Campus IPB University School of Busines. Selain poster, peserta juga digalakkan untuk menyertai pertandingan fotografi yang bertemakan “Family Well-being”. Proses penyediaan poster dan penyertaan foto ini berlangsung pada hari keenam (petang dan malam) dan ketujuh program. Seterusnya, pada hari kelapan dan kesembilan, peserta dikehendaki hadir di sepanjang seminar berkenaan berlangsung. Peserta telah membuat pembentangan masing-masing melalui wakil kumpulan yang  terpilih pada hari terakhir seminar. Proses pengadilan bagi pertandingan fotografi juga telah berlangsung pada hari yang sama. Semasa seminar juga, peserta telah mendengar sesi pembentangan yang diadakan secara selari mengikut bidang masing-masing yang bersesuaian dengan tema kumpulan pembentangan iaitu “Family Issues”, Family and Child Issues” dan “Consumer Issues”. Di akhir seminar, beberapa peserta dari UPM telah memenangi tempat pertama , kedua dan ketiga bagi pertandingan poster, termasuklah pembentang terbaik. Setelah selesai seminar, peserta telah dibawa untuk menghadiri masjlis penutup program Summer Course ini yang berlangsung di Kantor Walikota Bogor. Perasmian penutup telah dibuat oleh Wakil/Timbalan Walikota iaitu Pak Didie A. Rachman. Semasa majlis penutup ini, pensyarah pengiring turut berpeluang menyampaikan ucapan penghargaan dari FEM di atas peluang penyertaan dalam program Summer Course yang telah banyak memberikan manfaat kepada peserta termasuk pengalaman berharga semasa seminar serta layanan baik yang diterima di sepanjang program berlangsung.

 
     
 
     
 
     

 
 
     

 

     
 
     
 


Akhirnya, pada hari kesepuluh iaitu hari terakhir program, peserta telah mengadakan sesi ramah mesra dan penutup sebelum masing-masing berangkat ke Jakarta. Bagi pelajar UPM, mereka seterusnya ke Jakarta untuk meneruskan lawatan ke dua (2) buah universiti di sekitar Jakarta, bagi melengkapkan program mobiliti mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 14/08/2019 | Updated: 15/08/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDcVAC~