Perangi Dadah Habis-Habisan | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Perangi Dadah Habis-Habisan

Perangi Dadah Habis-Habisan

Oleh:  Dr Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff 

 

  

Pendahuluan

Dadah dan manusia seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Ramai generasi muda terlibat dengan dadah yang sesuai disebut sebagai ‘najis’. Najis sinonim dengan makna kotoran seperti air kencing dan tahi atau sesuatu yang mencemarkan. Sepatutnya apabila disebut ‘najis’, ia patut dijauhi kerana sifatnya yang jijik, kotor, berbau dan meninggalkan kesan tidak enak pada pakaian, anggota badan dan tempat tinggal. Sebaliknya, najis dadah ini semakin didekati, kononnya sebagai solusi masalah, keseronokan, tidak terbeban dengan tanggungjawab. Realiti yang terjadi, dalam kalangan penagih dadah ini ada yang dipinggirkan ahli keluarga sendiri, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling, lantaran penyakit HIV yang dibawa atau dibimbangi mempengaruhi pemikiran anak-anak dan generasi remaja.

Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 2015, secara purata mempamerkan seramai 1,691 penagih baru dan 532 penagih berulang dikesan setiap bulan atau 56 dan 18 orang sehari. Jika dibandingkan statistik penagihan mengikut umur, golongan belia merupakan golongan yang paling ramai terdedah (21.36%) berbanding dengan golongan dewasa (18.5%). Golongan belia ini berumur antara 19 tahun hingga 39 tahun. Mengikut kajian AADK, jenis dadah yang paling banyak digunakan adalah jenis heroin dan morfin (54.87%), Methamphetamin (33.79%) ganja (5.81% %) dan yang membimbangkan jenis ATS seperti Ecstasy & Amphetamin ini makin meningkat (5.43%). Senario di Malaysia menunjukkan peratusan penyalahgunaan dadah jenis sintetik ini dalam kalangan belia dan remaja, agak tinggi dan keadaan ini amat membimbangkan kerana generasi muda ini adalah aset terpenting negara. Harapan keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.

 

Definisi dadah

Masyarakat di luar sana perlu memahami makna dadah dan membezakan antara kebaikan dan penyalahgunaan dadah ini. Dengan menyebarluaskan apa itu ‘dadah’ mudah-mudahan masyarakat bersama-sama membantu memerangi habis-habisan bahaya dadah ini. Ini kerana ada segelintir masyarakat yang masih memahami dadah adalah sejenis ubatan untuk menghilangkan kesakitan, kerungsingan fikiran dan ruang menghilangkan masalah kehidupan tanpa terlebih dahulu merujuk pakar atau doktor. Dadah dalam etimologi bermaksud sejenis bahan kimia psikoaktif yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan yang mana penggunaannya adalah dilarang. Sekiranya diambil dalam situasi yang salah akan mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan, diri, keluarga, dan masyarakat. Manakala penagih dadah menurut Akta Penagih Dadah (rawatan dan Pemulihan), 1983 mendefinisikan ‘Penagih Dadah’ adalah mana-mana individu yang melalui penggunaan apa-apa dadah berbahaya akan mengalami simpton-simpton seperti : ï‚·

  • suatu keadaan psikik dan kadangkala keadaan fizikal yang dicirikan gerak balas tingkah laku dan gerak balas lain. 
  • meliputi desakan mengambil dadah secara berterusan atau berkata : 
  • mengalami kesan psikiknya dan mengelakkan ketagihan kerana ketiadaan dadah.


Individu yang terbabit dan terlibat dengan dadah ini akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 sepertimana yang terkandung dalam pasal …menggunakan dadah berbahaya termasuk memakan, mengunyah, menghisap, menelan, meminum, menyedut, atau memasukkan bahan-bahan itu ke dalam badan dengan apa jua cara atau dengan menggunakan apa jua julat…

Masyarakat juga seharusnya mengenalpasti kumpulan atau jenis dadah kerana ia akan menjadi info terpenting terutama dalam proses mendidik anak-anak dan mencegah mereka atau memberi maklumat yang tepat tentang cara mengenali jenis-jenis dadah ini kepada anak masing-masing. Kumpulan dadah ini boleh terdiri daripada inhalan, ganja, stimulan,opiate, depresen, halusinogen. Jenis inhalan sebagai contohnya dapat dikenali melalui : ï‚·

  • pelarut atau cecair seperti cat, bahan pengilat, minyak tanah, petrol, gam, pemadam, dakwah dan pen. 
  • bahan gas seperti pemetik api, gas peti sejuk, klarofom, haloten, nitrus oksida 
  • aeroso seperti pemeti api, pewangi, penyembur rambut, penyembur pelindung fabrik 
  • bahan nitrit seperti climax, poppers, rush, locker room.


Manakala candu, heroin dan morfin termasuk dalam kategori opiate, dan dalam bentuk herba yang agak popular pada masa kini iaitu mitragyna speciose korth atau lebih dikenali sebagai ‘Daun Ketum’ dan ‘Cannabis Sativa’. Pil tidur juga termasuk dalam kategori dadah jika disalahgunakan boleh membawa ketagihan dan kematian.

 

Hukum Dan Dalil

Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini bersandarkan keterangan nas-nas (al-Quran dan Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama, iaitu memabukkan atau terdapat dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat.

……………"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" - Surah Al-Baqarah : 195

Maka rawatan perlu dijalankan sama ada dalam bentuk pemulihan berkala, rawatan perubatan Islam atau rohani dan pemulihan dalam komuniti. Bagi tahun 2015 sahaja, sejumlah 76 buah Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) aktif menjalankan aktiviti rawatan dan pemulihan dadah secara sukarela.

 

Data Terkini Penagihan Dadah

Maklumat yang diperoleh daripada AADK, Kementerian dalam Negeri tahun 2015 amat menakutkan. Bahana penagihan, penularan dan ikutan dalam kalangan remaja, bukan sahaja berlaku di luar malahan dalam kawasan sekolah, universiti awam atau swasta, politeknik, penjawat-penjawat awam di jabatan kerajaan dan bukan kerajaan. Usaha memerangi dan menangani perlu melibatkan keseluruhan masyarakat daripada ‘top down’ dan ‘bottom up’. Tidak cukup hanya dengan laungan slogan, kursus-kursus, seminar-seminar, rawatan moden dan alternatif sekiranya masyarakat terlibat tiada kesedaran langsung akan bahaya dan kesan buruk akibat tularnya dadah. Terkini beberapa kaedah rawatan dijalankan. Selain penggunaan rawatan moden adalah rawatan melibatkan aspek kerohanian seperti ‘inabah’ dan yang terbaru adalah penggunaan amalan bacaan ayat-ayat ‘ruqyah’ dan herba-herba terpilih. Proses serta kaedah yang dipraktikkan pula adalah konsisten dan mengikut tahap amalan penagih dadah yang inginkan kesembuhan secara rela hati bukan paksaan.

Trend terkini penagih dadah baru dan berulang. Penagih baru dimaksudkan kepada penagih yang dikesan pertama kali semasa menjalani rawatan, pemulihan dan pengawasan di AADK. Status kes bagi penagih baru agak tinggi iaitu 76.08% atau 20, 289 orang. Manakala penagih berulang adalah untuk penagih yang pernah dikesan menjalani rawatan, atau pemulihan atau pengawasan di AADK sebelum ini dengan bilangan terkini mencecah 6,379 orang atau 23.92%. Statistik berdasarkan negeri pula, negeri Selangor mencatatkan jumlah yang tinggi dengan pertambahan penagih baru iaitu 2,480 (12.22%), diikuti Pulau Pinang 2,366 (11.66%), Kedah 2,333 (11.50%), Perak 2,215 (10.92%), Johor 2,079 (10.25%), Kelantan 1,683 (8.30%), Pahang 1,672 (8.24%), WP Kualam Lumpur 970 (4.78%), Terengganu 877 (4.32%), Sabah 860 (4.24%), Negeri Sembilan 799 (3.94%, Melaka 734 (3.62%), Sarawak 585 (2.88%), Perlis 575 (2.83%), WP Labuan 33 (0.16%) dan WP Putrajaya 28 orang atau 0.14%).

Dadah ini perlu diperangi habis-habisan dengan apa cara sekalipun. Produktiviti ekonomi, politik, pertahanan negara, pendidikan, sosial akan terancam, boleh merosakkan perancangan negara dan mudah dipermainkan oleh negara luar sekiranya banteng pertahanan negara goyah. Bahayanya situasi penagihan ini kerana ia tidak mengira sama ada lelaki atau wanita atau bangsa dan agama. Kadar bilangan penagih dadah dalam kalangan lelaki mencapai angka 19, 419 orang (95.71%) bagi kes penagih baru sahaja dan 6,236 orang bagi penagih berulang atau 97.76%. Suatu angka yang agak menakutkan tetapi inilah kebenarannya.

Manakala penagih baru wanita berjumlah 870 orang (4.29%) dan seramai 143 orang atau (2.24%) bagi penagih wanita berulang. Statistik mengikut bangsa pula, dapat dilihat bangsa Melayu menduduki tangga teratas sekali dalam kategori penagih baru iaitu seramai 16,354 orang (80.61%) dan 4,981 orang (78.08%) penagih berulang. Diikuti bangsa Cina 1,468 (7.23%) penagih baru dan berulang seramai 649 (10.17%), India 1,435 (7.07%) penagih baru dan berulang 678 (10.63%) yang berulang, peribumi Sabah 724 (3.57%) penagih baru dan 50 (0.79%) yang berulang, peribumi Sarawak 140 (0.69%) penagih baru dan 8 (0.20%) penagih berulang dan lain-lain yang terdiri daripada Punjabi, Siam, Serani dan Orang Asli adalah seramai 168 (0.83%) penagih baru dan 13 (0.20%) bagi penagih berulang.

 

Punca terjebak dengan dadah

Meskipun sudah banyak usaha dan program pencegahan dilakukan pihak kerajaan, badanbadan NGO dan individu persendirian, bilangan dan statistik tetap menunjukkan pertambahan. Setiap yang terjadi pasti ada punca dan sebab kepada berlakunya penagihan dadah. Berdasarkan kajian yang dijalankan pihak AADK 2015, terdapat 8 sebab utama dan sebab-sebab sampingan lain. Pengaruh rakan sebaya menjadi penyebab utama dengan bilangan penagih baru mencapai angka 13,315 orang (63.37%). Manakala dalam kes berulang atas sebab yang sama angkanya agak tinggi juga iaitu 3,628 orang atau 56.10%. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab bersama mengenalpasti siapa yang menjadi rakan kepada anakanak, dengan siapa mereka berkawan sama ada di kampung halaman, sekolah, aktiviti-aktiviti luar, jam berapa balik dan dengan siapa mereka berada di luar. Kejiranan juga berperanan mencegah daripada semakin merebak dengan melaporkan kepada ibu bapa, ketua kampung, RELA, polis dan lain-lain apabila nampak sesuatu yang mencurigakan berlaku dalam kawasan kejirananan atau melihat ‘orang luar’ yang sifatnya agak luar biasa.

Kesemua ini nampak macam menjaga ‘tepi kain orang’ tapi ini adalah bertempat ‘Mencegah lebih baik daripada Merawat’. Keprihatinan dan ketelusan dalam pengawasan dan penjagaan anak-anak pasti berupaya menggelak anak-anak terbabit dengan penagihan dadah yang tidak pernah surut. Faktor kedua adalah perasaan ingin tahu. Remaja yang mengalami proses kehidupan terdedah dengan persekitaran yang pelbagai. Apa yang rakan ada walaupun diambil daripada sumber yang haram tetap diinginkan anak-anak remaja dengan rasa ingin tahu dan mencuba tanpa memikirkan kesan dan akibat pada diri sendiri.

Bukti jelas menunjukkan seramai 3,208 orang (15.27%) penagih baru muncul disebabkan perasaan ingin tahu dan penagih berulang juga menampakkan bilangan yang tinggi iaitu 1,315 atau 20.33%. Faktor lain yang menjadi punca penagih dadah, dan mula menggunakan dadah yang tidak kurang bahayanya juga adalah disebabkan faktor keseronokan 9.37%, tekanan jiwa 5.57%, menahan sakit atau untuk ketahanan badan 1.91%, rangsangan 0.56%, atau terlibat secara tidak sengaja 0.03% dan lain-lain faktor dengan peratusan sebanyak 3.92% yang melibatkan perlakuan agresif, pekerjaan, hiburan, kurang didikan agama, masalah kewangan, melangsingkan badan, penderaan, perubatan, rindu, seks, teraniaya, tiada ilmu tentang bahaya dadah, untuk belajar dan sebagainya.

 

Kenapa perlu diperangi habis-habisan

Dadah perlu diperangi. Tidak boleh bertangguh lagi. Semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi pengajian tinggi, pihak sekolah, pendidikan, komuniti, pihak majikan, sektor kerajaan atau swasta perlu berganding bahu agar gejala ini tidak merebak. Sudah banyak peruntukan dan perbelanjaan dilaburkan untuk tujuan pemulihan dan rawatan. Sudah banyak juga slogan-slogan anti dadah disebarkan media massa antaranya Belia Benci Dadah, Dadah Musuh Masyarakat, Life Happies Without Drugs, Dadah Musuh Negara, 1 Malaysia Benci Dadah, Bersama Menentang Najis Dadah, Hidup Sihat Tanpa Dadah, Bersama Menjana Bangsa Tanpa Dadah, Dadah Pemusnah Musnahkan Dadah, Anda Pilih Derita Atau Bahagia, Membasmi Dadah Adalah Tanggungjawab Kita Bersama, Drugs Destroys Destroy Drugs, Kids Today Leader Tomorrow, No Drug No Suffer No Tears, Dadah Durjana, Sekolah Bebas Dadah, Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) dan pelbagai lagi slogan dengan misi dan visi tersendiri.

Semua ini untuk menyatakan betapa bahayanya kesan penagihan dadah ini. Usaha memerangi najis dadah bukan sahaja melibatkan penyebaran ubat-ubatan yang dihasilkan daripada bahan dadah, penagih-penagih tegar dadah, pengedar-pengedar dadah malahan penguatkuasaan undang-undang yang ketat kepada semua pihak terbabit. Rosak negara kerana rosaknya akhlak bakal-bakal pimpinan negara dalam kalangan penuntut-penuntut universiti, pelajar sekolah, remaja, belia dan dewasa.

Sekiranya najis dadah ini tidak ditangani dengan baik, pasti banyak lagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang perlu disediakan oleh pihak AADK. Sejak tahun 2010 hingga 2015 komitmen yang diberikan pihak AADK dalam menangani usaha pemulihan dan perawatan termasuk dalam aspek pembangunan pusat-pusat rawatan dadah mencecah angka jutaan ringgit. Sekiranya dicampurkan perbelanjaan mengurus dari tahun 2010-2015 mencecah RM 1.7 juta dan pembangunan sebanyak RM151K. Perbelanjaan besar ini boleh dialihkan kepada pembangunan lain seperti bantuan rakyat miskin, mangsa banjir, kebakaran, kemalangan, pendidikan anak-anak yatim, itupun jika angka penagihan dadah ini berkurangan. Ini salah satu faktor dadah ini wajar diperangi.

Latar belakang penagih dadah pada masa kini turut melibatkan sektor pekerjaan professional antara yang tertinggi adalah kategori pekerja sambilan (21.05%), pekerja buruh (19.44%) dan diikuti sektor pengangkutan (5.04%), perkhidmatan (9.39%), jualan (8.20%), seterusnya binaan, hiburan, pengurusan, penganggur, penuntut, perkeranian, perkilangan, pertanian atau perikanan, teknikal dan kelulusan akademik yang tinggi antaranya master/phd 1 orang (0.00%), ijazah (0.33%), diploma (1.94%), STPM (0.59%), SPM /SPMV (36.48%), SRP/PMR/LCE (37.11%), sekolah rendah (9.82%) dan tidak bersekolah (11.02%). Sedangkan tenaga-tenaga golongan professional dan sokongan adalah tonggak produktiviti negara dan rakyat ke arah pembangunan ekonomi dan politik negara.

 

Rawatan, perubatan dan pengubatan, kebajikan

Pada masa kini, kerajaan betul-betul bertindak secara sistematik dan tersusun dalam memulih golongan penagih dadah. Usaha yang murni ini wajar dipuji dan membanggakan rakyat meskipun sudah banyak wang dibelanjakan tetapi atas dasar rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul, serta nilai integriti yang tinggi bagi memastikan rakyat sejahtera dan bebas dadah, segala yang pahit ditelan jua dan yang penting usaha membasmi tularnya dadah dan mengembalikan kehidupan penagih dadah kepada landasan yang betul serta sama-sama mengubah dan memperbaiki diri serta turut menyumbang dalam perancangan dan pembangunan negara yang tercinta ini.

Antara program yang dijalankan dalam episod pemulihan penagihan dadah ini dengan mengadakan Program Transformasi iaitu menyalurkan perkhidmatan pemulihan secara sukarela, memberi kesedaran, menggalak penagih datang sendiri, program outreach, kerjasama dengan rakan Pintar dan Rakan Strategik, penjagaan kesihatan, Program terapi gentian Metadon (MMT), klinik Cure & Care 1 Malaysia dengan memfokuskan kepada inpatient, outpatient, detoksifikasi, rawatan terapi metadon, rujukan dan advokasi.

Disamping itu AADK juga menggerakan CCH atau Caring Community House yang memberi bantuan perkhidmatan kepada mereka yang menghadapi masalah dadah dan dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti setempat dengan melibatkan individu-individu pakar dalam komuniti terbabit. Pada masa kini rawatan secara kerohanian, kaunseling dan agama turut ditekankan. Antaranya mempraktikkan modul Inabah yang berjaya dijalankan oleh CCRC di Sungai Ruan, Raub, Pahang, CCRC Perlop, Sungai Siput, Perak dan CCRC Tiang Dua, Melaka. Modul Inabah ini menggunakan pendekatan psiko sosial dan psiko spiritual dengan elemen terapi kognitif tingkah laku serta pendidikan psiko dalam membantu pelanggan menjalani proses pemulihan.

Pada masa yang sama, AADK turut menyasarkan untuk melahirkan 40 huffaz daripada empat CCRC yang terpilih di atas untuk melahirkan klien AADK yang bukan saja boleh membaca malah menghafal al-Quran. Aktiviti sebegini diharapkan berupaya menghilangkan rasa gian atau ingin kembali kepada dadah dengan menghambakan diri kepada hakikat insan yang sebenar sebagai hamba Allah dan khalifahNya. Kajian permulaan juga sedang dilakukan dengan memilih beberapa ayat-ayat ruqyah untuk bacaan dan amalan pendinding daripada godaan dan hasutan suara hati yang berpunca daripada ‘gangguan’ jin yang sentiasa berusaha membawa manusia jauh daripada Allah kepada hamba dadah.

 

Kesimpulan

Bahaya dadah ini amat ditakuti oleh masyarakat awam. Gejala penagihan dadah dan terjebak sebagai hamba dadah tidak akan membawa kebaikan apa-apapun pada diri sendiri, masyarakat dan negara. Malah boleh meruntuhkan institusi rumah tangga, anak-anak, suami isteri dan negara juga boleh ranap. Langkah-langkah menguatkuasakan kebanjiran dadah dalam masyarakat ini mula dikuatkuasakan melalui strategi pencegahan dan dimantapkan oleh Seksyen 6 (g) bagi mendidik orang ramai untuk menentang penyalahgunaan dadah berbahaya dan Seksyen 6 (h) bagi mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi penyalahgunaan dadah berbahaya seperti memperkasakan aktiviti kesukarelaan antaranya Skuad Malaysia, My Beautiful Malaysia, Kesedaran Awam dan Pencegahan Berfokus yang dijalankan oleh badan-badan NGO seperti SHIELDS, PINTAR, JEHAD, dan sebagainya. Penyebaran maklumat tentang bahaya dadah dikembangkan juga strategi komunikasi media, media baru, media penyioaran, media cetak, media bersemuka dan media luar serta mewujudkan kerjasama dengan NGO, JKKK, PBT, mengadakan dialog dan perjumpaan, memusnahkan port-port penagih dan membersihkan kawasan tumpuan awam di kawasan berisiko bersama –sama anggota sukarelawan.

 



Penulis

Dr Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff 
Pensyarah Kanan 
Jabatan Pengajian Kenegaraan dan
Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang,
Selangor.

Pemenang Tempat Ketiga Pertandingan Penulisan Esei dan Sajak Sempena Program Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-Habisan

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 11/02/2019 | Kemaskini: 15/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdQAP~